Utusan Online - Kota |
Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD PEMBUKAAN UTC Mini Bandar Baru Sentul antara kemudahan yang disediakan oleh kerajaan demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat. - UTUSAN/ FAIRUZ IZYANA AYUB KUALA LUMPUR 9 April - Sebelum ini bangunan Kompleks Perniagaan dan Komuniti Bandar Baru Sentul di sini kurang dikunjungi pelanggan. Berbeza hari ini, suasana bangunan tiga tingkat itu sibuk sejak diubah wajah menjadi Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Mini pada 4 Mac lalu. Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi hari ini mendapati orang ramai mengunjungi pusat berkenaan untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan. Beberapa jabatan kerajaan dan swasta di tempatkan di bangunan itu antaranya, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Pos Malaysia. Turut disediakan kemudahan lain seperti gerai makan, pasar basah, klinik, surau, perpustakaan, kiosk mesin ATM dan gelanggang futsal. Rata-rata pengunjung yang ditemui berkata, pembukaan UTC di Bandar Baru Sentul membuktikan kesungguhan kerajaan membela rakyat dengan menyediakan kemudahan 'di bawah satu bumbung'. Seorang pengunjung, Anna Lim, 69, berkata, dia amat menyukai UTC mini itu kerana persekitarannya yang bersih, selesa dan memudahka nnya ketika berurusan di situ. "Saya datang ke sini untuk membuat temujanji di klinik pergigian dan kesempatan turut diambil untuk meninjau kemudahan lain yang ditawarkan dan sememangnya ia sangat menarik," katanya. Pendapat Anna turut dipersetujui, Rohani Zakaria, 62,. Menurutnya, dia memilih untuk mendapatkan barang keperluan di situ memandangkan berdekatan dengan rumahnya. "Saya juga datang ke sini untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang terletak di aras dua. "Memang mudah dan cepat kerana terletak di lokasi sama,"katanya. Peniaga Ashraf Abdul Manaf, 30, pula berkata, sejak UTC beroperasi jumlah kunjungan pelanggan ke kompleks itu dilihat semakin meningkat. Dia yang membuka kedai percetakan itu juga berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat. Sementara itu pengunjung, C. Narayana, 65, pula menyifatkan kemudahan yang disediakan di situ amat membantu penduduk sekitar terutamanya yang memerlukan rawatan kesihatan. "Kompleks ini juga terletak di lokasi strategik yang membolehkan sesiapa sahaja berurusan di sini. "Ini juga membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat,''katanya. |
Penduduk bantah projek bina asrama Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT PETALING JAYA 9 April - Penduduk di sini membantah pembinaan projek pembangunan bercampur oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PJ Elevated City di Jalan SS8/6, Kelana Jaya. Penduduk mendakwa, pembinaan projek yang menelan kos kira-kira RM3 bilion dan dijangka siap pada 2015 itu bukan sahaja menggambarkan sifat tamak kerajaan negeri, bahkan menafikan hak mereka untuk memiliki hartanah di kawasan itu. Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam, MCA Selangor Kelvin Chong Seng Foo berkata, kerajaan negeri ketika ini dilihat lebih memberi penekanan kepada projek mega, berbanding tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik. Menurutnya, projek pembangunan bercampur yang meliputi pejabat, lot perniagaan dan kondominium itu turut melibatkan pembinaan tiga blok asrama untuk 10,000 pekerja asing. "Projek itu tidak memberikan sebarang faedah kepada keperluan sebenar penduduk yang mahukan setiap tanah kosong di Petaling Jaya ini dibina mampu milik dibina. "Apa yang pasti projek ini hanya menimbulkan pelbagai masalah lain terutama dari segi alam sekitar, kesesakan trafik dan gejala sosial," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi mewakili pelbagai pihak termasuk wakil penduduk dan syarikat kontraktor yang membantah pembinaan projek tersebut. Yang turut hadir Penasihat Undang -Undang MCA Selangor, Datuk Lim Choon Kin dan Pengerusi Pusat Perkhidmatan MCA Petaling Jaya, Datuk Theng Book. Kelvin berkata, pembinaan projek itu juga meminggirkan kepentingan para penduduk dengan memberi keutamaan warga asing memiliki kediaman. Dakwa beliau lagi, pembinaan projek itu juga gagal mematuhi syarat-syarat pembangunan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sebelum ini yang tidak membenarkan pembinaan bangunan melebihi 20 tingkat di Selangor. "Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga perlu menyemak kembali kewajaran projek ini diteruskan dengan mengadakan sesi pendengaran awam. "Saya sendiri telah menulis surat bantahan kepada MBPJ sebanyak lima kali, tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas, termasuk PKNS yang terus mengambil sikap berdiam diri," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan