Utusan Online - Selatan |
Peranan warga PBT penting bantu kelangsungan kerajaan BN Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT MOHD. Ali Rustam (kiri) bersalaman dengan ketua-ketua jabatan, termasuk kakitangan PBT yang menyertai Perhimpunan Bersama PBT Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini. MELAKA 19 April - Penjawat awam di negeri ini khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) diseru mengukuhkan sokongan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini banyak berjasa kepada rakyat dan negara. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pembangunan serta kemakmuran yang telah dan sedang dinikmati rakyat pada masa ini perlu dikekalkan malah harus dipertingkatkan lagi pada masa hadapan. "Oleh itu, saya berharap seluruh kakitangan PBT dari seluruh negeri dapat terus memainkan peranan serta mendokong kerajaan BN bagi membolehkan apa yang kita peroleh ini kekal berterusan sampai bila-bila," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Perhimpunan Bersama PBT Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini baru-baru ini. Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin. Perhimpunan itu disertai kira-kira 1,000 warga PBT terdiri daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). Menurut Mohd. Ali, kesinambungan usaha penjawat awam perlu selari dengan kesinambungan kerajaan BN malah banyak lagi perkara perlu dilakukan demi menjamin kelangsungan kerajaan dalam Pilihan Raya Ke-13. "Penjawat awam memainkan peranan penting dalam menentukan kelangsungan kerajaan sedia ada serta keistimewaan yang dikecapi di bawah kepimpinan BN selama ini," ujarnya. |
Penduduk Banda Hilir rasa bagai 'terkurung' setiap kali cuti ekoran kesesakan Posted: 19 Apr 2013 01:34 PM PDT MELAKA 19 April - Saban kali tibanya hari cuti sama ada cuti umum atau persekolahan, penduduk Banda Hilir merasakan mereka seolah-olah 'terkurung' di rumah sendiri ekoran kesesakan lalu lintas yang melampau. Namun, masalah kesesakan di bandar tumpuan pelancong yang diadukan oleh penduduk sekitar itu seolah-olah dipandang sepi oleh pembangkang, malah tiada langsung perubahan yang dibawa bagi mengatasi kesulitan mereka. Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir, Ronald Gan Yong Hoe (gambar) berkata, masalah itu sepatutnya diatasi oleh pembangkang memandangkan penduduk di kawasan tersebut telah memberi amanah kepada mereka. "Namun bukan hanya masalah lalu lintas yang semakin teruk, malah penduduk di kawasan ini turut menghadapi masalah banjir. "Jika BN diberi peluang menerajui kembali Banda Hilir, saya pasti perkara ini akan dapat diatasi dan penduduk di kawasan ini dapat kembali pada kehidupan yang lebih selesa,'' katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi Lorong Panjang di sini malam tadi yang dihadiri oleh lebih 100 penduduk. Kesempatan itu turut digunakan oleh muka baharu tersebut untuk memperkenalkan diri serta berbincang dengan lebih dekat terhadap masalah yang dihadapi penduduk. Dalam masa sama katanya, jika diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat kawasan tersebut, beliau akan memastikan semua masalah cuba diselesaikan sebaik mungkin. Anak jati Banda Hilir itu juga mempunyai firma guaman sendiri, Gan Rao & Chuah Advocates & Solicitors di Plaza Mahkota. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan