Selasa, 16 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Norzarina juara karaoke sempena Jelajah Tribute Anugerah P. Ramlee

Posted: 15 Apr 2013 01:05 PM PDT

Norzarina Mohd. Nordin (tengah) berkongsi kegembiraan bersama Hasbullah Mohd. Razi (kiri) dan Rosiah Nordin selepas diumumkan juara Pertandingan Karaoke Lagu-Lagu P. Ramlee di Subang Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR 15 April - Dengan mendendangkan lagu Jari-jariku Sakit Semua, Norzarina Mohd. Nordin, 20, dinobatkan juara Pertandingan Karaoke Lagu-Lagu P. Ramlee sempena Jelajah Tribute Anugerah P. Ramlee.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Utusan Melayu (M) Berhad, Nik Anura Nik Abdul Rahman berkata, sebanyak 37 peserta berentap bagi merangkul gelaran juara pertandingan karaoke tersebut.

"Jelajah ini merupakan yang terakhir sebelum malam kemuncak Anugerah P. Ramlee diadakan pada 7 Jun ini bertempat di Dewan Agong Canselori Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Sebelum ini, tiga siri jelajah diadakan di Johor Bahru, Sungai Petani, Kedah dan Kemasik, Terengganu dan mendapat sambutan menggalakkan orang ramai dalam memperingati perjuangan seniman agung, P. Ramlee," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas siri jelajah tersebut di Mydin Mall, di sini hari ini.

Dalam pertandingan karaoke itu, tempat kedua dimenangi Hasbullah Mohd. Razi, 19, menerusi lagu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang manakala tempat ketiga dirangkul Rosiah Nordin menerusi dendangan lagu Jeritan Batinku.

Selain pertandingan karaoke, pertandingan Jom Mewarna, Tiru Gaya P. Ramlee & Saloma, Musang Berjanggut, Roda Impian dan Susun suai gambar turut diadakan.

Sementara itu, penyanyi rock, Ella bersama protegenya, Puteri Caroline dan Alif Satar ialah antara penyanyi yang mengadakan persembahan manakala Rosyam Nor dan Fir Affandi sebagai juri pertandingan karaoke selain penampilan istimewa Eira Syazira.

Mengulas mengenai Malam Anugerah P. Ramlee pula, Nik Anura berkata, persiapan malam tersebut sedang dijalankan dan cara-cara mendapatkan tiket boleh didapati dengan membaca Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia serta menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Katanya, borang-borang pencalonan juga telah dikeluarkan menerusi Utusan Malaysia sejak 1 Februari lalu sehingga 3 Mei ini.

"Peneka paling banyak dan tepat berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000 dan cenderamata daripada RTM, Kumpulan Utusan dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan