Jumaat, 12 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Gangguan air tiada kaitan Lynas

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 12 April - Kerajaan negeri menempelak tindakan pembangkang yang mempolitikkan gangguan bekalan air di daerah ini sehingga mengaitkannya dengan operasi loji memproses nadir bumi, Lynas di Gebeng.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, masalah bekalan air yang berlaku minggu lalu bukan disebabkan ketidakcekapan Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) atau salah kerajaan tetapi kerana salah sebuah daripada tujuh pam di Rumah Pam Sungai Kobat rosak.

"Sebelum ini, ketujuh-tujuh pam itu berfungsi dengan baik bagi membekalkan air kepada kira-kira 500,000 penduduk di daerah ini tetapi apabila satu daripada enjin pam rosak, maka bekalan air yang dipam ke loji penapisan di Semambu berkurangan.

"Kerajaan juga menambah tiga lagi rumah pam baharu dengan kos sebanyak RM42 juta tetapi hanya dua beroperasi kerana sebuah lagi mengalami kebocoran pada saluran paip.

"Bagaimanapun, masalah tersebut telah selesai kerana pada masa kini, sebanyak sembilan pam telah beroperasi manakala sebuah lagi dijangka bermula awal bulan depan," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Sehubungan itu, Adnan membidas politik murahan pembangkang itu kerana tuduhan mengaitkan gangguan dengan operasi Lynas jelas merupakan suatu fitnah.

"Kapasiti air yang dibekalkan ke seluruh daerah ini adalah 330 juta liter sehari tetapi hanya digunakan sebanyak 308 juta liter kerana bakinya disimpan.

"Projek Lynas daripada kedua-dua fasa hanya membabitkan 0.3 peratus. Malah, sambungan paip ke kawasan perindustrian tidak membabitkan bekalan yang disalurkan kepada penduduk seluruh daerah ini," jelasnya.

Tambah Adnan, beliau melihat isu ini sengaja digembar-gemburkan pembangkang terutama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh kerana Ahli Parlimen Kuantan itu ketandusan isu dan mula sedar rakyat kini telah menolaknya.

"Saya tak nampak masalah air ini perlu digembar-gemburkan kerana enjin pam rosak apa nak buat. Sama seperti apabila kita memandu kereta rosak, tak kan nak salahkan pemandu pula?

"Bila masalah air berlaku, saya juga mengalaminya. Tidak mungkin kerajaan sengaja mahu menyusahkan rakyat terutama dekat-dekat Pilihan Raya Umum Ke-13 ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau amat kesal apabila pembangkang yang sering mengamalkan budaya fitnah sengaja mengecam dan mencemuh Paip tanpa alasan yang munasabah.

"Mungkin bagi mereka budaya tersebut termasuk mengadakan demonstrasi jalanan sebagai biasa tetapi kali ini mereka mengheret pula Paip untuk propaganda politik mereka," ujarnya.

Pelajar Temerloh teruja jumpa Sheikh Muszaphar

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Sheikh Muszaphar Shukor (kanan) menyampaikan ceramah kepada para pelajar SMK Datuk Bahaman pada Program Latihan Akademik Empower di Temerloh, Pahang, semalam.

TEMERLOH 12 April - Sebanyak 1,500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bahaman, Lanchang di sini teruja dengan kehadiran Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menyampaikan ceramah dalam program Latihan Kemahiran Akademik Empower di sekolah tersebut di sini hari ini.

Program kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin.

Sesi yang berlangsung selama satu jam 30 minit bermula pukul 9.15 pagi itu berjaya menarik perhatian pelajar terbabit mendengar pengalaman angkasawan berkenaan ketika berada di angkasa lepas pada 2007.

Sheikh Muszaphar menceritakan pengalamannya ketika berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) termasuk bagaimana kehidupan seorang angkasawan Islam menunaikan ibadah di stesen berkenaan.

Selain itu, para pelajar tidak melepaskan peluang bertanyakan beberapa soalan kepada Sheikh Muszaphar, khususnya perkara yang dilakukan di sana ketika itu.

Dalam pada itu, Mohd. Sharkar berkata, program sebegini mampu menyuntik semangat dan motivasi para pelajar mencipta kejayaan cemerlang dalam akademik.

Menurut beliau, kehadiran angkasawan negara itu dapat membuka minda pelajar di luar bandar bahawa ilmu sains amat penting dalam kehidupan seharian.

"Kehadirannya yang dibawa oleh ECERDC akan membuka satu lembaran baharu kepada pelajar terbabit untuk terus berjaya, sekali gus melahirkan modal insan berguna pada negara di masa depan.

"Pengalaman beliau ketika berada di angkasa lepas sememangnya amat berguna dan program sebegini wajar diteruskan ke sekolah lain dalam menarik minat para pelajar terhadap mata pelajaran Sains," ujarnya.

Sokongan pengundi Cina penting untuk BN

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Suhaimi Ibrahim (berdiri, enam dari kanan) bersama penerima baucar Karisma Di Hati Rakyat sempena program Bersatu Membanteraskan Jenayah anjuran Ibu Pejabat Polis Lipis di Kampung Penjom, Lipis , Pahang, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 12 April - Pengundi Cina di Parlimen Lipis diminta memantapkan sokongan untuk membolehkan calon Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti undi yang lebih tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, sokongan pengundi Cina cukup penting bukan sahaja bagi memastikan kemenangan BN tetapi membolehkan kerajaan yang dibentuk nanti membawa lebih banyak pembangunan dan kesejahteraan kepada kaum berkenaan.

Beliau berkata, pembabitan kaum Cina menerusi pilihan raya umum pertama menerusi MCA telah banyak menyumbang ke arah melakarkan perpaduan dan pembangunan perniagaan di negara ini.

"Elakkan daripada dihasut oleh segelintir konco-konco pembangkang yang cuba menyebarkan dakyah, khususnya membabitkan isu kebajikan dalam kalangan warga emas dan mereka yang tidak mampu," katanya kepada pemberita selepas program Bersatu Membanteras Jenayah anjuran Ibu Pejabat Polis (IPD) Lipis di Kampung Penjom di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan dan Penghulu Mukim Penjom, Azhar Bakar.

Sempena majlis berkenaan, Suhaimi turut menyampaikan baucar Program Karisma Di Hati Rakyat bernilai RM14,000 kepada 70 warga emas dan mereka yang tidak berkemampuan dalam kalangan kaum Cina di Kampung Penjom di sini.

Menurut beliau, pengundi Cina tidak perlu terikut dengan pihak pembangkang yang cuba meracuni pemikiran mereka dengan pelbagai isu kerana tindakan itu akan membawa kepada perpecahan kaum dan kemerosotan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, usaha kerajaan menjaga kebajikan penduduk yang tidak berkemampuan menerusi Program Karisma Di Hati Rakyat dilakukan dengan sumbangan baucar pembelian barang bernilai RM200.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta menerusi program tersebut pada Februari lalu untuk manfaat penerima berbelanja barangan keperluan harian dan kelengkapan di kedai-kedai terpilih di seluruh negara.

Suhaimi yang juga Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sudah menjadi tanggungjawab sosial BN memenuhi janji dan menyelesaikan segala masalah rakyat agar mereka hidup selesa dan bahagia.

Beliau menambah, sumbangan berkenaan menunjukkan Perdana Menteri prihatin dengan sokongan kaum Cina terhadap kerajaan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan