Sabtu, 13 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Syabas lipat ganda usaha

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

Beberapa kakitangan Syabas giat melaksanakan kerja-kerja baik pulih paip besar yang pecah di lokasi berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, sehingga menjejaskan bekalan air kepada setengah juta pengguna di Lembah Klang.

KUALA LUMPUR 12 April - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) membuka Pusat Khidmat Setempat (PKS) di empat buah lokasi strategik bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat dan bantuan mengenai gangguan bekalan air yang dihadapi.

PKS tersebut termasuklah di Rukun Tetangga Seksyen 2 Desa Setapak, Pasaraya Hero di Taman Dagang Ampang, Pasaraya Giant di Setiawangsa dan tempat letak kereta bersebelahan Plaza Spektrum di Jalan Wawasan 4/7 Bandar Baru Ampang.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, bagaimanapun jumlah PKS tersebut akan ditambah mengikut keperluan ekoran masalah gangguan bekalan air itu dijangka berlarutan sehingga Rabu depan.

"Kerja-kerja pembaikan paip pecah di lokasi berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, dijangka selesai malam ini walaupun kami menghadapi pelbagai masalah termasuk cuaca hujan sehingga kerja-kerja baik pulih terpaksa ditangguh.

"Apabila siap dijangka bekalan air akan disalurkan secara berperingkat ke kawasan terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi menjelaskan perkembangan terkini berhubung gangguan air di PKS Rukun Tetangga Seksyen 2 Desa Setapak di sini, hari ini.

Kelmarin paip besar berukuran 2,000 milimeter dari Kolam Air Dusun Kubung ke Wangsa Maju telah pecah di lokasi berhampiran tebing sungai di Kampung Melayu Batu Caves, akibat hujan lebat malam.

Berikutan itu kira-kira setengah juta pengguna melibatkan 82 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai terus mengunjungi PKS Rukun Tetangga Seksyen 2, Desa Setapak di sini bagi mengemukakan aduan dan mendapatkan penjelasan berhubung gangguan tersebut.

Abdul Halem menambah, sehingga ke hari ini sebanyak 38,000 panggilan daripada orang ramai yang cuba menghubungi talian bebas tol Syabas.

"Oleh kerana itu, PKS dibuka sebagai alternatif kepada orang ramai bagi mendapatkan status terkini mengenai gangguan tersebut," katanya.

PRU-13: Veteran tentera tangkis hasutan bekas pegawai tinggi

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

SHAH ALAM 12 April - Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) akan menangkis cubaan beberapa bekas pegawai tinggi tentera yang kini menyertai pakatan pembangkang untuk menghasut 185,000 ahlinya di seluruh negara supaya membenci kerajaan Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Mohd. Sabri Abd. Malek berkata, pihaknya akan memberikan penerangan kepada semua ahli PVTTB agar tidak terpengaruh dengan hasutan yang dilemparkan oleh bekas-bekas pegawai tinggi tentera terbabit yang boleh dianggap sebagai pembelot.

''Mereka (bekas pegawai tinggi tentera) merupakan golongan yang tidak bersyukur dengan kemudahan dan faedah yang diperoleh daripada kerajaan BN semasa berkhidmat dan mendapat pencen sebagai pegawai berbanding kami yang hanya anggota biasa.

''Jadi PVTTB akan menangkis semua hasutan dan maklumat tidak betul yang mereka canangkan kepada rakyat terutama anggota persatuan termasuk semasa sesi ceramah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Konvoi Ekspedisi Nostalgia Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disempurnakan Datuk Paduka Hanafi Sulaiman, mewakili Penaung PVTTB, Datuk Seri Noh Omar di Dataran Shah Alam di sini petang ini.

Sebanyak 40 buah kenderaan menyertai ekspedisi tersebut yang akan menjelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan acara penutup akan diadakan di Tanjung Karang dekat sini, 4 Mei ini.

Mengenai ekspedisi tersebut, Mohd. Sabri berkata, pihaknya akan memberikan penerangan kepada ahli-ahli PVTTB tentang manfaat yang telah diberikan kerajaan BN kepada veteran tentera selama ini termasuk bantuan RM1,000 yang diterima oleh mereka baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menerangkan rancangan masa depan PVTTB untuk membantu ahli-ahli dan keluarga mereka dari segi kebajikan dan sebagainya termasuk permohonan mendapatkan elaun sara hidup RM500 yang sedang dipertimbangkan kerajaan BN.

''Kita amat menyanjung tinggi dan berterima kasih terhadap sokongan kerajaan BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membela golongan tentera tidak berpencen selama ini.

''Kita mendoakan kerajaan BN akan terus memerintah agar rakyat dan ahli-ahli PVTTB dapat terus menikmati kemudahan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini," katanya.

Aplikasi OSC 1Submission mudahkan urusan permohonan permit pembinaan

Posted: 12 Apr 2013 11:37 AM PDT

Ahmad Phesal Talib (tengah) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian stesen minyak Petronas yang menggunakan aplikasi OSC 1Submission di KM 2.95 Penchala Link arah Damansara, di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 12 April -Permohonan projek berskala kecil bukan kediaman di ibu negara yang menggunakan aplikasi sistem pusat setempat OSC 1 Submission hanya akan mengambil masa kurang daripada 100 hari untuk diproses.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, proses kerja mengikut garis panduan itu juga hanya meliputi 10 prosedur berbanding 32 sebelum ini.

Menurutnya, inisiatif itu diperkenalkan bukan sahaja memudahkan urusan permohonan permit, bahkan memperlihatkan kecekapan DBKL dan agensi kerajaan terlibat.

"Prosedur yang diperkenalkan itu amat berkesan dan dianggotai beberapa pihak termasuk Indah Water Konsortium Sdn. Bhd (IWK), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan stesen minyak Petronas di KM2.95 Penchala Link arah Damansara yang merupakan projek pertama yang menggunakan OSC 1Submission di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi bersama Pasukan Petugas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Yong Poh Kon dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Aminul Rashid Mohd. Zamzam.

Tambah Ahmad Phesal, beberapa projek lain juga akan dilaksanakan mengikut prosedur itu selepas ini termasuk pembinaan Perpustakaan 1Malaysia, surau dan beberapa dewan di sekitar Kuala Lumpur.

Sementara itu, Poh Kon berkata, stesen minyak tersebut diluluskan permit pembinaannya dengan lebih cepat , mudah dan menjimatkan kos sehingga RM20,000.

"Malah ia memberi faedah kepada semua pihak pemohon (PSP) yang berurusan kerana ia lebih cepat dan menjimatkan masa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan