Khamis, 25 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Kerajaan sedia RM3 juta

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh SAHBULAH DARWI
utusankedah@utusan.com.my

MUHYIDDIN Yassin menunjukkan tanda bagus atas plan pembinaan pusat sukan sambil diperhatikan oleh Ahmad Bashah Md. Hanipah (kiri) dan Mukhriz Tun Mahathir (dua dari kiri) pada Majlis Perletakan Batu Asas Cadangan Pembinaan Pusat Sukan Parlimen Jerlun di Sanglang, Kedah, kelmarin.

JERLUN 24 April - Penduduk daerah ini bakal mempunyai sebuah Pusat Sukan Parlimen Jerlun yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bernilai RM3 juta di Sanglang, Ayer Hitam di sini.

Majlis peletakan batu asas pembinaan Pusat Sukan Parlimen Jerlun di Sanglang dekat sini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Kedah dan juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah hadir sama.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembinaan pusat itu adalah hasil inisiatif kerajaan BN sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan muda.

"Pelbagai kemudahan telah dibawa oleh BN di daerah ini dan pusat sukan ini adalah untuk golongan muda melakukan pelbagai aktiviti sihat," katanya semasa majlis berkenaan di sini.

Menurutnya, pusat sukan berkeluasan lebih 10 hektar itu terletak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang dan dijangka dibina pada hujung tahun ini.

Katanya, ia merangkumi pembinaan pusat kegiatan sukan lengkap dengan podium mini, trek joging, gelanggang futsal, padang permainan kanak-kanak dan padang terbuka untuk kegunaan orang ramai.

Tambahnya, pusat tersebut dijangka siap dibina dalam tempoh setahun dan ia boleh memuatkan kira-kira 1,000 orang dalam satu-satu masa.

Polis puas hati aktiviti PRU-13 di Perlis berjalan lancar

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

KANGAR 24 April - Polis negeri ini berpuas hati kerana sehingga kini semua aktiviti berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, ini memandangkan semua pihak berkaitan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Ini yang kita mahukan demi untuk kebaikan semua pihak," katanya dalam satu perjumpaan dengan kumpulan wartawan sempena PRU-13 di Pusat Media PRU-13, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Zull Aznam memberitahu, setakat ini pihaknya menerima tujuh aduan daripada penyokong parti yang tidak berpuas hati ekoran kerosakan dan kehilangan bendera atau bahan kempen selain perebutan kawasan.

Katanya, siasatan awal polis mendapati masalah tersebut bukan disebabkan unsur khianat tetapi disebabkan angin kuat dan ribut.

"Setakat ini kawasan paling 'hangat' adalah di sekitar Arau ekoran calon-calon yang bertanding terdiri daripada nama besar dalam politik," katanya.

Tambah beliau, sebanyak 1,192 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini bakal terlibat dalam proses undi awal PRU-13 pada 30 April ini.

"Sebanyak 12 pusat mengundi dibuka untuk polis yang melibatkan lapan lokasi antaranya di IPK Perlis, Kangar dan empat lagi untuk ATM dan salah satunya di Kem Oran, Mata Ayer, Arau," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan