Khamis, 18 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Kata dua DAP kepada ROS

Posted: 18 Apr 2013 12:07 PM PDT

KUALA LUMPUR 18 April - DAP memberi kata dua kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menarik balik arahan agar parti itu mengadakan pemilihan semula ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) sebelum pukul 3 petang esok.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng memberikan 'alasan' ROS tidak menghantar surat rasmi sebaliknya hanya menghantar faks kepada mereka semalam.

"Kami hendak surat rasmi daripada ROS, tempoh kami kepada ROS hanya sehingga jam 3 petang esok. Kenyataan ROS kepada media berhubung ini juga tidak kami terima sebagai keputusan muktamad ROS.

"Andainya ROS gagal menghantar sebarang jawapan rasmi, kami bercadang menggunakan simbol Pas di Semenanjung dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dan Sarawak pada PRU13," katanya.

Sementara itu, ROS mengesahkan masih menjalankan kajian terhadap pendaftaran DAP berikutan pertikaian yang berlaku dalam kalangan ahli parti itu.

Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, berdasarkan Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966, pihaknya tidak memberi pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan DAP yang dibentuk semasa pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu pada 15 Disember tahun lalu.

"Kita telah memaklumkan kepada DAP tentang perkara ini dan siasatan berhubung pemilihan parti itu akan diteruskan.

"Walau bagaimanapun, pendaftaran DAP tidak terbatal dan parti itu masih boleh menggunakan simbolnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, sumber ROS berkata, pihaknya tidak mengiktiraf ahli CEC parti berkenaan yang dilantik dalam pemilihan tahun lalu ekoran pertikaian yang berlaku, selagi siasatan masih berjalan.

Isu pemilihan CEC parti itu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi untuk mengundi pada pemilihan tahun lalu.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan dalam satu sidang akhbar di sini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa menerima surat ROS bertarikh 17 April, yang diterima melalui faksimile hari ini, menyatakan DAP tidak berkuasa mengeluarkan surat watikah pelantikan kepada mana-mana calon parti menggunakan simbol parti iaitu roket pada PRU13.

Menurutnya, ini susulan keputusan ROS yang tidak memberi pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan CEC parti DAP.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, DAP bercadang menggunakan simbol Pas di Semenanjung dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dan Sarawak pada PRU13.

Guan Eng sebelum itu mengadakan mesyuarat bersama Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang menurut pemimpin DAP itu mendapat persetujuan pemimpin parti masing-masing berhubung penggunaan simbol Pas dan PKR.

Beliau turut berkata, sepucuk surat yang diterima semalam menyatakan ROS telah bersetuju menangguhkan penyiasatan berhubung pemilihan jawatan CEC.

Dalam surat itu, kata Guan Eng, ROS telah bersetuju bahawa penyiasatan tersebut yang sepatutnya dijalankan hari ini, ditangguh ke 9 Mei.

Boleh guna lambang roket - SPR

Posted: 18 Apr 2013 12:07 PM PDT

KUALA LUMPUR 18 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan bahawa DAP boleh menggunakan lambang roket untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Penggunaan lambang itu dibenarkan walaupun siasatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu masih berjalan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusoff berkata, siasatan itu sama sekali tidak akan memberi kesan kepada parti tersebut dalam meletakkan calon mereka untuk bertanding pada hari pengundian nanti.

"Ia tidak akan memberi kesan kepada DAP kerana parti itu belum lagi digantung atau dibatalkan dan ROS memberi tempoh sebulan.

"Jadi, DAP masih boleh menggunakan logo dan mengemukakan calon seperti biasa pada hari penamaan," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Semalam, ROS tidak mengiktiraf ahli CEC parti berkenaan yang dilantik dalam pemilihan pada 15 Disember 2012 ekoran pertikaian yang berlaku selagi siasatan masih berjalan.

Menurut sumber, perkara tersebut dinyatakan dalam notis menurut Seksyen 16(1) di bawah Akta Pertubuhan 1966 yang telah dihantar semalam kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan