Jumaat, 12 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Peranan wanita bangunkan negara semakin penting - Isa Sabu

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

MD. Isa Sabu beramah mesra dengan peserta program Peranan Wanita/Institusi Kekeluargaan di Dewan Residensi, Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 11 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, peranan wanita di Perlis kini semakin menunjukkan perkembangan yang sangat membanggakan berbanding lebih 30 tahun yang lalu.

Katanya, ini kerana wanita bukan sahaja berperanan mendidik generasi, malah turut memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara.

"Penglibatan wanita sebenarnya sebagai pelengkap bagi menguruskan pembangunan dan penglibatan dalam politik negara, sekali gus memberikan satu paradigma baharu kedudukan mereka di dalam kerajaan," katanya ketika merasmikan seminar Peranan Wanita/Institusi Kekeluargaan anjuran Jabatan Pembangunan Wanita negeri di Dewan Residensi di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mansor Jusoh.

Md. Isa percaya wanita di negeri ini memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap bidang tugas dan kerja masing-masing.

"Kerajaan juga menunaikan tanggungjawabnya dengan menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan," katanya.

Sehubungan itu katanya, tidak mustahil Perlis mampu mencapai status negeri maju menjelang tahun 2015, Wawasan 2020 dan Perlis Sebagai Bandaraya 2030.

Beliau berkata, sumbangan wanita sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja di dalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting.

"Wanita bukan sahaja memainkan peranan utama di dalam pembentukan generasi akan datang, malah merupakan sumber ekonomi yang penting," katanya.

Md. Isa juga mengingatkan kaum wanita supaya bersungguh-sungguh dalam menjaga kesihatan diri sendiri dan juga keluarga.

"Ini adalah perkara asas bagi menjamin sesebuah keluarga mencapai kecemerlangan," katanya.

Masjid At-Taufiqiah bantu wira Lahad Datu

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

KULIM 11 April - Pengorbanan anggota keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa dalam insiden memerangi pengganas di Lahad Datu terus mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak di negara ini.

Terbaharu, anak-anak kariah Masjid At-Taufiqiah, Kampung Air Merah di sini, mengambil inisiatif mengumpul sejumlah wang untuk didermakan kepada Tabung Perwira Lahat Datu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kariahnya, Ismail Hamid memberitahu, pihaknya berasa terpanggil untuk menghargai jasa dan kebaktian para anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu.

"Oleh itu, ahli-ahli jawatankuasa kariah bersetuju supaya separuh daripada kutipan mingguan masjid didermakan kepada tabung tersebut.

"Kami mendoakan keberkatan atas semua penderma ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek berjumlah RM801 itu di sini.

Wakil Ketua Polis Daerah Kulim, Asisten Supritenden Hamdan Basiron hadir menerima cek tersebut.

Sementara itu, Hamdan berkata, pihaknya akan menyerahkan wang sumbangan berkenaan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tujuan edaran.

UMNO Padang Terap bantu 20 keluarga mangsa ribut

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

MAHDZIR Khalid (tiga dari kiri) melawat mangsa ribut, Melah Nanyan, (dua dari kiri) di Kampung Hijrah, Batu 19, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah, semalam.

PADANG TERAP 11 April - Kesusahan 20 keluarga dari empat buah kampung di Kuala Nerang di sini yang rumah mereka dipukul ribut malam tadi mendapat perhatian UMNO Bahagian Padang Terap yang menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan beban mereka.

UMNO bahagian itu dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan antara pihak terawal menyalurkan bantuan makanan selain memberikan komitmen untuk membaiki kesemua rumah keluarga tersebut yang nilai kerosakannya dianggarkan mencecah RM100,000.

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan memastikan kesemua rumah yang terlibat diperbaiki segera dengan bantuan awal disalurkan pihaknya sebelum mengusahakan pembiayaan daripada agensi-agensi Kerajaan Pusat.

"Kami berharap proses membaiki rumah-rumah yang rosak dapat disiapkan dalam tempoh beberapa hari ini bagi membolehkan mangsa menduduki rumah masing-masing seperti sedia kala," katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan yang dilanda ribut bersama pemimpin UMNO bahagian itu, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam tadi, 20 buah rumah di Kampung Hijrah, Padang Lalang, Pulau Kijang dan Kampung Pokok Jawi di sini rosak terutama di bahagian bumbung setelah dilanda ribut.

Seorang mangsa, Melah Nanyan, 60, dari Kampung Pokok Jawi bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan.

Katanya, ribut menerbangkan sebahagian besar bumbung rumahnya selain bilik air sedang dibina hampir ranap dihempap pokok yang tumbang akibat angin kencang.

"Dalam sekelip mata sahaja ribut menerbangkan bumbung rumah di bahagian ruang tamu. Dalam keadaan cemas itu, seorang anak saya melaungkan azan dan nasib baik kami tiga beranak tidak mengalami kecederaan," katanya.

Seorang lagi mangsa, Wan Mustafa Wan Ali, 47, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menyediakan minuman dan makanan dipesan pelangggan yang mengunjungi kedainya.

Katanya, dia dan kira-kira 15 pelanggan hanya menyedari rumah kedainya itu dipukul ribut apabila bumbung tiba-tiba jatuh.

"Inilah kali pertama saya mengalami kejadian seumpama ini sepanjang 46 tahun menetap di sini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan