Selasa, 23 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Kit Siang tolak Anwar jadi PM?

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh KAMIL MASLIH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 April - Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menamakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri pilihan menunjukkan hubungan kepimpinan dalam pakatan pembangkang yang semakin rapuh.

Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh Siew Hock berkata, ura-ura Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipilih menjadi Perdana Menteri hanya satu taktik DAP untuk memancing dan memperdaya pengundi kaum Cina.

"Tindakan Kit Siang bertanyakan khalayak di Johor sama ada mereka memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri telah menunjukkan wajah sebenar DAP.

"Hakikatnya, Kit Siang langsung tidak menyebut Anwar sebagai pilihan Perdana Menteri dan ini menunjukkan satu undi DAP bermakna satu undi kepada Pas, mereka hanya mahu menguji reaksi dan penerimaan komuniti Cina terhadap Pas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Jason, niat DAP bertanding di Johor adalah bagi memberi peluang kepada Pas berkuasa di negeri itu dan mengambil kedudukan Menteri Besar.

"Sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih Kerajaan Pusat, Pas yang akan memperoleh kejayaan dengan mendapat jawatan Perdana Menteri dan mereka akan memperkukuhkan lagi kedudukan di Johor," katanya.

Sementara itu, Setiausaha MCA Pulau Pinang, Lau Chiek Tuan berkata, pertembungan akan berlaku dalam DAP antara keluarga Kit Siang dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Begitu juga setiap kali isu hukum hudud Pas timbul, Karpal berkeras menolak perkara itu, namun Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP akan cuba menyembunyikan niat sebenar Pas," katanya.

Jelasnya, berbanding dengan Karpal, keluarga Lim mempunyai pengaruh lebih besar dalam DAP sehingga kenyataan mereka menjadi polisi parti sementara kata-kata Karpal hanya disifatkan sebagai pandangan peribadi.

Perlembagaan mungkin diubah

Posted: 23 Apr 2013 12:45 PM PDT

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

Dr. Mahathir Mohamad yang diiringi Abdul Aziz Jaafar (kanan) bersalaman dengan warga TLDM di majlis Ceramah Perpaduan Ummah Menjelang PRU Ke-13 di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, semalam. - utusan/Roy Azis Abd. Aziz

LUMUT 23 April - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat negara ini yang Perlembagaan Persekutuan mungkin diubah dan digantikan dengan dasar-dasar yang merugikan mereka jika pakatan pembangkang dibiarkan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Perdana Menteri berkata, dasar meritokrasi yang sering dilaung-laungkan pembangkang juga mungkin dilaksanakan sehingga menyebabkan segala peluang hanya diberikan kepada kumpulan terbaik manakala kurang cemerlang akan terus ketinggalan.

Menurut beliau, berdasarkan dasar kongsi kuasa dan kekayaan yang diamalkan Barisan Nasional (BN) selama ini, golongan kurang cemerlang tetap diberikan peluang untuk berjaya termasuk memegang jawatan-jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan.

"Kalau parti lawan berkuasa dan laksanakan meritokrasi, segala peluang diberikan kepada yang terbaik. Maka, kita kurang baik dan ramai daripada kita bukanlah yang terbaik, mereka yang kurang kebolehan tidak akan mendapat peluang.

"Mereka tidak akan dapat peluang pegang jawatan ketua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan naib canselor universiti kalau dasar meritokrasi dilaksanakan. Kita bukan tidak mahu meritokrasi, tetapi kita juga beri pertimbangan kepada mereka yang baik tetapi bukan yang terbaik," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan Ceramah Perpaduan Ummah Menjelang PRU-13 yang dihadiri kira-kira 3,000 warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Dr. Mahathir berkata, tiada sesiapa boleh memberikan jaminan yang pakatan pembangkang tidak akan meminda Perlembagaan Persekutuan.

"Sama ada diubah atau tidak bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat memberikan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen kepada parti lawan, mereka berhak mengubah perlembagaan," katanya.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir turut mengingatkan umat Islam di negara ini tentang bahaya yang bakal dihadapi mereka sekiranya terus berpecah-belah kepada tiga parti seperti berlaku sekarang.

Menurut Dr. Mahathir, umat Islam di negara ini boleh melihat sendiri nasib umat Islam di selatan Thailand dan Singapura yang tidak mendapat layanan baik kerana menjadi golongan minoriti dan diperintah pihak lain.

Beliau berkata, apabila parti umat Islam menjadi parti minoriti, mereka terpaksa menagih sokongan daripada pihak lain untuk mendapat kuasa dan sudah tentu pihak berkenaan mengharapkan balasan yang akan mengenepikan kepentingan umat Islam.

"Kalau satu pihak mempunyai kekuatan menentukan parti mana akan menang, maka mereka akan minta kepada parti yang memohon bantuan dan parti itu berjanji akan memberi bermacam-macam kepada mereka. Dengan itu, negara kita akan berat sebelah kerana puak majoriti sudah menjadi minoriti kerana sudah tidak ada kekuatan," katanya.

Beliau berkata, bukan sesuatu yang mustahil untuk umat Islam di negara ini bersatu di bawah satu parti seperti yang pernah berlaku semasa menentang pelaksanaan Malayan Union oleh penjajah British dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan