Isnin, 29 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


RM1j bina Rumah Perlindungan Wanita mangsa keganasan

Posted: 28 Apr 2013 12:59 PM PDT

IPOH 28 April - Sebuah Rumah Perlindungan Wanita bakal dibina di Jalan Sultan Azlan Shah di sini bagi melindungi golongan itu daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman (gambar) berkata, rumah yang akan diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu boleh memuatkan sehingga 30 penghuni daripada pelbagai kaum.

"Kita akan mengubah suai sebuah bangunan untuk dijadikan rumah berkenaan bermula Mei ini dan kerja-kerja tersebut dijangka mengambil masa selama enam bulan.

"Kita mahu memberi keyakinan kepada wanita untuk menangkis kebimbangan dan ketakutan dalam meneruskan kehidupan. Jika mereka dihalau dari rumah, mereka boleh mendapatkan perlindungan sementara secara sukarela dan bukan dengan perintah mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad.

Dalam pada itu Hamidah berkata, beberapa sesi kaunseling juga akan dianjurkan di rumah berkenaan bagi mengelakkan kaum wanita mengalami trauma ekoran menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Selain itu katanya, aspek keselamatan di rumah berkenaan juga akan dipertingkat bagi mengelakkan sebarang pencerobohan pihak luar.

Ambil kira pandangan rakyat

Posted: 27 Apr 2013 12:51 PM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

MUKHRIZ Dr. Mahathir (kiri) berucap merasmikan Hari Keluarga Blue Archipelago di padang bola kolam udang Kerpan di Jerlun, Kedah, semalam.

JERLUN 27 April - Semua cadangan projek pembangunan yang terkandung dalam manifesto Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah, termasuk menjadikan Jerlun sebagai pusat industri minyak dan gas akan dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan serta kepentingan rakyat.

Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, rakyat tidak perlu khuatir kerana BN Kedah memberi jaminan tidak akan melakukan perkara yang merugikan penduduk jika diberi kepercayaan mentadbir semula negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Yakinlah, kita akan duduk bersama berbincang untuk menyelesaikan masalah yang timbul dan kami berjanji BN akan melakukan yang terbaik bagi membela nasib rakyat," katanya pada Hari Keluarga Blue Archipelago di padang bola kolam udang Kerpan di sini hari ini.

Antara rancangan yang terkandung dalam manifesto Aku Janji BN ialah mewujudkan bandar getah bertaraf antarabangsa di Padang Terap manakala Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan menerusi Projek Strategik Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand.

Jerlun pula akan muncul sebagai pusat industri minyak dan gas yang mempunyai hubungan dengan hab perindustrian di Yan.

Mukhriz yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam berkata, segala perancangan berkenaan merupakan antara proses perubahan kemajuan yang BN mahu berikan kepada rakyat.

Katanya, parti itu tidak mahu rakyat masih berada pada takuk sama dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang kerana dalam peredaran zaman perlu ada pembangunan.

"BN mempunyai rancangan yang menyeluruh bagi memastikan pembangunan seimbang di semua kawasan sekali gus berada dalam arus kemajuan perdana," katanya.

Shahlan diterima penyokong tegar Pas

Posted: 27 Apr 2013 12:51 PM PDT

Shahlan Ismail (kiri) bersalaman dengan waris pelajar pada Majlis Pertemuan Bersama Ibu Bapa di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kedah, semalam.

POKOK SENA 27 April - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail berjaya berkempen sehingga menembusi kubu Pas di kawasan itu menerusi pendekatan berhemah.

Shahlan yang merupakan anak jati Kampung Sungai Durian di sini berkata, sehingga hari ini ramai pengundi, terutama penyokong Pas keliru sama ada beliau calon BN atau calon Pas.

"Ramai yang keliru saya calon parti mana. Sikap dan pendekatan yang saya bawa iaitu menawarkan kedamaian dalam politik pasti tak ada satu manusia yang waras akan menolak saya.

"Kawan-kawan saya yang dahulu menyokong Pas ramai sudah kembali kepada BN dengan pendekatan yang saya bawa ini.

"Alhamdulillah, sehingga hari ini kempen saya tidak mempunyai masalah dan saya berjaya menembusi kubu-kubu Pas di Parlimen Pokok Sena," katanya selepas menghadiri Majlis Pertemuan Bersama Ibu Bapa di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena di sini hari ini.

Shahlan merupakan calon muka baharu yang diketengahkan oleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi menentang Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar bagi merebut kerusi Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, Shahlan juga yakin pengundi Cina di kawasan Pokok Sena menyokong calon-calon BN kerana mereka yakin dengan parti itu yang mampu membawa masa depan yang baik untuk mereka.

Katanya, ramai pengundi Cina berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dan Dr. Cheah Soon Hai yang merupakan calon BN di situ juga diterima baik oleh masyarakat Cina.

"Bagi saya untuk tarik pengundi Cina ia tak jadi masalah kerana Soon Hai diterima baik di kawasan Derga dan kita ada banyak bantuan daripada jentera MCA serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di situ.

"Banyak program yang melibatkan masyarakat Cina saya turun, saya jumpa mereka dan kelebihan saya ialah mereka kenal arwah ayah saya, Ismail Harun.

"Apabila saya sebut saya anak Mail Misai, semua orang kenal ayah saya dahulu pemandu bas. Saya anak orang susah, jadi itu satu kelebihan saya," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan