Utusan Online - Pahang |
- Rumah PR1MA dibina di Kampung Mat Kilau
- Malaysia dicontohi negara luar dipelbagai bidang
- Tangani penangkapan ikan secara haram
Rumah PR1MA dibina di Kampung Mat Kilau Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT LAU Lee menabur borang penyertaan ketika membuat cabutan hadiah utama sempena ulang tahun ke-55 Pasar Raya TF Value Mart di Terminal Bas Inderapura, Jerantut, baru-baru ini. JERANTUT 16 April - Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) fasa pertama akan dibina di satu kawasan seluas 80 hektar di Kampung Mat Kilau di sini bagi membolehkan penduduk daerah ini memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik. Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut telah mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi tujuan tersebut. "Kerajaan akan membina rumah teres serta semi D dan bilangannya masih belum dipastikan tetapi harganya 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran sekarang dengan tidak melebihi RM150,000 seunit," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Cabutan Bonanza sempena ulang tahun ke-55 Pasar Raya TF Value Mart di sini kelmarin yang turut dihadiri Pengarah pasar raya berkenaan, Datuk Low Long Yang dan Pengurus Operasi Value Mart cawangan Jerantut, Lim Tian Loi. Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan projek berkenaan mengikut fasa dan setakat ini terdapat 400 hektar tanah kerajaan akan digunakan bagi membina perumahan tersebut di daerah ini. "Projek rumah itu akan dilaksanakan oleh pihak swasta dan penduduk daerah ini yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat saya," ujarnya. Menurutnya, kerajaan BN tidak lagi membina rumah kos rendah kerana kebanyakan pembeli kini mahukan kediaman yang lebih selesa. Beliau memberitahu, kebanyakan rumah kos rendah yang dimiliki oleh penduduk sekarang telah banyak diubah suai terutama membesarkannya sehingga menjadi rumah kos sederhana. Justeru itu katanya, kerajaan mengambil keputusan memperkenalkan PR1MA selaras dengan iltizam memberikan keselesaan kepada penduduk dan segala janji tersebut akan dilaksanakan. |
Malaysia dicontohi negara luar dipelbagai bidang Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT MARAN 16 April - Malaysia sangat dihormati di persada antarabangsa berikutan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya mengangkat negara ini dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial dan politik sehingga menjadi rujukan di negara luar. Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah manifestasi kepada hala tuju BN untuk membela rakyat. Menurutnya, usaha berterusan kerajaan itu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dengan menghulurkan pelbagai bantuan supaya golongan tersebut dapat menikmati kehidupan yang selesa. "Jaminan Perdana Menteri rakyat dan negara akan bertambah makmur membuktikan semangat tinggi beliau meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju mengikut acuan sendiri. "Malah matlamat kerajaan melahirkan rakyat berpendapatan tinggi menjelang 2020 dijangka dapat dicapai sekiranya kerajaan BN mendapat mandat besar dalam pilihan raya umum kali ini," katanya kepada Utusan Malaysia selepas Program Kasih Dari Pintu Ke Pintu di Felda Hulu Jempol, di sini semalam. Shahaniza berkata, rakyat yang berfikiran rasional tidak mungkin dapat menafikan kebaikan BN dalam membela mereka berbanding pembangkang yang sering memburukkan kerajaan. Tambahnya, pembangkang dilihat begitu ghairah memperlekeh kerajaan BN seolah-olah mereka lebih baik dalam semua segi tetapi realitinya dibelenggu pelbagai masalah pentadbiran, moral dan rasa tidak percaya dalam kalangan rakyat. "Sehubungan itu, rakyat yang kasihkan agama, bangsa dan negara perlu bersatu menghalang agenda pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO," katanya. |
Tangani penangkapan ikan secara haram Posted: 16 Apr 2013 01:43 PM PDT ADNAN Hussin (tiga dari kiri) membantu Syed Ibrahim Syed Ahmad (kanan) melepaskan benih ikan ke dalam tempat pelepasan khas di Kampung Benus, Kerdau, Temerloh, baru-baru ini. TEMERLOH 16 April - Nelayan sungai yang tinggal di negeri ini terutama di sepanjang Sungai Pahang, Sungai Semantan, Sungai Jelai dan beberapa sungai lain disaran membantu Jabatan Perikanan Pahang dalam menangani masalah penangkapan ikan menggunakan peralatan haram. Pengarahnya, Adnan Hussin berkata, kerjasama itu penting bagi mengatasi kekurangan bekalan ikan ekoran tindakan pihak terbabit menggunakan peralatan haram untuk menangkap ikan dengan cara mudah. Tegasnya, walaupun agensi itu melaksanakan program pemuliharaan sumber perikanan darat tetapi matlamatnya tidak tercapai jika aktiviti haram tersebut gagal dibendung dengan berkesan. "Sepanjang tahun lalu, jabatan ini menerima 71 aduan berkaitan kaedah penangkapan ikan secara haram seperti menggunakan racun, menuba dan arus elektrik. "Dengan jumlah bilangan penguat kuasa yang terhad, adalah sukar bagi jabatan ini mengawal sepenuhnya setiap inci perairan sungai di negeri ini daripada aktiviti tersebut," katanya kepada pemberita selepas melepaskan 27,000 benih ikan temeliang dan lampan sungai di Kampung Benus, Kerdau di sini baru-baru ini. Yang turut hadir penyandang Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad. Beliau memberitahu, aktiviti tersebut kerap berlaku pada musim kemarau, antara Mei hingga September setiap tahun dan banyak dilaporkan terjadi di Jerantut, Lipis, Cameron Highlands, Temerloh, Maran sera Rompin. "Dari 2010 hingga 2012, jabatan ini telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM14,000 bagi 26 kes terbabit," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan