Utusan Online - Utara |
SMK Gemilang juara Chef Remaja Pertandingan Memasak 2013 Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT MOHD. Hanif Haron (tengah) bersama sebahagian peserta pada program Chef Remaja Pertandingan Memasak 2013 di SMK Gemilang Butterworth, Pulau Pinang, semalam. BUTTERWORTH 25 April - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemilang, Teluk Air Tawar muncul juara Chef Remaja Pertandingan Memasak 2013 peringkat negeri. SMK Gemilang yang dibarisi oleh Nurul Liyana Sua'ad, 15; Putri Sorhana Muhammad Sayuti, 14, dan Khairunnisak Farhana Khairul Nizar, 14, berjaya mengetepikan 11 sekolah lain yang mewakili daerah masing-masing. Selaku johan pertandingan, mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000, pingat, sijil, hamper sumbangan Maggi dan dapur mudah alih. Dalam pada itu, guru pembimbing pasukan SMK Gemilang, Zaharah Desa berkata, tiga pelajarnya mengambil masa selama seminggu berlatih dan mencari idea mencipta resipi baharu yang boleh memberi saingan kepada peserta lain. "Tidak sangka idea kami menghasilkan lasagna Maggi dan salad Nestle berjaya menarik perhatian juri sehingga dinobatkan sebagai pemenang pertama pertandingan ini. "Kami akan berusaha lebih keras untuk tampil dengan hidangan yang lebih enak dan menarik di peringkat akhir Oktober ini di Putrajaya," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di sini baru-baru ini. Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Timbalan Pengarah Pelajaran Pulau Pinang, Dr. Sharifah Bee Aboo Bakar. Yang hadir sama, Pengurus Persampelan dan Acara Nestle Products Sdn. Bhd. Cawangan Utara, Mohd. Hanif Haron. Sementara itu, tempat kedua dimenangi SMK Datuk Haji Abdul Kadir yang membawa pulang sebanyak RM500 selain turut memenangi RM300 untuk kategori sajian kreatif Maggi. Tempat ketiga dirangkul SMK Convent Pulau Tikus yang membawa pulang RM300 berserta pingat, sijil, hamper dan dapur memasak. |
Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT PADANG BESAR 25 April - Mempelam Harumanis yang menjadi kebanggaan rakyat Perlis bakal meneroka pasaran baharu iaitu Hong Kong dengan penghantaran pertama sebanyak 100 kilogram pada 6 Mei depan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, ini adalah hasil kejayaan ketiga Pertubuhan Peladang Kawasan Paya dan Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan Perlis selepas mengeksport harumanis ke pasaran Jepun dan Singapura. "Sehingga kini, kami belum menetapkan harga jualan untuk sekilogram atau sebiji buah kerana ini merupakan promosi untuk melihat sejauh mana sambutan terhadap raja buah itu," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Hari Ladang Jabatan Pertanian di Dataran Serbaguna, Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri dekat sini hari ini. Menteri Besar, Datuk Dr. Md. Isa Sabu merasmikan majlis yang turut dihadiri Pengarah Pertanian negeri, Zulkifli Amin Mat Jusoh. Pada majlis itu juga diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) eksport mangga harumanis Perlis ke Jepun oleh sembilan pengusaha mangga harumanis negeri berkenaan. Sabry berkata, pada tahun ini pihaknya akan menghantar harumanis ke Singapura sebanyak tiga tan metrik dan Jepun (lima tan metrik). Katanya, sebiji harumanis di Jepun dijual dengan harga 1,000 Yen (RM38) manakala di Singapura pula sekilogram ialah SGD10 (RM25). Katanya, pihaknya juga menjangka pada tahun ini pengeluaran harumanis di Perlis menjangkau sejuta biji atau 300 metrik tan. "Jumlah ini kita jangka daripada penjualan pembungkus balut inovasi sebanyak 600,000 keping dan selebihnya ada pengusaha harumanis yang membalutnya secara tradisional dan tidak membalutnya langsung," katanya. Sabry menambah, orang ramai juga tidak perlu bimbang dengan kualiti buah harumanis yang dibalut menggunakan pembungkus inovasi atau dinamakan sebagai 'Harumanis Gold' kerana terjamin dari segi serangan serangga ke atas buah. Bagaimanapun katanya, pengusaha harumanis yang menggunakan pembalut inovasi perlu menunggu sehingga lapan minggu atau dua bulan sebelum buah dapat dipetik. Jelasnya, 'Harumanis Gold' bukan sahaja cantik dengan warna keemasan, malah dijamin berkualiti. Sabry berkata, sehingga kini jualan buah mempelam mengikut harga jabatan pertanian untuk gred C (RM12), gred B (RM14) dan Gred A (RM15). Tambahnya, harga di ladang biasanya ditawarkan oleh pengusaha di antara RM18 hingga RM22 bagi setiap kilogram. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan