Jumaat, 26 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


PPPKM ikrar sokongan kerajaan, bantu kempen

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) seluruh negeri berikrar bagi menyatakan sokongan padu terhadap kerajaan Barisan Nasional dan bersedia untuk membantu kempen dalam Pilihan Raya Umun PRU-13 (PRU-13) ini.

Yang Dipertua PPPKM Negeri Sembilan, Datuk Zainul Ishak berkata, beliau dan seluruh exco negeri PPPKM mengambil inisiatif turun padang menemui para penjaja di beberapa daerah bagi memastikan sokongan terhadap kerajaan.

"Kita mempunyai ahli berdaftar seramai 28,000 di seluruh negeri dan kita berharap kesemua ahli mendapat mesej yang jelas mengenai jasa kerajaan BN kepada mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zainul berkata, pelbagai kemudahan telah dinikmati oleh setiap ahli selama mereka bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Sudah tiba masanya mereka menyatakan penghargaan terhadap kerajaan dengan menyokong calon-calon BN yang bertanding di kawasan masing-masing.

"Tidak timbul isu, keahlian atau pelbagai kemudahan akan ditarik, apa yang penting mereka sedar jika kerajaan BN dipilih lebih banyak manfaat diterima," katanya.

Turut menyatakan pendirian sama, Yang Dipertua PPPKM Kelantan, Abdullah Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri ditadbir pihak pembangkang, kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan golongan berkenaan.

"Saya sendiri dan anggota exco akan turun padang bertemu setiap ahli bagi menerangkan mengenai pentingnya kepada para penjaja dan peniaga di Kelantan untuk memberikan undi mereka kepada calon-calon BN.

"Kami bukannya menongkah arus di Kelantan tetapi mahu menyedarkan ahli supaya berfikiran lebih terbuka untuk memilih kerajaan yang mempunyai rekod cemerlang," katanya.

Beliau menambah, walaupun kebanyakan peniaga kecil di Kelantan mampu berdiri sendiri tanpa memerlukan bantuan dari mana-mana pihak, jika BN diberi mandat lebih banyak peluang perniagaan diberikan.

Sementara itu Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Sabah, Noortaip Suhaili berkata, sokongan ahli di negeri itu terhadap kerajaan BN amat baik.

Namun katanya, usaha mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan janji kosong pembangkang perlu diteruskan.

Bas komuniti sempena PRU-13

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

PETALING JAYA 25 April - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menyediakan perkhidmatan bas komuniti sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, perkhidmatan tersebut hanya melibatkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas khususnya di Petaling Jaya.

"Mereka boleh menaiki bas tersebut di lokasi biasa yang ditetapkan untuk ke tempat mengundi.

Mereka boleh menunggu bas seawal pukul 9.30 pagi, 11.30 pagi dan 2.30 petang," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPJ di sini hari ini.

Platform 2 ditutup

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menutup sementara Platform 2 dari Pelabuhan Klang ke Batu Caves selama 10 bulan mulai 11 Mei ini.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memaklumkan, penutupan itu bagi membantu kerja-kerja membina Projek Sambungan Laluan (LEP) Kelana Jaya oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad yang akan berintergrasi dengan stesen KTM Subang Jaya.

"Pergerakan penumpang di Platform 1 akan diubah suai untuk menampung keperluan kedua-dua laluan dan jadual perkhidmatan tren juga akan diubah, namun ia tidak akan melibatkan kekerapan perkhidmatan," kata SPAD dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, notis, poster dan jadual baharu perkhidmatan tren akan diletakkan di semua stesen KTM dan laman sesawang rasmi KTM iaitu www.ktmb.com.my.

Maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di 1-300-88-5862.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan