Utusan Online - Pahang |
Graduan perlu bercita-cita tinggi Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT Muhammad Safian Ismail (dua kanan) menyatakan sesuatu kepada Abdul Rahman Abd. Manan (kanan) sambil diperhatikan oleh Siti Jariah Ibrahim pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Ahmad Shah di Kuantan, semalam. - UTUSAN/ AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN 9 April - Setiap graduan politeknik perlu mempunyai cita-cita untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sejajar dengan aspirasi kerajaan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, golongan itu perlu bijak mencari peluang, kreatif serta inovasi untuk menghadapi senario masa kini. Menurut beliau, sijil dan diploma yang dimiliki tidak boleh dianggap sebagai noktah dalam penerokaan ilmu pengetahuan. "Kemahiran berkomunikasi dan personaliti yang menarik adalah penting untuk bersaing dalam sektor pekerjaan yang mencabar. ''Nilai tambah pengetahuan amat berguna kepada para graduan sebagai satu kelebihan setelah tamat pengajian," katanya ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Ahmad Shah Ke-34 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah Polisas, Siti Jariah Ibrahim dan Timbalan Pengarahnya, Jamaliah Ahmad. Majlis konvokesyen selama tiga hari bermula hari ini melibatkan 2,077 graduan yang menamatkan pengajian di peringkat sijil dan diploma. Pada majlis itu, Graduan Diploma Ukur Tanah, Abdul Rahman Abd. Manan muncul penerima Anugerah Pengarah Politeknik Polisas. Muhammad Safian turut menyarankan Polisas terus mempertingkatkan usaha dalam bidang penyelidikan dan inovasi serta mewujudkan penanda aras, kerjasama dan perkongsian pintar dengan institut pengajian tinggi awam serta swasta. Beliau berkata, institut itu memainkan peranan penting melahirkan modal insan kelas pertama bagi konteks dunia global yang menuntut anjakan minda para penuntutnya dalam memenuhi permintaan pasaran masa kini. "Menghasilkan graduan berminda kelas pertama, warga politeknik perlu mempunyai perancangan strategik dan tidak bersandarkan pada kejayaan akademik semata-mata. "Sebaliknya, perlu memberi fokus dalam aspek pembentukan modal insan berkualiti melalui aktiviti yang sesuai," ujarnya. |
Polisas tingkatkan prestasi melalui inovasi, penyelidikan berimpak tinggi Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT Sebahagian pelajar gembira dan bangga setelah menerima diploma pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Ahmad Shah di Kuantan, semalam. KUANTAN 9 April - Politeknik Sultan Ahmad Shah di sini sentiasa berusaha meningkatkan prestasi melalui inovasi dan ciptaan serta penyelidikan berimpak tinggi sejajar dengan matlamat menjadi peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) setanding universiti. Pengarahnya, Siti Jariah Ibrahim berkata, langkah itu menuntut para pensyarah dan penuntut lebih kreatif dan inovatif dalam pembelajaran bagi mengangkat politeknik menjadi institusi pilihan utama terhadap pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menurutnya, institusi itu mempunyai peranan khusus dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi mempunyai kemahiran tinggi. "Jadi pendidikan TVET perlu ditingkatkan sebagai langkah merealisasi sasaran negara termasuk meningkatkan imej pada pandangan masyarakat selari dengan misi Polisas iaitu beriltizam menjadi institusi pendidikan terunggul dalam melahirkan teknokrat separa profesional," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Ahmad Shah Ke-34 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini. Siti Jariah berkata, bagi memastikan program pengajian politeknik sentiasa relevan dan responsif, pengajaran yang dilaksanakan adalah melalui pendekatan hasil asas pendidikan di institusi itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan