Jumaat, 1 April 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Taman Alam Liar Lembah Jemaloi

Posted:

Taman Alam Liar Lembah Jemaloi

Taman Alam Liar Lembah Jemaloi

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


Sebahagian Peserta program Perkhemahan Bersama Media melakukan aktiviti water tubing di Taman Alam Liar Lembah Jemaloi, Jelebu, baru-baru ini.


JELEBU 31 Mac – Perjalanan hampir tiga jam dari Pejabat Daerah Jelebu ke Taman Alam Liar Lembah Jemaloi di sini baru-baru ini sempena program Perkhemahan Bersama Media ternyata penuh dengan cabaran dan rintangan.

Laluan yang kecil serta tidak rata dari Simpang Kampung Chennah dekat sini ke lokasi perkhemahan bertambah 'menggerunkan' apabila 15 buah kenderaan pacuan empat roda terpaksa mengharungi sungai.

Konvoi yang disertai oleh 50 orang wakil dari pelbagai agensi kerajaan negeri dibahagikan kepada empat kumpulan dengan setiap kumpulan diwakili oleh seorang pengamal media.

Tepat pukul 4 petang, aktiviti pertama ialah mengoca iaitu menangkap ikan dalam sungai dengan menggunakan tangan bermula dan tamat pada 6.30 petang. Seterusnya peserta dikehendaki membuat ikon yang melambangkan kumpulan mereka.

Pada sebelah malamnya pula, peserta dikehendaki menunjukkan ikon kumpulan yang dibuat menggunakan bahan daripada alam semula jadi. Setelah itu, mereka dihiburkan dengan persembahan sewang daripada masyarakat Orang Asli dari kaum Temuan.

Pada hari terakhir perkhemahan tersebut, peserta dikehendaki melakukan senamrobik dan poco-poco sebelum menikmati sarapan pagi.

Selepas itu, aktiviti terakhir iaitu water tubing diadakan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohamad Razi Kail.

Mohamad Razi berkata, program itu diadakan bagi memperkenalkan produk baru pelancongan kepada umum.

"Program perkhemahan bersama media yang diadakan oleh Lembaga Pelancongan negeri turut melibatkan 13 agensi kerajaan.

"Melalui penglibatan media di dalam program ini, ia diharap dapat menjadi saluran bagi mempromosikan kawasan tersebut," katanya.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam program dua hari satu malam itu ialah Unit Perancang Ekonomi negeri, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pejabat Daerah Jelebu, Majlis Daerah Jelebu, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Turut terlibat, Pejabat Kementerian Pelancongan negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Pertahanan Awam negeri, Tourism Malaysia negeri, Jabatan Penerangan daerah dan Lembaga Pelancongan negeri.

Menurut Mohamad Razi, pengalaman yang menyeronokkan di situ seharusnya di kongsi agar masyarakat tahu masih terdapat lokasi di negeri ini yang kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Beliau juga berharap masyarakat Orang Asli dapat sama-sama menjaga bumi ini agar dapat dikongsi bersama generasi yang akan datang.

"Sebagai penduduk di sini, mereka perlu memainkan peranan dengan memelihara dan menjaga kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan negeri, Shaharudin Itam menyarankan masyarakat datang ke Taman Alam Liar Lembah Jemaloi yang kaya dengan keindahan alam semula jadi.

"Setelah penat bekerja inilah masa yang sesuai untuk menenangkan fikiran. Di sini masih ada hutan tropika yang kaya dengan flora dan fauna," katanya.

Menurutnya, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dalam program itu amat baik dan dapat mengeratkan hubungan antara mereka.

"Jika sebelum ini mereka hanya berjumpa atas faktor kerja namun melalui aktiviti yang diadakan mereka lebih dekat apabila bekerjasama dalam aktiviti yang dijalankan," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peserta konvoi tidak dapat lupa pengalaman menarik

Posted:

Peserta konvoi tidak dapat lupa pengalaman menarik

Peserta konvoi tidak dapat lupa pengalaman menarik


Para peserta program Perkhemahan Bersama Media bergambar kenangan di Taman Alam Liar Lembah Jemaloi, Jelebu, baru-baru ini.


JELEBU 31 Mac - Peluang menyertai program Perkhemahan Bersama Media ke Taman Alam Liar Lembah Jemaloi di sini baru-baru ini adalah pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh lebih 50 orang pesertanya.

Perjalanan yang penuh dengan rintangan akhirnya berbaloi apabila tiba di lokasi perkhemahan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sehingga para peserta terlupa seketika mengenai dunia luar.

Bagi Norkiah Zainal dari Majlis Daerah Jelebu, walaupun program tersebut hanya diadakan selama dua hari satu malam, ia sangat menggembirakan.

"Sejak bekerja saya jarang mengikuti sebarang aktiviti perkhemahan. Saya amat gembira apabila diberi peluang untuk menyertai perkhemahan ini.

"Tempat ini sangat cantik dan masih mengekalkan keindahan alam semula jadi. Saya rasa amat sukar untuk menemui tempat yang indah seperti ini pada masa ini.

Sementara itu, Farah Izedah Safiai, 25, berharap program seperti itu akan diadakan lagi selepas ini.

"Saya seperti tidak percaya masih ada lagi kawasan yang cantik seperti ini di sini. Sebelum ini jika terdengar saja mengenai sesebuah kawasan perkhemahan, saya rasa ia tidaklah seindah seperti yang disangkakan.

"Tetapi saya amat terkejut apabila tiba di sini, pemandangannya begitu indah dan sungainya sangat bersih," katanya.

Siti Hajar Mat Hassan, 24, pula berkata, beliau tidak akan melupakan saat yang mendebarkan iaitu ketika menuju ke kawasan tapak perkhemahan.

Katanya, keadaan jalan yang dilalui sangat kecil hingga membuatkan perjalanan mereka terpaksa berhenti beberapa kali bagi memberi laluan kepada kenderaan dari laluan bertentangan.

"Sebaik tiba di sungai, perasaan takut akhirnya bertukar gembira apabila kenderaan yang saya naiki berjaya mengharungi sungai. Seperti tidak percaya apabila kenderaan itu bergerak di atas air sungai," katanya.

Noor Adznabila Mohd. Adlan, 20, sangat teruja apabila melakukan aktiviti water tubing.

Katanya, walaupun pernah melakukan aktiviti itu sebelum ini, keadaan di situ lebih mencabar.

"Kami terpaksa mengharungi air yang sangat deras dan menghadapi pelbagai rintangan seperti batu-batu besar di kawasan tersebut," ujarnya.

Rakannya, Siti Nabila Abu Bakar, 20, melahirkan rasa bangga apabila berpeluang mengalami sendiri pengalaman itu.

"Saya sangat sedih apabila terpaksa meninggalkan kawasan ini. Kenangan dan pengalaman yang diperoleh amat bermakna dan sukar dilupakan. Penglibatan pelbagai agensi juga membuatkan kami dapat mengenali mereka dan bertukar-tukar cerita.

"Jika diberi peluang untuk datang ke sini lagi, pastinya saya teringin untuk pergi ke Jeram Berungut dan melihat perkampungan Orang Asli," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

MPS perkenal aplikasi ‘mySMS’

Posted:

MPS perkenal aplikasi 'mySMS'

MPS perkenal aplikasi 'mySMS'

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 31 Mac – Majlis Perbandaran Seremban (MPS) hari ini memperkenalkan aplikasi 'mySMS' bagi memudahkan warga bandar ini menyemak status cukai taksiran dan kompaun letak kereta.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, langkah itu selaras dengan dasar kerajaan di bawah Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 3 Tahun 2008 yang menghendaki setiap agensi kerajaan menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang mudah dicapai rakyat.

"Sistem interaktif ini disediakan khusus bagi pelanggan di sekitar bandar ini yang membolehkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan secara pantas dan efisien pada bila-bila masa sahaja.

"Kewujudan perkhidmatan ini juga membolehkan pelanggan membuat sebarang aduan berkaitan MPS sekali gus menggantikan talian aduan 019-6550160 yang diguna pakai sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, pengguna hanya perlu memasukkan butir semakan maklumat atau aduan seterusnya mengirimkan ke nombor 15888.

"Di samping itu, pengguna juga boleh membuat permohonan borang berkaitan 36 jenis urusan yang berkaitan dengan MPS melalui perkhidmatan baru ini.

"Pelanggan tidak perlu lagi hadir ke pejabat MPS semata-mata untuk mendapatkan borang, sebaliknya hanya perlu memuat turun dari e-mel masing-masing menggunakan mySMS," ujarnya.

Tambah Abd. Halim, pelanggan juga boleh melayari laman web rasmi MPS iaitu www.mpsns.gov.my untuk menyemak kod borang permohonan perkhidmatan yang diperlukan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen