Rabu, 6 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Cabaran sengit 'heavyweight'

Posted:

Cabaran sengit 'heavyweight'

Cabaran sengit 'heavyweight'

Oleh ZULKIFLI JALIL dan SOPI SAMAILE
pengarang@utusan.com.my


Kekecohan ditimbulkan penyokong PKR yang berlaku di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra, Mukah, Sarawak, semalam.


TIDAK ada pekikan dan lolongan para penyokong dan pengikut parti-parti bertanding di hampir kesemua 71 kerusi DUN yang membuka tirai Pilihan Raya Negeri Ke-10 pagi di pusat-pusat penamaan calon seluruh Sarawak semalam. Ia amat berbeza dengan trend di Semenanjung.

Cuma di Balingian, seorang anggota Angkatan Muda Keadilan dari Perak bersama sekumpulan lima rakannya cuba membuat kacau dengan memprovokasi anggota polis dan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kumpulan itu mahu mereka dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Suarah Mesra, Mukah. Kata mereka jika tidak dibenarkan masuk, maka Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga harus diminta berbuat demikian.

Namun, kerenah lelaki yang berlagak 'ketua' itu yang pada awalnya begitu beria-ria, nampak reda setengah jam kemudian setelah 'mendapat lensa' kamera jurugambar. Di satu sudut di situ, Timbalan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tutus Hilir, Awang Yahya Awang Jaya, 57, sekadar menggeleng-geleng kepala.

"Budaya dari luar jangan dibawa masuk ke Mukah. Jika ingin berkempen pun, biar guna cara berhemah, jangan cuba ungkit perkara-perkara yang tidak senonoh, jangan timbulkan huru-hara.

"Ini pertama kali berlaku dengan provokasi dan kekecohan oleh PKR. Jika budaya rakyat di Sarawak, perlakuan seumpama ini tidak berlaku. Kita kena lawan secara aman atau persahabatan, sebab masa ini sahaja kita berbeza namun selepas habis pilihan raya, kita akan berkawan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sememangnya bertepatanlah dengan amaran yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Alfred Jabu Numpang yang mempertahankan kerusi Layar untuk penggal kelapan berturut-turut kepada tukang kempen dari Semenanjung. Beliau meminta mereka supaya jangan buat kacau.

"Jika anda buat kacau di sini, lebih baik anda pulang sebelum anda menyinggung perasaan penduduk. Jika anda mahu buat kacau, fikirlah dua kali.

"Adalah tradisi kami untuk mempertahankan keamanan kami. Sila beradab, jangan ganggu keharmonian di sini," kata Jabu ketika bercakap semasa upacara tradisional miring bagi kaum Ibah di Betong, 60km di utara Sri Aman.

Miring merupakan satu upacara tradisional dalam masyarakat Iban untuk menghormati dewa-dewa, roh-roh dan nenek moyang dan untuk mendapatkan restu. Kata Jabu semasa memperkenalkan istiadat tersebut sebelum ia bermula, para peserta memohon kepada nenek moyang memberi mereka kekuatan dan kemenangan dalam pilihan raya.

Kempen pilihan raya negeri Sarawak yang membuka tirainya menyaksikan beberapa calon 'heavyweight' dicabar oleh beberapa pendatang baru. Di N51 Balingian, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menerima tentangan seorang suri rumah dari PKR, Suriati Abdullah dan seorang calon bebas yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin.

Suriati mengibaratkannya sebagai 'semut' yang berdepan dengan 'gajah' di sebalik mengakui "semangat saya cukup kuat dan memiliki penyokong yang ramai". Salleh pula mendakwa dia bukannya menentang Abdul Taib secara terbuka tetapi 'seorang individu' yang dilihat agak rapat dengan penyandang kerusi Balingian itu. Salleh dilihat bertegang urat dengan individu yang dimaksudkannya itu di pekarangan Dewan Suarah Mesra.

Selain Abdul Taib, fokus kali ini tertumpu kepada beberapa lagi 'heavyweight' tempatan yang bertanding sebagai calon bebas. Ini termasuk penyandang kerusi Padungan, Dominique Ng yang mengakhiri spekulasi dengan menyerahkan borang pencalonannya sebagai calon Bebas untuk mempertahankan kerusinya. Beliau berdepan dengan pertandingan tiga penjuru yang membabitkan calon SUPP, Sim Kiang Chiok dan Wong King Wei dari DAP. Ini bukan kali pertama Ng bertanding secara solo.

Bekas pengerusi PKR Sarawak itu pernah bertanding sebagai calon Bebas menentang setiausaha DAP negeri itu, Chong Chieng Jen dan calon BN bagi kerusi Parlimen bandar Kuching pada 1999. Sekalipun BN menang, tetapi Ng berjaya memperoleh 3,950 undi lebih daripada Chong. Keputusan Ng keluar PKR kali ini ialah berpunca daripada keputusan parti itu untuk bertukar kerusi Padungan miliknya dengan kerusi Batu Lintang, milik DAP.

BN pada 20 Mei 2006 kehilangan lapan kerusi, sebahagian besarnya di kawasan majoriti Cina di Kuching dan juga di kerusi majoriti Dayak di Engkilili dan Ngemeh. Beberapa kerusi panas juga dikesan di kawasan yang terlibat dengan pentadbiran kerajaan negeri ke atas tanah adat Orang Asal Sarawak, pembukaan kawasan hutan dan pembinaan empangan hidroelektrik. Di kawasan luar bandar ini, BN akan terus meyakinkan rakyat Sarawak supaya mengundinya untuk pembangunan bagi menyekat sentimen pembangkang yang terus membawakan isu 'kembalikan hak rakyat' yang agak meragukan.

Di Piasau, seorang lagi calon 'heavyweight', Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak akan dicabar oleh Ling Sie Kong daripada DAP.

Di Satok, Datuk Abang Johari Openg yang juga Timbalan Presiden PBB mempertahankan kerusinya untuk kali kelapan. PKR pula menurunkan seorang peguam syarie Ahmad Nazib Johari sebagai calon.

Di Beting Maro pula, Pas yang bertanding di lima kerusi meletakkan peguam, Abang Ahmad Kerdi Abang Magasus. Keputusan tidak menampilkan calon ulama diambil oleh Pas kerana kurang yakin untuk memperoleh sokongan daripada penduduk pelbagai etnik Sarawak. BN pula menurunkan seorang pendatang baru, Razaili Gapor. Pas yang gagal bertapak di Sarawak sejak 2003, pada pilihan raya negeri lalu tewas 895 undi di kawasan Beting Maro yang majoriti pengundinya Melayu/Melanau.

Sementara di Batang Ai, penyandang kerusi Malcolm Mussen Lamoh akan ditentang calon PKR, Nicholas Bawin. Batang Ai yang baru dipertahankan BN pada pilihan raya kecil dua tahun lepas, adalah kerusi luar bandar dengan kira-kira 94.7 peratus pengundi Iban. Pada pilihan raya negeri 2006, Batang Ai menyaksikan pertarungan sengit apabila Bawin, yang bertanding di bawah tiket Snap hanya tewas 806 undi kepada Dublin Unring Ingkut dari BN.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil 2009 BN yang diwakili Lamoh berjaya mendapat majoriti besar 1,854 undi bagi mengalahkan bekas ahli parlimen Lubok Antu Jawah Gerang, yang bertanding di bawah tiket PKR.

Di DUN Layar pula, Jabu yang mengekalkan kerusi itu selama tujuh penggal berdepan calon PKR, Stanny Embat. Layar adalah kerusi di pinggir bandar yang majoriti pengundi adalah masyarakat Iban.

Penyokong PKR yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman dilihat membawa sepanduk dan bendera parti sambil melaungkan "Reformasi!" dan "Tumbang Jabu!''.

Kempen pilihan raya Sarawak yang memasuki hari kedua pagi ini masih mempunyai 'ruang' penyusutan calon seandainya esok ada calon menarik diri daripada pertandingan.

SPR memberi masa sehingga 12 tengah malam esok untuk mereka yang 'putus asa dan sedar akan diri mereka' untuk berbuat demikian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penjelasan Wan Azizah meragukan

Posted:

Penjelasan Wan Azizah meragukan

Penjelasan Wan Azizah meragukan

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

MASIH ingatkah kita pada 21 Mac lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul pada satu sidang akhbar menafikan bahawa beliau lelaki yang dimaksudkan dalam satu rakaman video seks melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Hujah Anwar yang paling ketara ialah beliau bersama keluarga ketika kejadian dan jam Omega yang dikatakan tertinggal di hotel tempat kejadian berada dalam simpanan isterinya, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

Pada sidang akhbar itu juga, Dr.Wan Azizah menegaskan bahawa beliau tidak akan sama sekali melihat video tersebut kalau diberi sekalipun kerana menganggap ia palsu dan satu konspirasi bagi memburuk-burukkan suaminya.

Pada sebelah malamnya Anwar muncul di Taman Melawati, Gombak dan dengan penuh amarah memaki hamun UMNO serta Barisan Nasional (BN) dengan menganggap tuduhan itu sebagai fitnah yang menjijikkan. Genap tiga minggu, kekalutan dan polemik berlaku, maka pada Isnin lalu sebahagian rakaman video itu dipaparkan melalui YouTube dan kemudian disebar secara meluas oleh blog-blog.

Kelmarin pula, Dr.Wan Azizah yang sebelum ini digambarkan oleh Anwar sama sekali tidak akan menonton video berkenaan mengadakan sidang akhbar. Tegas Wan Azizah, selepas menonton bersama keluarganya di Internet rakaman tersebut, beliau sekeluarga percaya lelaki dalam video itu mirip suaminya tetapi bukan Anwar.

Persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak, apakah yang mendorong Wan Azizah menonton rakaman berkenaan? Bukankah beliau begitu yakin bahawa suaminya tidak akan terlibat dalam perbuatan tidak bermoral tersebut? Oleh itu, jawapan beliau bahawa 'ia untuk memuaskan hati' agak janggal dan meragukan.

Malahan hujah-hujah Wan Azizah ketika menjawab soalan wartawan lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding memberikan jawapan. Apa yang paling ketara ialah persoalan mengenai jam Omega yang didakwa oleh Anwar disimpan oleh Wan Azizah.

Untuk rekod jam Omega berkenaan seolah-olah menjadi kunci kepada pembongkaran rakaman video itu kerana lelaki yang menjumpai rakaman berkenaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah ditugaskan mencari jam tersebut yang tertinggal di hotel di mana adegan seks dikatakan berlaku.

Jam itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut tetapi dalam masa yang sama Anwar mempertahankan ia berada dalam simpanan Wan Azizah. Sepatutnya, sidang akhbar oleh Wan Azizah di kediamannya kelmarin menjadi kesempatan terbaik untuk beliau membuktikan dakwaan suaminya benar dengan menunjukkan jam berkenaan kepada wartawan.

Tetapi Wan Azizah tidak berbuat demikian, sebaliknya beliau terus menempelak wartawan yang terus mengasak beliau mengenai perkara berkenaan. Justeru timbul persoalan, kalaulah betul jam tangan Omega milik Anwar ada di tangan Wan Azizah, apa yang susah sangat untuk Wan Azizah menunjukkan jam tersebut kepada pemberita pada sidang akhbar tersebut?

Kita harus ingat bahawa sidang akhbar itu diadakan di kediamannya dan sudah pastilah jam Omega itu, paling tidak pun berada di dalam bilik tidur beliau dan Anwar. Jika beliau terlupa untuk membawa jam tangan itu pada sidang akhbar berkenaan, maka Wan Azizah boleh bangun sebentar untuk mengambilnya.

Namun sekali lagi, Wan Azizah tidak melakukan langkah itu sebaliknya bertanya kepada wartawan kenapa perlu beliau menunjukkan kepada mereka. Apa yang lebih menimbulkan persoalan, isu rakaman video seks itu melibatkan maruah bukan sahaja Anwar dan Wan Azizah tetapi juga seluruh ahli keluarganya.

Sepatutnya sebagai seorang isteri yang amat mencintai dan bersedia berkorban apa sahaja demi perjuangan politik suaminya, Wan Azizah perlu berusaha membersihkan nama Anwar dalam menghadapi dakwaan terbaru ini. Ia termasuklah menyokong apa juga langkah yang dilihat mampu memaparkan kebenaran dan sekali gus membuktikan dakwaan ke atas suaminya adalah suatu fitnah.

Tetapi Wan Azizah lebih bersedia mengikut rentak politik rakan-rakan PKR iaitu DAP dan Pas yang menolak penubuhan suruhanjaya diraja. Malahan Wan Azizah juga menolak cadangan supaya pihak melakukan sumpah laknat dan dibuktikan secara saintifik menggunakan mesin poligraf kerana beliau anggap ia tidak relevan dan taktik UMNO.

Kalau begitu bagaimana Wan Azizah hendak membuktikan bahawa itu benar-benar bukan suaminya, dakwaan itu tidak boleh dinafikan dengan modal air liur sahaja seperti mana pembangkang menabur janji dalam pilihan raya.

Jika Wan Azizah yakin dan berpegang kepada kata-katanya, ''Siapa lagi yang lebih mengenali beliau (Anwar) dengan begitu intim kalau bukan kami'', maka beliau tidak perlu takut untuk membuktikan dengan apa cara sekali pun bahawa Anwar yang disifatkan oleh Wan Azizah sebagai anugerah tuhan tidak bersalah.

Malangnya Wan Azizah menolak semua usaha bagi membuktikan perkara itu yang ada di bibir beliau hanyalah penafian semata-mata.

Turut menjadi persoalan ialah kenapakah Anwar tidak muncul pada sidang akhbar yang dianggap cukup penting itu. Alasan Wan Azizah, suaminya berada di Sarawak untuk kempen pilihan raya.

Tetapi jika dikaji alasan itu ia masih boleh dipersoalkan, ini kerana pada 21 Mac apabila rakaman video seks berkenaan didedahkan kepada wartawan, Anwar secara tiba-tiba mengadakan sidang akhbar menafikan bahawa beliau terlibat. Apa yang anehnya ketika itu tiada siapa pun termasuklah invidu yang mendedahkan video berkenaan mengatakan itu Anwar.

Justeru Anwar tidak boleh marah jika ada pihak yang membuat tanggapan bahawa sidang akhbar Wan Azizah hanyalah salah satu usaha bagi meraih simpati kononnya beliau (Anwar) difitnah tetapi jalan mencari kebenaran sengaja ditutupi demi perhitungan politik semata-mata.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen