Khamis, 7 April 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Johor: Hajat tak sampai

Posted: 06 Apr 2011 12:59 PM PDT

Wilayah

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat  rentung dalam kemalangan maut di KM 2.7 Lebuh Raya Kempas berhampiran Kampung Kempas Baru.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mayat rentung dalam kemalangan maut di KM 2.7 Lebuh Raya Kempas berhampiran Kampung Kempas Baru.

Sepasang kekasih mahu langsung perkahwinan akhir tahun maut nahas

JOHOR BAHRU: Impian sepasang kekasih yang gigih bekerja demi mengumpul wang untuk melangsungkan perkahwinan dijadualkan akhir tahun ini, tidak kesampaian apabila rentung bersama dalam kereta dinaiki yang terbakar sejurus dirempuh lori dalam kemalangan di Lebuhraya Kempas dekat sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian jam 10.15 malam di Kilometer 2.7 lebuh raya itu dekat Kampung Kempas Baru, Norhisham Wahab, 34, dan Rafidah Hairodin, 27, yang sudah bertunang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewa masing-masing, selepas keluar makan malam bersama. Nasib malang menimpa pasangan yang berasal dari FELDA Air Tawar 4 dan 5 dekat Kota Tinggi itu, apabila bahagian belakang kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kargo kosong yang melalui laluan sama.

Akibat perlanggaran itu, kereta pasangan berkenaan diseret sejauh kira-kira 50 meter sebelum terbakar dengan kedua-dua mangsa terperangkap dalam remukan kenderaan terbabit.

Pekerja pejabat guaman, Mohd Amir Rashid, 38, berkata beliau dan dua rakannya yang sedang bermain badminton dalam dewan bersebelahan tempat kejadian, bergegas meninjau kemalangan terbabit sejurus terdengar bunyi dentuman.

"Ketika itu, kebakaran baru bermula di bahagian kepala lori dan belakang kereta Kancil terbabit. Ketika menghampiri kenderaan itu, saya dapati pasangan terbabit sudah terkulai di dalamnya tetapi usaha membuka pintu kereta bagi mengeluarkan mereka tidak berhasil kerana remukan kereta itu serta bahang panas akibat kebakaran.
"Ketika itu juga, seorang pemandu teksi berhenti menghulurkan bantuan alat pemadam kebakaran yang kecil tetapi tidak berupaya memadam api. Dalam kekalutan itu, secara tiba-tiba api menyambar keseluruhan kereta bersama pasangan berkenaan yang masih berada di dalamnya.

"Saya dan rakan terpaksa berundur menyelamatkan diri bimbang disambar api. Ketika itu, saya dan rakan hanya mampu melihat terkejut serta menahan sebak melihat pasangan terbabit dimamah api yang menjulang dan rasa terkilan kami tidak mampu berbuat apa-apa bagi membantu mereka," katanya dengan rasa sedih.

Mohd Amir berkata, selepas kira-kira 10 minit kenderaan itu terbakar, secara tiba-tiba lori yang pada asalnya melekat dengan kereta terbabit, mengundur ke belakang menuruni kawasan berbukit di situ.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan sudah menghilangkan diri daripada tempat kejadian.

Ibu Norhisham, Fatimah Kamil, 59, berkata beliau menerima panggilan polis berhubung kejadian malang yang menimpa anak ketiganya daripada empat beradik itu jam 2 pagi semalam.

"Kali terakhir, saya bertemunya pada Ahad lalu apabila dia pulang ke kampung seperti kebiasaannya pada setiap hujung minggu. Saya tidak sangka itulah kali terakhir bertemu dengannya.

"Saya tahu dia sibuk melakukan pelbagai pekerjaan di sekitar Pasir Gudang kerana mengumpul wang untuk mengahwini tunangnya dikenali sebagai Fidah, akhir tahun ini, selepas menangguhnya sebelum ini kerana tidak cukup wang," katanya yang mengesahkan kereta terbabit adalah milik Rafidah.

Ketua Zon Johor Bahru Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Penguasa Bomba Raja Saiful Iswandy Raja Hassan, berkata 12 anggota dengan tiga kenderaan dihantar ke lokasi itu dalam masa enam minit, tetapi api sudah marak dan memusnahkan seluruh kereta berkenaan.

Sementara itu, pemandu lori terbabit dikatakan menyerah diri di Balai Polis Taman Unku Tun Aminah sejurus selepas kemalangan, selepas meninggalkan lokasi kejadian dan menghubungi majikannya.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana membabitkan kematian dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah di talian 07-5571952, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sentral: Membebankan

Posted: 06 Apr 2011 12:56 PM PDT

Wilayah

PPj meletakkan notis bagi memulakan caj tempat letak kereta di kompleks E Putrajaya.

PPj meletakkan notis bagi memulakan caj tempat letak kereta di kompleks E Putrajaya.

Reaksi terhadap caj tempat letak kereta awam di Putrajaya

PUTRAJAYA: Terlalu mahal. Itulah reaksi pengguna tempat letak kereta awam di Kompleks E di sini terhadap kadar bayaran parkir sebanyak RM1 sejam yang mula dikuatkuasakan Isnin lalu.

Kebanyakan yang merungut membabitkan orang awam yang berurusan di beberapa kementerian di kompleks berkenaan dan kakitangan awam yang meletakkan kereta di situ kerana tidak ada petak parkir di dalam kawasan kompleks. Kompleks E adalah antara lokasi tumpuan orang ramai kerana menempatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau.

Pengguna, terutama kakitangan kerajaan yang meletakkan kenderaan di situ mendakwa, caj RM1 bagi setiap jam yang dikenakan itu adalah terlalu tinggi terutama bagi kakitangan kategori sokongan.

Kadar parkir itu lebih membebankan kakitangan awam berbanding pelawat yang meletakkan kereta pada waktu lebih singkat.

Tinjauan Sentral pada hari pertama penguatkuasaan caj itu mendapati jumlah kenderaan diletakkan di kawasan itu agak berkurangan berbanding sebelum ini.
Ada notis pada mesin tiket berkomputer yang menyatakan kawasan parkir itu mula dikenakan caj bermula 4 April lalu dengan caj bayaran RM1 bagi setiap jam.

Kakitangan kerajaan, Salwani Abd Wahab, 31, berkata beliau amat kecewa kerana pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) mengenakan caj yang tinggi sehingga menyusahkan golongan yang berpendapatan rendah sepertinya.

Katanya, ia sesuatu yang membebankan jika kakitangan kerajaan yang meletakkan kenderaan di situ terpaksa membayar RM8 bagi tempoh sehari bekerja.

"Ia tidak sesuai dengan keadaan ekonomi pada masa ini. Sebagai kakitangan kerajaan kami mengharapkan kawasan parkir dapat mengurangkan masalah, sebaliknya memberikan bebanan dan tekanan," katanya.

Pengguna lain, Zulkifli Abas, 37, mencadangkan PPj memberikan diskaun kepada kakitangan kerajaan yang meletakkan kenderaan di situ setiap hari bagi mengurangkan beban mereka.

Katanya, PPj tidak seharusnya mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi perlu melihat masalah orang ramai terutama pengguna.

"Saya meminta PPj supaya mengkaji masalah ini terlebih dulu sebelum melaksanakan sesuatu tindakan yang mungkin menimbulkan masalah kepada orang ramai terutama kakitangan kerajaan," katanya.

Kakitangan kerajaan lain, Zabedah Musa, 34, berkata dia terkejut dengan kadar caj RM1 sejam itu kerana terlalu mahal jika meletakkan kereta dalam tempoh panjang.

Zabedah berkata, beberapa rakan sepejabatnya juga merungut dan tidak bersetuju dengan kadar parkir itu dan mengharapkan pihak berkenaan mengkajinya semula terutama mengeluarkan pas bulanan dengan harga lebih murah kepada kakitangan kerajaan.

Dalam kenyataan akhbar minggu lalu, Timbalan Pengarah Kanan Perhubungan Awam PPj, Zaharah Salamat, berkata tempat letak kereta berkenaan akan beroperasi mulai jam 8 pagi hingga 6 petang dan dibuka setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am.

"Perbadanan juga turut membina sebuah pondok menunggu bas di situ bagi memudahkan orang ramai menaiki bas ke mana-mana destinasi dikehendaki mereka (selepas parkir di situ)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan Perhubungan Awam PPj, Zaharah Salamat, berkata PPj menggesa penjawat awam dan pengunjung yang datang ke Putrajaya supaya beralih kepada sistem pengangkutan awam seperti bas Nadi Putra dan menggunakan tempat letak kereta sementara di Presint 1 di sini untuk berulang alik ke destinasi dikehendaki.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan