Jumaat, 22 April 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kaum India kena faham manfaat ETP

Posted: 22 Apr 2011 01:56 PM PDT

Nasional

NAJIB dan Rosmah bersama  Eswaran serta isteri, Datin Viviene Eswaran memotong kek pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 MAICCI di PWTC, malam tadi.

NAJIB dan Rosmah bersama Eswaran serta isteri, Datin Viviene Eswaran memotong kek pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 MAICCI di PWTC, malam tadi.

Najib mahu pemimpin, NGO bantu sampaikan maklumat masyarakat perlu digerak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu usaha digerakkan untuk memastikan masyarakat India negara ini lebih memahami manfaat yang boleh dikecapi menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Perdana Menteri turut menyarankan supaya selain kepemimpinan komuniti India, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta media Tamil juga membantu merealisasikan matlamat itu. "Tentunya kita mahu majoriti masyarakat India menyokong ETP dan Model Baru Ekonomi, tetapi didapati wujudnya kurang pemahaman kalangan kaum India terhadap usaha kerajaan ini.

"Bagi saya usaha ini penting kerana sebagai Perdana Menteri, saya membuat komitmen bahawa komuniti India tidak akan ketinggalan dalam agenda pembangunan negara.

"Ini bukan sekadar kenyataan politik tetapi saya yakin dapat membawa perubahan kepada komuniti India negara ini," katanya pada sambutan ulang tahun ke-60 MAICCI bertemakan `1Wawasan, 1Suara, 1Negara' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden MIC, Senator Datuk G Palanivel; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Presiden MAICCI, Datuk KK Eswaran.
Perdana Menteri berkata, sokongan yang diberikan komuniti India selama ini mendorong kerajaan untuk menangani pelbagai masalah yang dihadapi di semua peringkat dan bidang dengan menghasilkan mekanisme khusus yang berjaya mengatasi ribuan kes membabitkan komuniti India.

"Ia diharap dapat memenuhi apa yang mereka harapkan daripada kerajaan, namun masyarakat India juga perlu tahu apakah objektif ETP dan kaitkan ia dengan manfaat yang boleh diperoleh sebagai individu dan masyarakat India keseluruhannya," katanya.

Najib kemudian mengumumkan kerajaan akan menyediakan sejumlah peruntukan untuk membiayai pembinaan Ibu Pejabat MAICCI yang akan berfungsi sebagai pusat sehenti penasihat perniagaan.

Sementara itu, Eswaran menyuarakan hasrat MAICCI supaya ada dalam kalangan ahlinya dipertimbangkan ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) selain turut mengumumkan biasiswa bernilai RM1 juta hasil kerjasama MAICCI dengan Kolej Universiti MAHSA kepada pelajar layak.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keris bersadur perak milik Datuk ditemui

Posted: 22 Apr 2011 01:52 PM PDT

Nasional

  KONG MENG   (kanan)   menunjukkan keris serta beberapa barang berharga milik   lelaki bergelar Datuk yang ditemui semula, pada sidang media di Georgetown, semalam.

KONG MENG (kanan) menunjukkan keris serta beberapa barang berharga milik lelaki bergelar Datuk yang ditemui semula, pada sidang media di Georgetown, semalam.

Perompak berbasikal kebas koleksi pingat kebesaran kurniaan Sultan Kelantan ditahan

GEORGETOWN: Seorang perompak berbasikal melarikan keris bersadur perak kurniaan Sultan Kelantan bersama pelbagai barangan lain yang semuanya bernilai RM553,000 dari banglo milik ibu mangsa yang bergelar 'Datuk' di Jalan Macalister, di sini.

Keris itu yang dianggarkan bernilai RM100,000 dilarikan bersama tiga pingat Darjah Setia Pangkuan Negeri Pulau Pinang (DSPN), dua pingat Jasa Kebaktian (PJK) serta masing-masing satu Pingat Jasa Masyarakat (PJM) dan Pingat Jasa Terpuji (PJT). Selain itu, beberapa jam tangan pelbagai jenama, beg jenama Louis Vuitton, barang kemas dan syiling lama dari luar negara turut dilarikan perompak.

Lebih menghairankan, perompak itu juga mengambil barangan tidak bernilai seperti bekas telur, stokin, selipar, bekas minyak wangi serta bekas cenderahati yang ditemuinya dalam banglo berkenaan.

Bagaimanapun, keris dan koleksi pingat itu ditemui polis di sebuah kedai pajak gadai di sini, selepas perompak berusia 33 tahun itu ditahan, kira-kira jam 6 petang, Rabu lalu.

Siasatan polis mendapati, sebahagian barangan dilarikan suspek ditemui di rumahnya di Jalan Bukit Kukus, Puncak Terubung, Air Itam, dekat sini, manakala selebihnya dijual dan digadai di kedai pajak gadai, kedai jam serta penggurup wang.
Polis masih menyiasat tarikh suspek memecah masuk rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Gan Kong Meng, berkata suspek ditahan selepas mangsa iaitu 'Datuk' berusia 44 tahun membuat laporan polis pada jam 8 malam pada 15 April lalu selepas mendapati kediamannya berselerak dan pintu belakang rumahnya dipecah masuk, sebaik mangsa tiba dari Kuala Lumpur.

"Polis berjaya mengesan suspek berdasarkan cap jari lelaki itu yang diambil di banglo berkenaan. Siasatan awal mendapati suspek melakukan jenayah itu seorang diri dengan membawa pulang barangan yang dilarikan ke rumahnya sebelum dilupus.

"Antara barangan yang ditemui semula di kedai pajak gadai ialah pingat kebesaran termasuk ketiga-tiga pingat DSPN serta keris kurniaan Sultan Kelantan.

"Kira-kira 70 peratus daripada barangan yang dicuri diperoleh semula. Siasatan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau iaitu dua kes jenayah dan lima kes dadah," katanya di sini, semalam.

Difahamkan, rumah mangsa tidak berpenghuni dan beliau hanya pulang ke rumah setiap kali berada di negeri ini. Banglo mangsa dikatakan pernah dipecah masuk beberapa kali tetapi mangsa tidak membuat laporan polis kerana hanya membabitkan kerugian kecil.

Kong Meng berkata, suspek yang berusia 33 tahun mengaku membawa balik barangan itu ke rumahnya di Jalan Bukit Kukus, Puncak Terubung, Air Itam, di sini yang terletak kira-kira lapan kilometer dari banglo yang dipecah masuk
"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek direman bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kong Meng berkata, pihaknya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan pejabat sepanjang tahun ini dengan penahanan dua suspek warga tempatan berusia 25 dan 30-an di daerah Timur Laut, di Pulau Tikus, kira-kira jam 5 petang Rabu lalu.

"Polis juga berjaya menemui semula 15 monitor LCD, enam buah komputer riba dan tiga komputer bernilai RM15,000. Semua suspek direman sehingga lusa," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan