Rabu, 13 April 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Sasar RM5.8 trilion

Posted: 12 Apr 2011 12:06 PM PDT

MukaDepan

NAJIB ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

NAJIB ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Inisiatif baru CMP2 pastikan pasaran modal negara kekal menarik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beberapa inisiatif baru menerusi pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal Kedua (CMP2) bagi memastikan pasaran modal negara kekal menarik di kalangan pelabur serta merancakkan lagi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) selaras matlamat menjadi negara maju pada 2020.

Ia dibuat ketika pasaran dunia khususnya Asia bersaing sengit merebut modal bagi meraih pertumbuhan tinggi dalam ekonomi dan daya saing perniagaan, sekali gus memakmurkan negara masing-masing. Perdana Menteri berkata, CMP2 bagi tempoh 10 tahun akan datang, menggariskan langkah mengurangkan kerenah birokrasi bagi kelulusan perniagaan, meningkatkan penjanaan dana bagi modal perniagaan, memperuntukkan lebih banyak dana dalam industri modal teroka dan ekuiti persendirian serta meningkatkan akses kepada pasaran bon bagi merangsang pelaksanaan projek besar.

Katanya, kerajaan sedar cabaran ekonomi Malaysia pada 2011 sangat berbeza berbanding 2001, iaitu ketika Pelan Induk Pasaran Modal pertama dilancarkan.
Masalah baru menuntut penyelesaian baru dan CMP2 menjanjikan saiz pasaran modal yang lebih besar.

"Berdasarkan jangkaan semasa, saiz pasaran modal kita akan menjadi lebih sekali ganda kepada RM4.5 trilion pada 2020 dan dengan pengantarabangsaan, angka itu boleh meningkat kepada RM5.8 trilion dalam tempoh itu," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, semalam.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata satu skim dana pencen swasta akan ditubuhkan menjelang akhir tahun ini bagi menggalakkan kepelbagaian dalam pengurusan simpanan jangka panjang.

Selain itu, keupayaan pengurus dana untuk melabur secara langsung akan dipermudahkan melalui pengukuhan struktur perundangan bagi pengumpulan pelaburan.

"Meningkatkan bilangan produk pasaran derivatif adalah satu lagi perkembangan penting bagi meningkatkan kecairan pasaran, menambah baik keupayaan untuk dagangan merentasi pasaran dan lindung nilai risiko.

"Nilai semasa dagangan tahunan dalam pasaran derivatif dijangka berkembang pesat daripada RM512 bilion tahun lalu kepada RM4.2 trilion pada 2020, dengan kesan limpahan yang positif ke atas kecairan pasaran saham," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, antara keutamaan CMP2 adalah mengukuhkan peranan pasaran modal dalam menggalakkan pembentukan modal daripada peringkat permulaan kepada pembiayaan inovatif, projek besar baru dan teknologi hijau yang canggih.

Bagi menggalakkan transaksi berskala besar, katanya, akses kepada pasaran bon akan diperluas, mempertingkat minat pelabur terhadap penawaran pelbagai produk hutang dan risiko kredit, memperluas penyertaan industri pengurusan pelaburan dan pelabur runcit dalam pelaburan pendapatan tetap, serta menambah baik infrastruktur pasaran.

Mengenai Rang Undang-undang pengkorporatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang diumumkan pada persidangan tahun lalu, Najib menjelaskan, ia telah dibentangkan di Dewan Rakyat dan dijangka akan berkuat kuasa pada Julai.

Melalui langkah itu, katanya, MIDA akan diperkasakan sepenuhnya untuk mempercepatkan membuat keputusan dan menyelaraskan agensi promosi pelaburan yang lain bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran ditambah nilai yang tinggi Malaysia dan mengembangkan sektor perkhidmatan.

"Jadi, bagi mengelakkan pertindihan dan kekeliruan, MIDA akan diperkasakan sepenuhnya bagi membuat keputusan dengan segera dan menyelaraskan kesemua agensi promosi pelaburan yang lain bagi sektor pengeluaran dan perkhidmatan Malaysia," katanya.

Najib berkata, pengurusan ekonomi terbuka, telus dan saksama sentiasa menjadi ciri utama di Malaysia sama ada kepada peniaga ataupun kerajaan, justeru itu kerajaan sudah merencanakan beberapa pelan mencorakkan hala tuju negara dalam mengharungi dekad seterusnya serta membina momentum pertumbuhan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

7 posmen, kakitangan JPN komplot palsu kad kredit

Posted: 12 Apr 2011 12:05 PM PDT

MukaDepan

KUALA LUMPUR: Tujuh posmen dan seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara anggota sindiket yang ditahan kerana memalsukan kad kredit dengan nilai penipuan hampir RM1 juta sejak dua tahun lalu.

Turut ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Polis Kuala Lumpur itu, lima individu termasuk tiga wanita, berusia 25 hingga 40 tahun.

Mengikut modus operandi mereka, sindiket yang beroperasi di Lembah Klang itu memperalatkan posmen terbabit untuk memintas kad kredit yang sepatutnya dihantar ke alamat pelanggan sebelum mengambil cip pada kad berkenaan. Anggota sindiket kemudian melekatkan cip itu pada kad kredit lain yang dipalsukan dan mendapatkan pengesahan daripada bank dengan mendakwa mereka pemilik sebenar kad kredit melalui maklumat diri pelanggan yang disalurkan kakitangan JPN terbabit sebelum menggunakannya untuk membeli pelbagai barangan mewah.

Selain itu, anggota sindiket juga menggunakan modus operandi dengan menghantar kad kredit dilekatkan cip palsu yang tidak berfungsi kepada pelanggan dan apabila mangsa menghubungi bank untuk mengaktifkannya, sindiket terbabit mengambil kesempatan berbelanja tanpa disedari pemilik.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki di Pos Laju Taman Shamelin, Cheras, pada 1 April lalu, selepas kakitangan pejabat pos itu mengesan suspek yang cuba menuntut kad kredit milik seorang wanita menggunakan kad pengenalan palsu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata susulan penahanan itu, polis berjaya menahan tujuh posmen yang menjadi dalang kegiatan itu selain seorang pembantu am JPN yang berperanan sebagai pembocor maklumat peribadi pelanggan bersama empat suspek lain termasuk tiga wanita.
Berikutan itu, katanya, polis merampas 10 kad kredit disyaki palsu, 11 sampul surat mengandungi kad kredit yang tidak dihantar oleh posmen terbabit, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard serta 19 telefon bimbit pelbagai model.

"Semua suspek ditahan di beberapa lokasi termasuk rumah serta Pejabat Pos dan polis juga berusaha mengenalpasti rangkaian sindiket terbabit selain kemungkinan masih ada saki baki anggotanya yang masih bebas," katanya pada sidang media di IPD Cheras, semalam.

Amar Singh berkata, semua suspek kini direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan curang mendorong supaya harta diserahkan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda.

Susulan kejayaan itu, beliau berkata, polis sudah mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi kewangan bagi mencari kaedah lebih selamat dalam proses penghantaran kad kredit kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Bhd merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar, dalam kenyataannya semalam, berkata pihaknya sudah menamatkan perkhidmatan semua posmen terbabit dan akan memberi kerjasama penuh kepada polis.

"Pos Malaysia Berhad tidak akan memaafkan kakitangan pos yang merosakkan surat dan barang yang perlu dihantar serta sebarang perbuatan salah laku," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

ramliyob

dalam kes begini susah nak cakap,keimanan akan mengatasi segala galanya, jujur,ikhlas dan amanah adalah MOTTO yang paling baik untuk diterapkan pada setiap kakitangan

Azli

Bukan setakat kad kredit, malah cek2 yang dihantar pun belum tentu sampai ke pihak yang sepatutnya. Integriti dan kebolehpercayaan Pos Malaysia sudah tercemar.

Sudah elok2 dapat kerja, nak juga buat kerja haram... Wei, kat luar sana ramai penganggur, kalu nak jadi penjenayah tak payah la apply kerja, bagi peluang kat kami yang menganggur ni apply kerja.

faizal ibrahim

sedarla diri sikit.. kerja posmen, kerani kerajaan, tapi selera tinggi.. belanja nak mewah.. masa kecil dulu belajar xnak pandai.. org berusaha dgn ilmu.. ilmu yg jaga kita... bodoh...

siti zaleha

Harapkan pagar, pagar makan padi.Saya menyokong penuh tindakan Pos M'sia kepada k'kitangan yang tidak amanah.

razi

Patut lah ramai org kaya di KL.. kami di kampung selama ni kagum kerana menyangka mereka kaya atas usaha halal.

Afindy Matnor

Di dalam kes begini sy mencadangkan kad kredit ini tidak perlu dihantar kepada individu yang memohon mengunakan orang perantaraan(posmen @ sebagainya). sebaliknya pemohon sediri yang perlu menuntut kad kredit tersebut, ini bagi mengelak pekara berlaku.

mshjramli

manusia tamak macam ini merosakkan jabatan dan syarikat korporat. tidak jujur dalam menjalankan amanah. ingat seronok melalui jalan salah hanya sementara tapi derita tiada kesudahan. maruah tergadai


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen