Jumaat, 22 April 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


OKU buat kompang sara diri

Posted:

OKU buat kompang sara diri

OKU buat kompang sara diri

Oleh HASHIM P. MAMAT
pengarang@utusan.com.my


Kecacatan tidak menghalang Itam Abu Bakar untuk gigih bekerja membuat kompang bagi memenuhi tempahan pelanggan di Kuala Kangsar.


KUALA KANGSAR 21 April - Hilang salah satu anggota badan akibat kemalangan 33 tahun lalu hampir melunturkan semangat Itam Abu Bakar, 64, untuk meneruskan hidup.

Apatah lagi anggota badan yang hilang itu adalah kaki kanan yang menjadi alat penting untuk bergerak.

Namun, enggan menyerah kepada takdir, dia yang kini tinggal di Kampong Sayong Hulu dekat sini, bangkit dan berusaha meneruskan kehidupan meskipun dalam keadaan kekurangan anggota badan.

Kini, selepas 33 tahun kejadian malang menimpa dirinya, warga emas itu bersyukur kerana dia bukan sahaja mampu menempuh kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU), tetapi boleh menyara lapan anaknya tanpa perlu mengemis atau menagih simpati masyarakat.

Selain melakukan kerja-kerja kampung, datuk kepada empat orang cucu itu menjadikan kemahiran membuat kompang sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarganya.

"Saya berehat empat tahun di rumah selepas kemalangan. Sesudah itu saya cuba bekerja sedikit demi sedikit sebelum boleh melakukan kerja berat.

"Kerja-kerja berat yang dimaksudkan itu termasuk menebang kayu, memanjat pokok menggunakan tali sebelum ditebang dan sebagainya," katanya memulakan bicara.

Beliau berkata, di peringkat awal, kerja-kerja itu dilakukan bagi mengambil upah, tetapi kini ia dibuat untuk mencari bahan mentah bagi membuat kompang.

Menurutnya, kemahiran membuat kompang dan baluh (bingkai gendang) dipelajari daripada rakannya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya, Zainuddin Andika.

"Selepas yakin dengan kemampuan diri, saya usahakan secara sendirian. Itupun selepas membeli mesin yang telah diubah suai berharga RM1,200 dan mesin gergaji berharga RM875," katanya.

Usahawan itu memberitahu, dalam sehari, dia boleh menyiapkan lima 'baloh' dan dua kompang yang dijual pada harga antara RM80 hingga RM120 bergantung kepada saiz.

Katanya, kayu yang digunakan ialah batang nangka, rambutan dan bongor.

"Semua itu dilakukan sendiri dan dibawa menggunakan motosikal yang telah diubah suai sesuai dengan kecacatan diri," katanya

Menurut Itam, tempahan kompang bukan sahaja diterima daripada penduduk daerah ini tetapi seluruh negara.

Mengimbas mengenai kejadian malang itu, Itam berkata, kemalangan tersebut berlaku pada l9 April l978 di Kampong Raja di Parit.

"Motosikal yang saya naiki berlanggar dengan sebuah lori balak. Rakan saya yang menunggang motosikal tersebut maut dalam kejadian itu.

"Saya terlantar selama dua bulan 15 hari di Hospital Ipoh merawat kecederaan yang menyebabkan kaki kanan terpaksa dipotong hingga ke paras paha," katanya.

Itam berkata, kemalangan itu bukan pengalaman cemas pertama dan terakhir yang dialami sepanjang hidupnya.

Menurutnya, ketika berusia l5 tahun, dia hampir lemas di Sungai Perak dan pernah jatuh dari pokok getah setinggi 12 meter.

Dia menambah, kali terakhir dugaan menimpanya apabila pada 5 Januari 1999, pukul 11.30 pagi dia ditimpa pokok kelapa.

Kejadian tersebut katanya, berlaku di Kampung Kepala Bendang dekat sini, apabila tangga untuk memanjat batang pokok berkenaan patah.

Katanya, ia kemudiannya diikuti oleh batang kelapa berkenaan sepanjang 20 meter yang tumbang lalu menimpa dadanya.

Akibat daripada kemalangan itu, lima tulang dada sebelah kanan dan dua di kiri patah dan sekali lagi dia terpaksa menghabiskan masa lama di hospital bagi merawat kecederaan itu.

Itam berkata, segala dugaan yang dialaminya selama ini memberikan satu pengajaran dan kekuatan untuknya meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan cacat anggota badan.

Katanya, bantuan kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap nasib OKU meringankan beban dalam mengharungi kehidupan setiap hari.

Selain bantuan rumah tiga bilik berharga RM33,000, dia turut menerima bantuan RM200 sebulan daripada Felcra dan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Saya belum berputus asa untuk hidup seperti orang lain yang mempunyai anggota sempurna dan saya berazam selagi ada upaya akan terus membuat kompang sebagai cara mendapatkan wang bagi menyara keluarga," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

240 petani rugi sejak 2009

Posted:

240 petani rugi sejak 2009

240 petani rugi sejak 2009

Oleh A. MALIK ASLIE
utusanperak@utusan.com.my


Mohd. Yusoff Sabran menunjukkan kawasan sawah padi yang diserang oleh siput gondang di Parit Buntar, semalam.


PARIT BUNTAR 21 April - Para petani di beberapa kawasan jelapang padi di Tanjung Piandang di sini, bimbang dengan ancaman siput gondang jenis P. Insularum yang menyerang tanaman padi mereka sejak sebulan lalu.

Ketua Unit Peladang Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Mohd. Yusoff Sabran berkata, serangan haiwan perosak itu didapati bermula sejak 2009 dan bertambah buruk selepas kerja-kerja menabur benih dan menanam padi.

Katanya, sehingga kini haiwan perosak tersebut telah memusnahkan 178 hektar tanaman padi dan menjejaskan pendapatan seramai 240 pesawah di kawasan tersebut.

"Serangan teruk akan berlaku jika paras air di sawah melebihi satu sentimeter atau di kawasan air yang bertakung. Kebiasaannya serangan siput ini berlaku pada waktu malam dan senja.

"Tanda-tanda serangan siput ini juga boleh diketahui melalui kerosakan rumpun-rumpun padi dan keratan-keratan daun yang terapung di permukaan air," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pesawah di kampung Sungai Labu Atas, Ishak Yusoff, 64, berkata, masalah tersebut turut melibatkan sawahnya seluas lapan hektar hingga menyebabkan dia turut menanggung kerugian.

"Sebelum masalah ini berlaku, saya mampu mendapatkan RM2,000 bagi 0.4 hektar tanaman, namun tahun lalu hanya memperolehi RM800 sahaja," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Balu pekerja kontrak terima cek faedah Perkeso

Posted:

Balu pekerja kontrak terima cek faedah Perkeso

Balu pekerja kontrak terima cek faedah Perkeso


Othman Mohd. Nordin (kiri) menyampaikan cek faedah Perkeso kepada Nas Fatihah Azman di Pulau Pinang, kelmarin.


PULAU PINANG 21 April - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam menyampaikan cek faedah kepada balu seorang pekerja kontrak yang mati lemas selepas tergelincir ke dalam saluran kumbahan sedalam lima meter dekat Bagan Jermal, 17 April lalu.

Pengurus Pejabat Perkeso Pulau Pinang, Othman Mohd. Nordin menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah berjumlah RM1,500 dan pencen RM945 sebulan kepada Nas Fatihah Azman, 26, yang merupakan balu Zakaria Ahmad, 32.

Menurut Othman, bayaran pencen yang akan dibayar mulai bulan depan itu diberikan kepada Nas Fatihah seumur hidupnya dan dikongsi bersama dua anaknya sehingga umur anak itu 21 tahun.

"Perkeso membayar faedah caruman ini kepada waris mangsa bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi selepas kehilangan insan tersayang.

"Kita berharap kejadian seumpama ini tidak berulang kepada orang lain dan semua pihak mengambil peringatan dengan apa yang berlaku ke atas Zakaria," katanya ketika mengunjungi Nas Fatihah di Bayan lepas di sini.

Othman menambah, majikan dan pekerja dirayu supaya mematuhi prosedur keselamatan ketika bekerja di tempat berisiko seperti itu dan menggunakan peralatan keselamatan yang disediakan.

"Perkeso bersama beberapa agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sentiasa berusaha dengan mengadakan kempen keselamatan di kalangan pekerja.

"Majikan dan pekerja harus sentiasa berhati-hati serta patuhi peraturan yang ditetapkan agar kejadian ini tidak berulang," katanya.

Dalam pada itu, Nas Fatihah ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada Perkeso dan majikan suaminya di atas keprihatinan kedua-dua pihak meringankan beban keluarganya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen