Rabu, 13 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


DAP terdesak kutuk PM

Posted:

DAP terdesak kutuk PM

DAP terdesak kutuk PM

Oleh ROZAMAN ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai ketika menghadiri program Mesra Rakyat di Sadong Jaya, Kuching, kelmarin.


DI sebuah kawasan perniagaan di pinggir bandar raya ini, seorang remaja yang memakai baju T dengan lambang sebuah parti pembangkang kelihatan naik turun tangga premis di satu deretan rumah kedai di situ

Sambil berjalan dan memeluk satu beban risalah bersaiz A4, remaja berusia belasan tahun itu tekun memasukkan risalah itu ke dalam setiap peti surat di premis berkenaan. Jika premis itu tertutup, dia menyelitkan risalah itu di celah-celah jeriji besi.

Remaja itu turut mengedarkannya kepada orang ramai yang lalu lalang atau sedang menikmati makan tengah hari di beberapa restoran di situ.

Risalah dua muka surat itu risalah dwibahasa. Bahasa Mandarin dan bahasa Melayu. Cetakannya sangat terang dan kelihatan bermutu tinggi. Siap dengan nama dan alamat penerbit dan pencetak sekali.

Kandungannya penuh rintihan dan rasa marah tetapi intipatinya mudah. Mesejnya lebih kurang begini 'undilah kami, mari kita berubah!' Risalah itu juga mengecam program-program yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengambil-alih tampuk pemerintahan negara.

Gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang Najib perkenalkan diperlekehkan dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan. Semuanya kelihatan hodoh pada mata mereka! DAP tidak senang dengan kejayaan Program Transformasi Ekonomi yang mencapai 120 peratus walaupun baru setahun dilancarkan.

Pengumuman Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala bahawa ETP memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat pelbagai lapisan bukanlah sesuatu yang menggembirakan DAP.

Walaupun fakta membuktikan sebaliknya, DAP mahu menyembunyikannya. Menariknya sebelum ini atau lebih tepat lagi beberapa tahun sebelum tarikh pilihan raya negeri diumumkan, DAP menyerang Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), musuh ketatnya di kawasan bandar. Tetapi beberapa hari terakhir kempen, muncung sasaran sudah berubah haluan.

Perdana Menteri menjadi sasaran tembakannya. Kenapa? Barangkali DAP sudah merasa tidak selesa dengan kehadiran Perdana Menteri ke negeri Sarawak. Najib sejak hari penamaan calon lagi tidak jemu-jemu turun ke padang bertemu rakyat di pelosok ceruk Bumi Kenyalang ini.

Di kawasan bandar yang penduduknya adalah majoriti orang Cina, Perdana Menteri meredah panas terik untuk bertemu dengan rakyat. Dan setiap kali beliau turun, kehadirannya disambut mesra dan meriah. Orang ramai kelihatan sangat gembira apabila berpeluang berjabat tangan dan melihat wajah Perdana Menteri dari dekat.

Keadaan yang sama juga dapat dilihat bila Najib mengadakan tinjauan mesra di kawasan-kawasan penduduk etnik lain termasuk di kampung-kampung, kawasan luar bandar dan pedalaman. Ketika DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tidak berkenan dengan perkembangan ini, masyarakat setempat berbesar hati dan sangat mengalu-alukannya.

Pengerusi Wanita Persatuan Kayan Sarawak Roslyn L. Lah menyifatkan lawatan Perdana Menteri dan para pemimpin BN ke kawasan pedalaman seperti Baram dan Telang Usang sangat penting. Para pemimpin tertinggi negara katanya, akan dapat mendekati dan memahami keadaan serta masalah sebenar di peringkat akar umbi.

Pengerusi Rurum Kelabit Miri Dick Bala juga berkongsi perasaan yang sama berhubung lawatan Perdana Menteri ke utara Sarawak termasuk Bario dan Marudi hari ini (14 April). Rurum Kelabit menempah 13 penerbangan pergi-balik Miri-Bario bagi membolehkan para pengundi balik menyambut dan mengundi calon BN.

''Inilah sebahagian komitmen dan penghargaan kami kepada kerajaan yang sentiasa berusaha membawa pembangunan ke kawasan Bario dan Ba' Kelalan," katanya.

DAP yang sebelum ini merasa sangat selamat untuk menguasai penuh undi penduduk berketurunan Cina mula merasa sedikit tergugat. Seperti biasa, DAP mempolitikkan apa sahaja yang menguntungkan parti itu. Termasuklah kehadiran sepenuh masa Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke bumi Sarawak.

Kehadiran dua pemimpin utama negara ini juga dilihat mengganggu rentak selera besar DAP dan PKR. Selepas menang enam kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya negeri yang lalu, DAP sudah tidak dapat menyembunyikan cita-cita besarnya.

Parti itu mahu menang di semua kerusi pengundi Cina sekali gus menubuhkan kerajaan negeri yang baru pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 ini. Tidak hairanlah DAP mencanang slogan Jom Ubah selantang-lantangnya. Kedengarannya hebat walaupun isinya penuh retorik. Pembangkang mendesak rakyat berubah dengan menukar kerajaan.

Soalnya adakah perubahan yang dicanang itu boleh menjadi lebih baik atau sekurang-kurangnya bersamaan dengan apa yang telah dinikmati di negeri ini sekarang. Jika contoh 'kejayaan' negeri-negeri yang pembangkang kuasai sejak memerintah pada 2008 dijadikan ukuran, ia adalah perbandingan yang silap.

Rakyat Sarawak tidak sewajarnya menerima nasib sebagaimana rakyat Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan. Percayalah semakin banyak pengumuman kejayaan program-program transformasi kerajaan, semakin resah parti-parti pembangkang dan semakin banyaklah risalah-risalah kotor disebarkan. Khabarnya Perdana Menteri dan timbalannya akan terus berada di sini sehingga penghujung kempen. Ini bukanlah khabar menggembirakan bagi DAP dan PKR.

Slogan Jom Ubah nampak cantik dan bunyinya enak. Tetapi kesannya sangat besar kepada orang Cina Sarawak. Jika para pengundi Cina membulatkan tekad menolak calon SUPP dan memilih wakil rakyat DAP kali ini, apa yang pasti orang Cina kehilangan kesemua wakil dalam kerajaan negeri secara total.

Jika sebelum ini, SUPP menjadi suara bagi orang Cina, kali ini mereka sudah tiada apa-apa lagi.

Sekadar rekod, SUPP sebelum ini diperuntukkan jawatan Timbalan Ketua Menteri, satu menteri penuh dan empat pembantu menteri dalam Kabinet negeri.

Mengambil kira andaian SUPP tewas semua kerusi kali ini, buat pertama kali juga orang Cina terpaksa berharap kepada kaum lain untuk memperjuangkan hak mereka. Senario menjadi semakin buruk jika pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan negeri.

Seorang ahli perniagaan Cina yang enggan dikenali melontarkan pertanyaan ini:

''Bolehkah DAP menjadi wakil kepada kaum Cina sedangkan mereka tidak berada di dalam Kabinet negeri?

''Mereka hanya boleh membuat bising sahaja di dalam sidang dewan.'

Seperkara lagi orang Cina perlu menyedari DAP dan PKR adalah parti dari Semenanjung yang mempunyai agenda tersendiri. Mereka tidak ikhlas. Mereka sangat mengharapkan gelombang di Sarawak ini menjadi modal untuk terus bernafas pada pilihan raya umum akan datang.

Dengan hanya tinggal dua hari lagi sebelum hari pengundian, masih tidak terlambat bagi pengundi Cina untuk berfikir tentang masa depan mereka di negeri ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ujian BN hadapi pilihan raya Sarawak

Posted:

Ujian BN hadapi pilihan raya Sarawak

Ujian BN hadapi pilihan raya Sarawak

Oleh DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10 ini menyaksikan 213 calon menawarkan diri termasuk 41 calon Bebas. Dua pertiga kerusi menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru termasuk tiga, empat, lima dan enam penjuru. Hanya di 27 kawasan memperlihatkan pertembungan 'satu lawan satu' bagi calon BN.

Yang menarik adalah tidak ada calon menang tanpa bertanding dan pilihan raya kali ini juga menyaksikan 16 calon wanita bertanding (BN, DAP dan PKR masing-masing empat calon, dua calon Pas dan PCM serta Bebas masing-masing seorang calon). Bilangan angka besar bertanding menunjukkan nilai kepercayaan yang tinggi ke atas pilihan raya sebagai cabang demokrasi yang diamalkan di negara ini walaupun akan ada faktor sampingan yang menjadi penarik dan penolak dalam keputusan bertanding.

Bagi BN yang diwakili parti PBB, SUPP, PRS dan SPDP, masing-masing akan bertembung dengan DAP (15), PKR (49), Pas (5), SNAP (26), PCM (6), dan Bebas (41). Beberapa kawasan akan menjadi 'kerusi panas' walaupun dalam konteks hari ini, tidak ada lagi kubu kuat parti pemerintah mahupun barisan pembangkang. Beberapa kerusi yang dimenangi dengan majoriti rendah bawah 1,000 undi dalam pilihan raya lalu boleh dilabel sebagai kerusi panas. Ini termasuklah kerusi Kota Sentosa (DAP-531 undi), Sadong Jaya (BN-858 undi), Repok (BN-576 undi), Pelawan (BN-263 undi), Belaga (BN-227 undi) dan Ba' Kelalan (BN-475 undi).

Ada kerusi lain yang menjadi tumpuan termasuk pertembungan tiga penjuru di Balingian dengan calon BN adalah Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kerusi Pending menyaksikan Profesor Sim Kui Hian menentang penyandang calon DAP Violet Yong Wui Wui, Batu Kawah memperlihatkan calon muda DAP Christian Chiew Wang See menentang Tan Joo Phoi.

Satok juga menjadi perhatian umum kerana Timbalan Presiden PBB, Datuk Abang Abd Rahman Zohari Abang Openg akan ditentang oleh Ketua Angkatan Muda PKR Sarawak, Ahmad Nazib Johari. Begitu juga kerusi Padungan yang menyaksikan penyandang, Dominique Ng Kim Ho menjadi calon Bebas ditentang oleh calon baru BN (Sim Kiang Chiok) dan DAP (Wong King Wei).

Yang jelas, kombinasi calon muda dan calon berpengalaman mewarnai pilihan raya kali ini. Malahan, satu pertiga daripada calon PBB adalah muka baru termasuk 40 peratus dari SUPP dan masing-masing seorang dari PRS dan SPDP. Ia menunjukkan kelompok kakitangan awam, akademik, peniaga dan profesional lain. Rata-rata, calon BN berumur di antara 38-66 tahun berbanding dengan DAP, purata 39 tahun.

Yang penting, calon 'winnable candidate' yang dipilih mendapat restu Pengerusi BN pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebanyak 18 muka baru calon BN menunjukkan ia mahu pemimpin pelapis dijadikan benteng kepimpinan masa depan seiring dengan transisi kepimpinan yang bakal berlaku serta memenuhi vakum penstrukturan masa depan parti.

Yang penting komposisi etnik tidak dibelakangkan memandangkan masyarakat Iban masih dalam lingkungan 30 peratus demografi Sarawak diikuti etnik Cina dan Melanau, masing-masing 28 peratus, Orang Ulu (6 peratus) dan Bidayuh (8 peratus), di samping 28 kumpulan etnik lain.

Faktor kelas juga penting untuk dinilai pola tingkahlaku pengundian memandangkan sumbangan kelas menengah dan atasan di kawasan bandar mula mengimbangi ikatan pengundi luar bandar yang masih menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan pemerintah.

Calon harus disertai dengan jentera parti yang mantap, tersusun dan lancar tanpa ada sabotaj dalaman kerana yang akan menggagalkan BN di Sarawak adalah 'musuh dalam selimut'. Komitmen pemimpin akar umbi boleh menstabilkan kedudukan dalam parti jika mereka diberikan penghormatan sewajarnya terutama di rumah panjang. Fahami budaya jika mahu memahami isi hati mereka kerana kebanyakannya masih mahukan keamanan, keharmonian dan kestabilan, bersesuaian dengan perincian manifesto BN – 'Jaminkan Masa Hadapan Anda Dengan BN'.

Pemimpin dari Semenanjung harus mempelajari 'budaya' masyarakat Sarawak yang kaya dengan amalan, kepercayaan, ritual dan nilai keturunan supaya mereka boleh menerima ejen kempen parti yang diwakili. Nilai warisan amat penting buat masyarakat Sarawak secara umumnya dan ini perlu diselongkar untuk diiktiraf agar tidak dihiris perasaan ketika kempen berjalan.

Malahan, isu juga penting apabila disalur dan disampaikan kepada pengundi. Sarawak unik dengan nilai-nilai etnik dan isunya juga berkisar sepanjang garis tersebut. Maka, diakui nilai 1Malaysia ketara signifikasinya di Sarawak dan jika dikembangkan secara kreatif dengan pendekatan yang mudah difahami pengundi dari segala lapisan, ia akan menjadi nilai tambah kepada BN.

Yang penting persoalan nasionalisme dikupas secara rasional disulami dengan autonomi yang sedia ada dalam membuat keputusan ke atas hal-ehwal tempatan. Isu nasional yang cuba diketengahkan oleh pembangkang boleh memberi kesan kepada mereka kerana ia barangkali mendekati sekelompok pengundi tetapi majoritinya akan melihat sejauhmanakah perubahan sudah dibawa sepanjang 2008-2011 oleh barisan pembangkang sama ada ia masih bersifat retorik, selain budaya politik Semenanjung jauh bezanya dengan budaya politik Sabah mahupun Sarawak.

Yang dominan di Sarawak adalah isu kenegerian dan kedaerahan atau lokal. Kebanyakan isu merupakan isu lama seperti isu kepimpinan negeri, personaliti, isu tanah adat, agihan sumber, konsesi pembalakan, kemiskinan, rasuah, ketelusan, salah kuasa, nepotisme, kronisme, hak asasi, royalti minyak, harga naik, hak pinjaman tanah, media, infrastruktur, kemudahan, prasarana dan isu harian serta pembangkang sebagai kerajaan alternatif tanpa memahami literasi politik masih di tahap yang belum membanggakan.

Soal agama Kristian menjadi tumpuan berlebihan kali ini terutama insiden penggunaan perkataan, terjemahan kitab Injil dan pemasarannya. Ada isu yang terlalu abstrak sukar difahami oleh pengundi melainkan isu yang menjejaskan kehidupan harian termasuk soal budaya dan kepercayaan.

Bagi BN, sudah pasti isunya adalah politik pembangunan yang telah dinikmati selama ini, kestabilan, keharmonian, keamanan, pelaburan, pencapaian luar bandar serta kestabilan etnik sekuriti, yakni bukan keharmonian intra-etnik tetapi yang membolehkan ia mempertahankan autonomi kenegerian dan sumbangan sepanjang ia memimpin akan dijadikan rujukan manifesto.

Sudah pasti faktor Najib boleh memberi suntikan ke atas kempen BN dengan didokongi gabungan kepimpinan negeri bersama Taib Mahmud dan sekiranya pengganti dinamakan dalam waktu kempen, ia akan membolehkan BN menang besar untuk mengelak strategi yang sedang digunakan oleh DAP – 'satu undi BN, satu undi Taib' susulan 'satu undi SUPP, satu undi Taib' pada pilihan raya kecil Sibu; sebagaimana kempen – 'satu undi BN, satu undi ketua menteri UMNO' apabila Gerakan gagal menamakan pengganti Tan Sri Koh Tsu Koon di Pulau Pinang sewaktu Mac 2008.

Walaupun BN Sarawak mampu mempertahankan majoriti dua pertiga, ia bergantung kepada sentimen tidak digelapkan dengan keyakinan berlebihan dan memahami apa yang telah berlaku di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada Mac 2008.

PROFESOR MADYA DR.

SIVAMURUGAN PANDIAN

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains

Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan