Selasa, 5 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Tubuh suruhanjaya diraja

Posted:

Tubuh suruhanjaya diraja

Tubuh suruhanjaya diraja

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KELMARIN, arena politik negara diwarnai dengan pendedahan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Pendedahan itu dimuat naik ke dalam laman YouTube kemudiannya disebarkan secara meluas di dalam blog-blog.

Pelbagai tafsiran dibuat berikutan pendedahan berkenaan, masing-masing ada pandangan sendiri iaitu yang menyokong pemimpin pembangkang berkenaan, mereka menafikan itu adalah beliau.

Bagi sebelah pihak lain pula mungkin menganggap itulah hasil solat hajat yang dilakukan Pas pada 28 Mac lalu (genap seminggu hari rakaman didedahkan) bagi memohon petunjuk Allah SWT dalam mencari kebenaran berhubung isu berkenaan.

Kita terpaksa mengakui kemunculan rakaman video itu telah menimbulkan polemik baru dalam arena politik negara. Malangnya, pihak pembangkang terus membabitkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pendedahan berkenaan.

Namun apa yang mendukacitakan dalam masa yang sama, mereka seolah-olah menolak usaha menegakkan kebenaran dilakukan. Dalam soal ini, kita memuji tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak cadangan pembangkang supaya rakaman video itu dipertontonkan di Parlimen.

Ia satu keputusan yang bijak kerana jika perbuatan berkenaan dilakukan, ia boleh mencemarkan nama Parlimen Malaysia di mata dunia. Oleh itu dalam menghadapi kemelut ini pendekatan terbaik ialah penubuhan suruhanjaya diraja.

Walaupun penubuhan itu dilihat jalan terbaik tetapi pembangkang menolaknya mentah-mentah. Mereka lebih suka mengalih isu dengan menuding jari ke BN.

Tetapi apa yang anehnya dalam masa yang sama, mereka begitu yakin bahawa 'pelakon' dalam video itu bukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Persoalannya jika benar mereka begitu yakin bahawa itu bukan Anwar, kenapakah mereka tidak mahu menyokong suruhanjaya diraja ditubuhkan?

Tidakkah tindakan itu akan membolehkan segala persoalan dijawab. Jika keputusan suruhanjaya diraja nanti membuktikan lelaki dalam video itu bukan Anwar, tidakkah ini akan memberi keuntungan politik kepada mereka?

Kenapakah pembangkang takut sangat dengan penubuhan suruhanjaya diraja berkenaan, jika mereka yakin berada di pihak yang benar?

Pembangkang sering bercakap soal kebenaran dan ketelusan, malahan sejak dulu lagi mereka cuba menggambarkan bahawa merekalah pejuang keadilan sebenar.

Namun dalam isu rakaman video ini, sikap menegakkan kebenaran, memaparkan ketelusan dan mencari keadilan lenyap begitu sahaja.

Kalau pemimpin-pemimpin pembangkang sama ada PKR, DAP dan Pas benar-benar sayangkan Anwar dan kasihan kepadanya kerana sering difitnah seperti mana mereka dakwa, maka sokonglah usaha mencari kebenaran dalam isu tersebut melalui suruhanjaya diraja.

Bagi pemimpin-pemimpin kanan parti-parti berkenaan mungkin dalam apa cara sekali pun mereka mahu mempertahankan Anwar bukan kerana Anwar tetapi demi kepentingan politik masing-masing.

Tambahan pula, pembangkang belum tentu akan menerima hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh polis jika keputusannya nanti tidak memihak kepada mereka.

Akibatnya, arena politik negara akan dicemari dengan gelagat pembangkang yang akan terus menuduh kerajaan BN. Semua gelagat ini harus dihentikan dan isu rakaman video seks tersebut perlu diletakkan noktahnya.

Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Muhammad berkata, jika pembangkang memperjuangkan kebenaran, mereka perlu memberi laluan kepada penubuhan suruhanjaya diraja.

''Saya bersetuju jika pemimpin pembangkang turut menyertainya di samping pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO),'' katanya ketika dihubungi.

Beliau juga berpendapat, tidak harus ada wakil kerajaan di dalamnya bagi mengelakkan wujudnya keraguan.

''Ini kerana matlamat kita hanyalah untuk mencari kebenaran dalam isu rakaman video seks itu dan bukannya hendak mencari salah sesiapa,'' katanya.

Apa pun sudah pastilah tumpuan tetap diberikan kepada Pas yang setakat ini pemimpin-pemimpin kanannya menolak penubuhan suruhanjaya diraja.

Malahan mereka berubah-ubah pendirian, pada mulanya mempertikaikan ketulenan video itu tetapi apabila polis mengesahkan video berkenaan tulen, mereka mempersoalkan pula kenapa tiada tindakan diambil ke atas individu yang mengedarkannya.

Tetapi apa yang anehnya kenapakah mereka tidak bertegas dalam soal mencari kesahihan individu yang dikaitkan?

Penulis menghubungi seorang pemimpin Pas di peringkat akar umbi bertanya pandangannya apabila rakaman video tersebar, beliau mengakui rakaman berkenaan 'satu cabaran besar' kepada parti itu.

''Cabarannya ialah mahu tidak mahu Pas kena tunjukkan ketegasannya dalam soal mencari kebenaran. Pas perlu memainkan peranan supaya segala misteri di sebalik rakaman itu terjawab.

''Ia termasuklah juga kesahihan penglibatan pemimpin pembangkang yang dimaksudkan,'' katanya.

Bagaimanapun bagi Ahmad Masrizal adalah lebih baik dalam isu berkenaan, Pas tidak mengulas banyak. Ini kerana kata beliau, jika tersilap langkah masalah yang dihadapi PKR akan terpalit kepada Pas.

''Pas dan PKR wujud di atas perseikatan politik, maknanya mereka bersama bukan atas dasar kesamaan falsafah parti itu sendiri yang mengutamakan kebenaran dan seumpamanya.

''Maka apabila timbul isu mencari kebenaran dalam rakaman video tersebut, maka Pas telah beralih kepada mengutamakan kepentingan politik. Ini adalah sesuatu yang berbahaya kepada Pas dalam jangka masa panjang'' katanya.

Beliau berpendapat, jika Pas cuba bermati-matian mempertahankan pemimpin PKR, ia akan memberikan impak negatif kepada Pas sendiri.

''Keadaan itu berlaku kerana di dalam Pas sekarang ada penyokong-penyokong yang sudah tidak lagi mempercayai PKR,'' katanya.

Ditanya mengenai tindakan pemimpin-pemimpin kanan Pas yang awal-awal lagi membuat pelbagai ulasan termasuk menolak penubuhan suruhanjaya diraja, Ahmad Masrizal berkata, tindakan itu hanyalah kerana mereka terpaksa mengikut rentak politik memandangkan mereka bersekutu dengan PKR.

''Tetapi pemimpin-pemimpin Pas harus faham bahawa ahli-ahli parti tersebut mempunyai prinsip sendiri.

''Ahli partilah yang akan mencerna maklumat yang diperoleh sama ada betul atau tidak dan mereka akan terjemahkannya dalam bentuk undi dalam pilihan raya nanti,'' katanya.

Apa pun adalah diharapkan dalam soal ini, pembangkang akan bersikap terbuka dalam mencari kebenaran dengan menyokong penubuhan suruhanjaya diraja.

Tindakan menganggap ia perkara remeh hanya menampakkan sikap double standard pembangkang dalam berhadapan sesuatu isu.

Janganlah terus berdolak-dalih kerana masalah yang ada di hadapan kita adalah soal politik dan politik berkait rapat dengan soal mencari pemimpin yang terbaik dalam apa juga segi termasuk moral.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gendang 'perang' mula dipalu

Posted:

Gendang 'perang' mula dipalu

Gendang 'perang' mula dipalu

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


PEMUDA BN melancarkan jentera Pilihan Raya Sarawak Ke-10 di Kuching, 2 April lalu. - BERNAMA


PERJALANAN trio Utusan Malaysia dari Kuching ke Mukah sejauh lebih 500 kilometer tengah hari semalam penuh berliku.

Kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dinaiki penulis dan rakan seperjuangan, Sopi Samalie dan jurugambar, Zaki Amiruddin hampir tidak dapat mengelak sebuah lori minyak yang berhenti di laluan kami di Lebuh Raya Kuching-Sri Aman berdekatan pintu masuk ke pekan Pantu menghampiri pekan Lachau.

Mujurlah. Begitupun lebuh raya yang berombak mengajar Zaki yang masih baru berbanding Sopi erti pemanduan yang cukup kewaspadaannya.

Sepanjang perjalanan ke Mukah , seperti mana di Kuching, kami tidak merasakan bahang pilihan raya negeri ke-10. Tidak ada sepanduk dan bendera parti-parti bertanding meskipun pagi ini menyaksikan penamaan calon di kesemua 71 DUN di Sarawak.

Di kerusi DUN Balingian, seorang pekedai runcit, Suriati Abdullah, 50, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menerima surat perakuan sebagai calon dari kepimpinan PKR untuk mencabar Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Kata Suriati yang kecil molek tubuhnya, keluarganya membantah pencalonannya tetapi suaminya menyokong keputusan beliau untuk bertanding. Suriati mendakwa mendapat sokongan masyarakat Melanau, Cina dan Iban yang katanya sungguh memberangsangkan.

Begitu juga seorang lagi individu yang dikatakan akan mencabar Abdul Taib sebagai calon Bebas iaitu bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin. Namun daripada pengalaman Pilihan Raya Negeri 2006 dan 2001 lagi, demikianlah kesudahannya. Calon yang mencabar Abdul Taib biasanya tewas teruk.

Hakikatnya, tidak ada isu pembangunan di Sarawak. Malah, Abdul Taib sendiri menyifatkan PKR, DAP dan Pas sendiri sebagai pengacau kepada usaha kerajaan negeri pimpinannya untuk memacu pembangunan Sarawak.

Mukah yang di dalamnya terisi kerusi N51 Balingian sendiri menikmati tempias pembangunan yang signifikan dari koridor pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Mukah kini menjadi pusat Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) untuk mengendalikan SCORE. Tempias daripada pelaburan RM13 bilion yang telah berjaya ditarik akan dipastikan melonjakkan pembangunan Balingian. Ini terutama dalam industri berteknologi tinggi.

SCORE, menurut kata orang Sarawak, memberi impak yang bukan sedikit kepada pembangunan negeri. Ia menjana lebih banyak peluang perniagaan untuk semua etnik di Bumi Kenyalang.

Ketika Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan bergerak seperti mana trio Utusan Malaysia dari satu destinasi ke satu destinasi ke wilayah tengah Sarawak sehingga ke Lawas, dia mungkin terlupa bahawa banyak kemajuan yang telah dinikmati penduduk Sarawak di bawah kepimpinan Abdul Taib.

Jika kadar kemiskinan di Sarawak pada 1985 sekitar 31.9 peratus, hari ini kadar itu menurun kepada 5.3 peratus. Usaha mengurangkan kadar kemiskinan dan menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik dilakukan Abdul Taib dan barisan Kabinet negerinya melalui Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menerusinya, kerajaan komited untuk membina sejumlah 16,500 buah rumah untuk golongan miskin tegar bagi tempoh tiga tahun mulai 2011 hingga 2012. Pada 2010, sejumlah 7,331 unit disiapkan, 2011 (4,848 unit) dan 2012 (4,321 unit).

Malah Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bergandingan membantu golongan miskin menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup mereka melalui pelaksanaan program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin).

Demikian juga melalui pendidikan. Walaupun ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, BN Sarawak memberikan keutamaan kepada bidang itu dengan menyediakan peruntukan dan sumber daripada negeri bagi menyokong inisiatif kerajaan.

Antaranya dengan melaksanakan Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi menyediakan asas kukuh kepada anak-anak sebagai persediaan pembelajaran sepanjang hayat dan pembelajaran kreatif.

Selain itu, banyak universiti antarabangsa ditubuhkan. Antaranya Universiti Swinburne dan Universiti Curtin yang membolehkan pelajar Sarawak mendapat kelulusan peringkat ijazah antarabangsa pada kadar satu pertiga daripada kos yang dikenakan.

Kerajaan negeri pada masa sama juga menyokong penubuhan universiti awam tempatan seperti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan turut menyokong penubuhan kolej teknikal di seluruh Sarawak.

Ironinya, usaha membangunkan kawasan luar bandar di Sarawak sangat mencabar seperti mana laluan kami ke Mukah. Kos pembangunan amat tinggi kerana penempatan yang jauh, bergunung-ganang dan sungai yang banyak.

Ia memerlukan semangat kerjasama yang erat antara BN Persekutuan dan BN Sarawak. Atas faktor inilah, maka kerajaan negeri diberi peruntukan berjumlah RM5.7 bilion untuk menyedia, membaiki dan menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar di bawah NKRA dan dilaksanakan sebelum bermulanya Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) lagi.

Bagi kadar penembusan penggunaan selular pula, Sarawak berada pada kedudukan 93.3 peratus manakala kadar penembusan jalur lebar meningkat kepada 50 peratus.

Kerajaan Pusat turut membelanjakan lebih RM400 juta untuk meningkatkan perkhidmatan sejagat dengan mendirikan 257 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak.

Gendang perang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 baru dipalu pagi ini dengan kesibukan di seluruh 71 pusat penamaan calon. Maka bermulalah 10 hari kempen menjelang pengundian 16 April ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan