Jumaat, 22 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


PAS: Pemilihan Jun kekal, yakin saingan tak ancam perpaduan

Posted: 21 Apr 2011 11:06 PM PDT

Mustafa berkata beliau tidak berhasrat bertanding sebarang jawatan. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 22 April — PAS tidak mahu menangguhkan pemilihan kepimpinan pusat yang dijadualkan Jun ini dan yakin persaingan tidak akan merosakkan perpaduan dalam komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

"Saya agak parti-parti lain tangguh pemilihan kerana ia akan memecahbelahkan parti mereka kerana kempen yang terlalu hebat, tapi PAS yakin PAS ada budayanya sendiri," kata Setiausaha Agungnnya Datuk Mustafa Ali pada sidang media hari ini.

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Umno telah menangguhkan pemilihan parti masing-masing sehingga tahun depan ekoran desas-desus bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini.

Spekulasi mengatakan bahawa ia kemungkinan diadakan Jun atau Julai ini ataupun penghujung tahun.

"Walaupun ada pertandingan, ia tidak akan merosakkan perpaduan dalam parti melainkan pilihan raya umum diadakan pada Jun barulah kita fikir kembali, tetapi saya tidak fikir ia akan diadakan pada Jun," kata beliau dipetik Bernama Online.

PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan ke-57 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak pada 3 hingga 5 Jun ini.

Mustafa berkata pencalonan untuk semua jawatan termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan anggota jawatankuasa PAS pusat sudah bermula.

Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan adalah 15 Mei.

"Semua pencalonan akan dimasukkan dalam peti simpanan. Calon akan diberitahu berapa pencalonan yang dia dapat sebaik sahaja peti simpanan itu dibuka pada tarikh itu," katanya.

Mustafa berkata Jawatankuasa Pemilih akan menghantar surat tawaran bertanding kepada calon-calon dan mereka menjawabnya dalam masa 11 hari iaitu dari 15 hingga 26 Mei.

"Jawatankuasa Pemilih memutuskan bahawa calon yang berhasrat menawarkan diri untuk bertanding mesti menjawab surat tawaran itu, yang tidak dijawab kita anggap mereka tidak ada kesungguhan untuk bertanding.

"Calon-calon akan menilai sama ada mereka hendak terima pencalonan atau menolak pencalonan itu," katanya sambil memberitahu bahawa kira-kira 1,100 perwakilan dari 179 kawasan akan menghadiri muktamar itu.

Beliau berkata calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan itu masih mempunyai peluang untuk menarik diri sebelum kertas undi dicetak pada 26 Mei.

Mustafa, yang tidak berhasrat bertanding sebarang jawatan, berkata isu pilihan raya umum ke-13 mungkin akan menjadi antara intipati ucapan dasar Presiden pada muktamar tiga hari itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Najib: Idea ‘1 Melayu, 1 Bumi’ pandangan peribadi editor Utusan

Posted: 21 Apr 2011 10:18 PM PDT

Najib berkata seruan Utusan Malaysia tidak akan menjejaskan konsep 1 Malaysia beliau. — gambar fail

PUTRAJAYA, 22 April — Datuk Seri Najib Razak menjauhkan diri daripada pendirian editor Utusan Malaysia kelmarin yang mengesyorkan agar parti-parti Melayu menggerakkan gelombang "1 Melayu, 1 Bumi" sambil menegaskan ia pandangan "peribadi" akhbar Umno itu.

Perdana Menteri juga berkata pendirian akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu tidak akan menggugat komitmen kerajaannya melaksanakan gagasan 1 Malaysia.

"Ia pandangan peribadi penulis. Di sudut kerajaan, kami sudah pun ada satu konsep yang jelas dan kami akan meneruskan usaha-usaha kami," kata beliau yang Presiden Umno pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam tulisan ruangan Cuit kelmarin, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain "semua sudah."

"Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia," katanya.

Dia berkata, slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina.

"Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini," katanya lagi.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Kata Zaini, "sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru."

Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi."

Mingguan Malaysia iaitu edisi Ahad Kumpulan Utusan menggesa Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu "pemurah" dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya Sarawak.

Mingguan Malaysia berkata, majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan "mengubah kerajaan negeri" sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.

BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak memperoleh 62 kerusi dan ia meningkat kepada 63 kemudian.

Walaupun BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan kerusi kali ini. Begitu juga undi popular diperoleh BN semalam berbanding lima tahun lalu.

"Keputusan tersebut mempunyai makna yang perlu diterjemahkan oleh kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib Mahmud."

Awang Selamat berharap Taib akan menubuhkan Kabinet dengan mengambil kira realiti daripada peti undi.

"Ternyata, rata-rata pengundi Cina menolak BN dan menyokong DAP," kata Awang Selamat dalam ruangannya di Mingguan Malaysia.

Dalam ruangannya, Awang Selamat juga berkata kerajaan negeri BN tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum itu.

Ditanya saranan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar DAP bergabung dengan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), Najib yang juga Pengerusi BN memberitahu perkara itu melibatkan isu pembangkang dan tidak mahu mengulas.

"Saya tidak mahu komen tetapi saya tidak nampak macam mana Snap boleh terima DAP kerana ideologi mereka berbeza," katanya.

Berhubung dengan desakan beberapa pihak agar Taib berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak, Perdana Menteri berkata beliau memerlukan masa untuk menguruskan perkara berkaitan dengannya.

"Saya telah memberikan komen saya, beri saya masa," kata Najib.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan