Jumaat, 1 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


DAP mahu Bung Moktar dan pegawai SPRM dipecat

Posted: 01 Apr 2011 12:11 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 April — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Barisan Nasional (BN) memecat Datuk Bung Moktar Radin berhubung komen  'tidak senonoh' dengan menuduh Ahli Parlimen Kinabatangan itu melihat wanita hanya sebagai objek seks.

Lim juga berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memecat pegawainya Mohd Ashraf Mohd Yunus yang menonton bahan lucah selepas menyiasat Teoh Beng Hock pada malam sebelum pembantu setiausaha DAP itu ditemui mati dua tahun lalu.

"Bagaimana Malaysia boleh maju ke hadapan dalam soal kesamaan jantina jika individu seperti Bung Moktar secara berterusan mengatakan menyukai wanita dengan berulang kali? Ini adalah kelakuan seorang lelaki yang melihat wanita sebagai objek seks," kata Lim.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu buktikan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Bung Moktar di Parlimen Isnin lalu apabila mengatakan pemanduan golongan wanita kebanyakannya amat berbahaya dan sekali gus boleh mengundang kemalangan.

Beliau juga menggesa Najib memecat Bung Moktar yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

"Masa sudah tiba untuk ahli Parlimen seperti Bung Moktar dipecat dari BN untuk membuktikan konsep 1 Malaysia Najib termasuk menghormati wanita," kata Lim.

Ketua Menteri Pulang Pinang itu berkata Bung Moktar telah membuat satu kenyataan berbaur lucah sebelum 2007 apabila mengatakan Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan "bocor" setiap bulan.

Bung Moktar bagaimanapun memohon maaf kepada wakil rakyat DAP itu.

Lim juga berkata bahawa "penagih seks" seperti Mohd Ashraf harus dipecat kerana gagal dalam tugas asasnya untuk memerhatikan Teoh.

"SPRM perlu pecat Ashraf bukan kerana Ashraf menonton pornografi menerusi komputernya di pejabat SPRM pada 16 Julai 2009 tetapi kerana gagal menjalankan tugas asasnya iaitu memerhatikan Teoh Beng Hock," katanya.

Beliau berkata, menonton pornografi bukan satu alasan untuk memecat Ashraf tetapi penolong pegawai SPRM Selangor itu harus dipecat kerana tidak memerhatikan Teoh, yang ditemui mati beberapa jam kemudian.

Semalam Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) kematian Teoh berkata, pegawai SPRM itu menonton pornografi selepas mengambil kenyataan bekas setiausaha politik Exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Mayat Teoh beberapa jam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Interlok: ‘Biar saya jadi penonton sahaja’, kata wakil kaum India

Posted: 31 Mar 2011 11:47 PM PDT

KUALA LUMPUR, 1 April — Bekas anggota panel bebas mengkaji pindaan Interlok, Uthaya Sankar SB yang sebelum ini menyifatkan novel kontroversial itu belum cukup murni walaupun sedang melalui kerja-kerja 'pemurnian' hari ini berkata, "kali ini biar saya menjadi penonton sahaja."

Penulis bebas itu berkata beliau telah menyempurnakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya selaku salah seorang anggota panel bebas itu, yang kini sudah pun dibubarkan.

Pandangan itu dikeluarkan ketika wakil masyarakat Cina pula menyuarakan pandangan agar novel itu digugurkan daripada digunakan di sekolah.

Jumaat lalu, Uthaya Sankar berkata, pendirian wakil kaum India sejak dilantik ke dalam panel tersebut adalah tetap dan dan tidak berubah iaitu jika segala pindaan yang diperakukan tidak dilakukan sepenuhnya, maka buku itu perlu dikeluarkan daripada dijadikan teks Komsas.

"Malah, sehingga kini, pendirian wakil kaum India adalah sama. Malangnya, seperti diketahui umum, pada 16 Mac 2011, pihak tertentu sudah bersetuju untuk menarik balik senarai yang mereka kemukakan dan ada kaitan dengan sensitiviti kaum Melayu dan kaum Cina.

"Maka, wakil kaum India tidak dapat bertegas mempertahankan saranan pindaan itu kerana sudah ditarik balik oleh pihak yang mengemukakan cadangan itu," katanya sambil menambah, beliau berpandangan bahawa selagi ia tidak murni selengkapnya, ia tidak wajar digunakan.

"Kita tidak boleh perjuangkan kaum lain dalam panel bebas itu, ini sangat jelas," katanya dengan merujuk kepada terma rujukan.

Uthaya Sankar turut menjelaskan mengenai terma rujukan yang digunakan panel bebas sepanjang melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Menteri Pelajaran.

"Begitu juga dengan cadangan pindaan yang diperakukan panel bebas secara konsensus pada 4 Mac 2011," katanya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Uthaya Sankar yang juga Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan berkata:

"Beberapa wakil media menghubungi saya untuk meminta komen mengenai tindakan pihak tertentu yang masih meneruskan usaha mendesak supaya novel Interlok edisi murid ditarik balik sepenuhnya daripada dijadikan teks Komsas tingkatan lima."

Penulis bebas itu merupakan salah seorang daripada tiga wakil kaum India yang menganggotai panel bebas bagi mengkaji pindaan-pindaan yang perlu ekoran bantahan sejak awal tahun ini.

Panel bebas itu hasil mesyuarat akhirnya pada 4 Mac lalu telah mengesyorkan kepada Kementerian Pelajaran sebanyak 106 pindana termasuk 19 perkara yang sensitif.

"Dalam hal ini, perlu ditekankan bahawa ketiga-tiga wakil kaum India dalam panel bebas sudah melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan oleh Menteri Pelajaran yang melantik kami bertiga menganggotai panel berkenaan.

"Sekiranya masih ada apa-apa kekurangan, maka bukan salah wakil kaum India," katanya Uthaya Sankar.

Kata Uthaya Sankar, beliau sebenarnya pernah menyatakan sebelum ini bahawa mereka bertiga tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa reaksi masyarakat sekiranya kesemua pindaan yang diperakukan panel bebas pada 4 Mac 2011 gagal dilaksanakan atas apa alasan sekali pun.

"Saya juga diberitahu bahawa pihak tertentu menggunakan bahan-bahan dari blog saya untuk tujuan mendesak novel Interlok edisi murid ditarik balik. Dalam hal ini juga saya tidak boleh dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan.

"Blog saya terbuka kepada umum dan boleh diakses atas pilihan sendiri kerana dilabel sebagai "kandungan dewasa". Bahan-bahan di blog saya boleh disebarkan kepada orang lain asalkan sumbernya dinyatakan," katanya lagi.

Malah kata Uthaya Sankar beliau juga dimaklumkan bahawa beberapa badan bukan kerajaan mewakili kaum Cina sudah mula "bersuara" – walaupun agak lewat bagi melahirkan kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap gambaran kaum itu dalam novel berkenaan.

"Perkara ini sebenarnya sudah saya jangkakan, khususnya apabila menghadiri Forum Interlok: Antara Kesusasteraan, Pendidikan dan Hubungan Kaum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, Kuala Lumpur pada 23 Mac (lalu).

"Kali ini, biar saya menjadi penonton sahaja," katanya lagi.

Novel itu dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain akhir 1960-an.

Pada 24 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Parlimen bahawa kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan "tali" dipinda kepada "taali".

Interlok, edisi asal diterbitkan kali pertama pada 1971 dan kemudian diulang cetak dua tahun kemudian dengan diperbaiki dan edisi kedua diterbitkan pada 1996.

Edisi Murid diterbitkan pertama kali pada 2010 berikutan novel ini telah dipilih oleh Jawatankuasa Penilai Teks Sastera Kementerian Pelajaran sebagai Novel Komponen mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan Lima mulai tahun ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan