Sabtu, 23 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tegur bising kereta dibakar

Posted: 22 Apr 2011 11:31 AM PDT

HULU KLANG: Akibat menegur perbuatan sekumpulan remaja membuat bising dan mengganggu lalu lintas di Taman Permata, di sini, seorang ahli perniagaan menanggung kerugian kira-kira RM20,000 apabila bahagian depan kenderaan pacuan empat rodanya dibakar.

Teguran lelaki berusia 57 tahun itu menimbulkan kemarahan kumpulan remaja terbabit yang dipercayai Mat Rempit sebelum mereka bertindak agresif menyimbah petrol dan membakar kenderaan lelaki itu.


Mangsa, Ab Kadir Mahmood, berkata dia menegur kumpulan remaja itu dua minggu lalu sebelum menyedari keretanya dibakar sejurus selepas menerima panggilan daripada isterinya kira-kira jam 5 pagi, 15 April lalu.

"Ketika menerima panggilan itu, saya baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumah. Saya terkejut apabila kebakaran itu menyebabkan hadapan kereta saya hangus.


"Kejadian itu disedari jiran saya sebaik terdengar beberapa letupan kecil dan bau hangus. Mereka bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku," katanya.


Beliau berkata, jirannya itu terkejut apabila melihat keretanya dijilat api.

"Saya tidak bermusuh dengan sesiapa dan tindakan menegur kumpulan remaja terbabit tanpa meninggikan suara. Ketika itu, mereka berdiam diri dan mendengar semua teguran.


"Tidak sangka, dua minggu selepas menegur mereka, bahagian hadapan kereta saya dibakar. Kini saya tidak lagi melihat mereka melepak di kawasan itu dan dipercayai berpindah ke kawasan lain," katanya.

Abd Kadir membuat laporan pada hari sama di Balai Polis Taman Melawati, kira-kira jam 10 pagi. Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Konduktor bas dibelasah penumpang samseng

Posted: 22 Apr 2011 11:28 AM PDT

SENTUL: Gara-gara disangka warga asing, seorang konduktor bas dibelasah seorang penumpang samseng hanya kerana diajukan soalan 'Mahu ke mana?', Isnin lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dolah, 30, mendakwa cedera di mata, tangan, leher dan belakang badannya akibat dibelasah penumpang itu.


Menceritakan kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Dolah seperti biasa mengambil bayaran tiket dari penumpang mengikut destinasi mereka.

Sebaik tiba di hentian bas Taman Pelangi, seorang lelaki menaiki bas itu dan bertanya pemandu sama ada bas itu menuju Gombak atau tidak.


Menurutnya, lelaki itu berlagak seperti samseng dengan menolaknya yang ketika itu mengambil bayaran dari penumpang dan tanpa meminta maaf, lelaki terbabit terus duduk.


Katanya, dia mendekati lelaki itu dan bertanya destinasinya, namun pertanyaannya tidak diendahkan menyebabkan dia meminta lelaki terbabit turun jika tidak tahu destinasi yang hendak dituju.

"Ketika saya berpusing untuk mengutip wang tiket penumpang lain, lelaki itu menolak saya dari belakang hingga badan saya terhentak di kerusi penumpang sebelum tersungkur.


"Lelaki itu menumbuk dan menendang saya tanpa henti, selain mencakar leher saya hingga luka dan memaki-hamun saya.

"Mujur pemandu memberhentikan bas sebelum beberapa penumpang membantu meleraikan pergaduhan itu," katanya.


Dolah yang tidak berpuas hati tampil membuat laporan di Balai Polis Batu Caves, Rabu lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen