Khamis, 14 April 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Sentral: Melancong, melacur

Posted: 13 Apr 2011 12:28 PM PDT

Wilayah

SEBAHAGIAN daripada wanita warga asing yang ditahan di sebuah hotel di Sri Petaling.

SEBAHAGIAN daripada wanita warga asing yang ditahan di sebuah hotel di Sri Petaling.

Enam wanita warga asing, seorang penjaga kena cekup

KUALA LUMPUR: Kegiatan enam wanita warga China berusia antara 20 hingga 30 tahun yang kononnya memasuki negara ini sebagai pelancong, terbongkar apabila mereka ditahan kerana terbabit kegiatan pelacuran di sebuah hotel di Seri Petaling di sini, malam kelmarin.

Mereka yang menggunakan khidmat sindiket untuk mendapatkan pelanggan itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam. Polis turut menahan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai penjaga pelacur wanita warga China berkenaan.

Ketua Turus D7 IPK Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata polis menjumpai lebih 100 kondom dan minyak urut, cecair pelincir serta puluhan tuala dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

Beliau berkata, semua pelacur terbabit mempunyai dokumen perjalanan sah dan rekod menunjukkan ada di kalangan mereka kerap keluar masuk ke negara ini sebagai pelancong sejak setahun lalu.

"Sindiket itu menerima tempahan pelacur daripada pelanggan melalui panggilan telefon dan menggunakan beberapa bilik di tingkat tiga hotel ini sebagai tempat pelanggan melepaskan nafsu," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket pelacuran yang baru tiga bulan beroperasi di hotel berkenaan itu menyediakan tiga bilik yang ditempah untuk kegunaan pelanggan mereka.

Sementara itu di Petaling Jaya, sepasukan polis dari D7 IPK Selangor di ketuai Ketua Turus D7 IPK Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abd Karim menyerbu sebuah premis rumah kedai di Jalan PJS 8/4, Sunway Mentari kerana menjalankan operasi perjudian haram online.

Dalam operasi pada jam 11.30 malam itu, enam lelaki termasuk seorang penjaga premis dan lima pelanggan berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan, manakala 20 buah komputer serta wang tunai RM964 dirampas.

"Kita percaya pusat perjudian ini baru beroperasi selama dua minggu dan membenarkan pelanggan tetap dan dikenali saja masuk.

"Mereka menggunakan kamera litar tertutup untuk mengecam pelanggan dan kebanyakannya bermain judi 'roulette' online," katanya.

Katanya, walaupun premis itu sudah beberapa kali diserbu sejak tahun lalu, pemilik premis terus berdegil menjalankan kegiatan haram terbabit memandangkan ia mendapat permintaan ramai.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Johor: Peragut kantoi

Posted: 13 Apr 2011 12:26 PM PDT

Wilayah

 LOKASI kejadian ragut membabitkan mangsa seorang pesara guru wanita.

LOKASI kejadian ragut membabitkan mangsa seorang pesara guru wanita.

Suspek dikenali orang awam, kena berkas ketika berada di rumah

MUAR: Tindakan dua pemuda termasuk seorang anak polis, meragut beg tangan berisi wang tunai yang mahu digunakan seorang pesara guru bagi membeli kelengkapan mengerjakan umrah, menerima padah apabila mereka dicam orang ramai, membolehkan kedua-duanya ditahan tiga jam selepas melakukan jenayah itu.

Kejadian ragut itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin dekat Jalan Pesta 1/1 di pinggir bandar ini, ketika mangsa Azizah Mohd Don, 59, keluar dari kereta Honda City yang dipandunya untuk ke sebuah kedai serbaneka berhadapan tempat letak kenderaan itu, apabila dua pemuda bermotosikal meragut beg tangannya. Perbuatan jenayah itu disaksikan beberapa orang awam dan jeritan Azizah sejurus beg tangannya dilarikan turut menarik perhatian seorang posmen yang kebetulan berada di tempat kejadian cuba mengejar peragut berkenaan tetapi gagal.

Azizah yang akan menunaikan umrah bersama suaminya mulai Sabtu ini, bernasib baik apabila seorang lelaki yang berada di tempat kejadian mengecam seorang daripada peragut terbabit yang tinggal berhampiran rumahnya sebelum menyalurkan maklumat itu kepada polis.

Susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Datuk Kosai, yang terletak berhampiran tempat kejadian sebelum berhasil menahan dua pemuda berusia 20 dan 21 tahun.

Hasil pemeriksaan terhadap dua pemuda terbabit, polis menemui wang tunai berjumlah kira-kira RM200 serta telefon bimbit milik mangsa yang dilarikan mereka serta merampas sebuah motosikal curi yang digunakan untuk kegiatan itu.
Siasatan lanjut terhadap pemuda terbabit membawa polis kepada lokasi beg tangan dan dokumen perjalanan milik mangsa yang dibuang di tepi jalan di Laluan Pintas Muar berhampiran rumah suspek itu.

Jurucakap polis yang mengesahkan tangkapan dua suspek terbabit, berkata kedua-dua pemuda berkenaan tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

Dua pemuda itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam, sebelum Majistret Nor`iza Mohamed membenarkan polis menahan reman kedua-duanya selama tujuh hari sehingga 19 April ini, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kegiatan ragut yang didalangi mereka selama ini.

Sementara itu ketika ditemui, Azizah berkata, kejadian ragut yang menimpanya itu berlaku dengan pantas sejurus beliau keluar daripada keretanya dan berjalan menuju ke arah sebuah kedai yang terletak berhadapan dengan kenderaannya.

"Ketika berjalan, saya terdengar dua kali bunyi enjin motosikal dengan kuat daripada arah belakang sebelum ia melintasi saya dan pemboncengnya meragut beg tangan saya.

"Saya bernasib baik kerana tidak terjatuh sebab beg tangan itu dipegang agak longgar menyebabkan saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Nasib baik anak perempuan saya yang berusia 13 tahun berada dalam kereta kerana jika dia mengikut saya, sudah tentu kami akan terjatuh ketika beg tangan direntap," katanya.

Beliau berkata, beg tangan terbabit mengandungi sejumlah wang tunai yang mahu digunakannya untuk membeli beberapa kelengkapan sebelum berangkat menunaikan umrah, selain dokumen pengenalan diri dan kad bank.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan