Jumaat, 19 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


CPI naik 1.3 peratus pada September

Posted: 19 Oct 2012 03:26 AM PDT

KUALA LUMPUR: Indeks Pengguna Malaysia (CPI), yang merupakan ukuran untuk inflasi, naik 1.3 peratus kepada 105.2 pada September daripada 103.8 pada bulan yang sama tahun lalu.

CPI juga meningkat 0.2 peratus berbanding Ogos, kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.

CPI bagi tempoh Januari kepada September naik 1.8 peratus kepada 104.7 daripada 102.9 pada tempoh yang sama tahun lalu.
Indeks untuk makanan dan minuman bukan alkohol bagi September menunjukkan peningkatan 2.4 peratus dan 0.8 peratus setiap satu, berbanding dengan bulan yang sama tahun lalu.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, indeks bagi makanan dan minuman bukan alkohol dan bukan makanan meningkat 2.9 peratus dan 1.2 peratus, setiap satu.

Indeks bagi bukan makanan naik 0.3 peratus sementara bagi makanan dan minuman bukan alkohol kekal tidak berubah pada 108.0.

Peningkatan 1.8 peratus dalam CPI disebabkan oleh kenaikan indeks bagi semua kumpulan utama kecuali indeks komunikasi (-0.6 peratus), pakaian dan kasut (-0.5 peratus).
Kenaikan yang ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah indeks makanan dan minuman bukan alkohol (+2.9 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+1.6 peratus) dan pengangkutan (+0.7 peratus).

Lain-lain peningkatan adalah restoran dan hotel(+3.1 peratus), pendidikan (+2.5 peratus), hiasan, perkakasan dan penyenggaraan isi rumah dan pelbagai barangan dan perkhidmatan 2.2 peratus setiap satu, kesihatan (+2.1 peratus), perkhidmatan rekreasi dan budaya (+1.6 peratus) sementara indeks untuk minuman beralkohol dan tembakau naik 0.1 peratus. - BERNAMA

Saya hanya fikir maut, kata mangsa runtuhan

Posted: 19 Oct 2012 03:24 AM PDT

KLANG: "Saya hanya fikir maut dan isteri serta anak ketika terperangkap dalam runtuhan itu," kata seorang daripada mangsa runtuhan bumbung konkrit sebuah rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam semalam.

Dia yang terperangkap kira-kira 20 minit dalam runtuhan itu berkata kakinya tidak dapat bergerak kerana dihempap kepingan konkrit dan kayu menyebabkannya panik dan hampir putus harapan untuk diselamatkan.

Mangsa yang dikenali sebagai Waras, 40, patah kaki kiri dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.20 petang itu.
Dia hanya mampu menangis dan memikirkan mati ketika terperangkap sebelum diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat, katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Afifin, 27, berkata dia trauma untuk meneruskan kerja sebagai buruh binaan di negara ini walaupun telah melakukan tugas itu sejak dua tahun lalu.

"Ini merupakan kemalangan pertama sejak bekerja sebagai buruh binaan dan sungguh tidak sangka selepas hampir sebulan bekerja di banglo itu, semalam satu kejadian yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat menimpa kami," katanya.

Menceritakan detik-detik kejadian itu, Afifin berkata dia mengambil masa hampir sepuluh minit untuk merangkak keluar daripada sisa runtuhan konkrit sebelum ditarik keluar oleh anggota bomba dalam operasi menyelamat berkenaan.
"Saya tidak ingat apa-apa waktu kejadian, bila runtuhan berlaku keadaan gelap namun saya boleh dengar suara rakan-rakan yang menjerit meminta tolong," katanya.

Dia yang mengalami kecederaan di punggung akibat dihempap sebahagian runtuhan konkrit bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata, kaki kanan seorang daripada mangsa yang putus dalam kejadian itu ditemui di bawah runtuhan konkrit ketika operasi pembersihan yang dijalankan kira-kira 1 pagi tadi.

Beliau berkata bahagian kaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.

"Kita temui bahagian kaki berkenaan di celah runtuhan itu selepas kren berjaya mengangkat kepingan konkrit berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Othman berkata punca kejadian itu masih dalam siasatan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan