Jumaat, 19 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Sembilan lelaki mengaku tidak bersalah rompak cip mikro

Posted: 19 Oct 2012 03:40 AM PDT

BUTTERWORTH: Sembilan individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencuri dan menyimpan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) yang bernilai RM22 juta milik sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai, Bukit Tengah di sini pada 7 Okt lepas.

Mereka didakwa di dua mahkamah berasingan dengan empat berdepan pertuduhan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan manakala lima lagi menyimpan cip mikro yang dirompak itu.

S Thurai, A Jaykumar, S Somasundram, dan G Hari Kirusnan didakwa mencuri 268 kotak cip mikro CPU milik syarikat Moduslink Sdn Bhd di Lorong Perusahaan Maju 8, Kawasan Perusahaan Perai pada 2.26 pagi, 7 Okt lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Nabishah Ibrahim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 12 Nov depan untuk sebutan kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim dan peguam Jagjit Singh mewakili Jaykumar manakala Thurai, Somasundram serta Hari Kirusnan tidak diwakili peguam.


Sementara itu, Lim Heang Eu, Ong Liang Poh, Lim Ban Leng, Tan Hee Hock dan M Ravindran didakwa menyimpan harta curi iaitu 256 kotak cip mikro CPU, yang didapati bersangkutan dengan kes rompakan berkumpulan melibatkan 268 kotak cip mikro di Moduslink Sdn Bhd, Lorong Perusahaan Maju 8, Kawasan Perusahaan Perai.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Dis untuk sebutan kes.

Beliau turut memerintahkan semua tertuduh melapor diri di mana-mana balai polis berhampiran setiap Sabtu sehingga perbicaraan bermula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud manakala peguam Rafael Abdullah mewakili Ravindran, CP Ang mewakili Heang Eu, S Prakash mewakili Tan dan Andy Ooi mewakili Ong.

Seorang lagi tertuduh, Ban Leng tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/19


PBSNT tutup pintu kapten Terengganu hijrah ke T-Team

Posted: 19 Oct 2012 03:38 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Ketua pasukan Terengganu Marzuki Yusof boleh melupakan hasrat untuk berhijrah ke pasukan kelab T-Team pada saingan Liga Super musim depan.

Ini berikutan pendirian Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bahawa pemain yang masih mempunyai kontrak tidak digalakkan keluar tanpa berunding dengan persatuan itu.

Presidennya Datuk Che Mat Jusoh menegaskan kontrak Marzuki bersama persatuan itu akan hanya berakhir pada tahun depan.

"Kita tetap berpegang kepada perjanjian, tidak kira siapa sahaja termasuk Marzuki," katanya sebagai mengulas hasrat pemain pertahanan tersebut untuk berhijrah ke pasukan T-Team.


Beliau berkata sepatutnya perkara itu tidak berbangkit sekiranya pemain patuh kepada kontrak yang telah ditandatanganinya.


Dalam kes pemain berusia 31 tahun itu, Che Mat menegaskan pihaknya tidak tidak perlu mengadakan sebarang perbincangan dengan pemain berkenaan.

Katanya apa yang penting sekarang adalah semua pemain perlu memberikan perhatian kepada persediaan menghadapi musim Liga Super tahun depan.

Marzuki merupakan pemain setia skuad Penyu sejak mula menyarung jersi pasukan negeri itu sejak 2001 dan membantu Terengganu merangkul Piala Malaysia pada tahun itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/19


Tiada ulasan:

Catat Ulasan