Jumaat, 2 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bencana bah kali kedua

Posted: 01 Nov 2012 02:40 PM PDT

KLANG: Belum pun pulih sepenuhnya dengan kejadian banjir kilat dua minggu lalu, lebih 200 keluarga di Kampung Baru Satu, Kampung SC, Kampung Sri Nadi dan Kampung Johan Setia, di sini, diuji lagi apabila kejadian serupa berulang petang kelmarin mengakibatkan rumah mereka dinaiki air hampir satu meter berikutan hujan lebat tanpa henti lebih enam jam.

Bencana kali kedua yang membabitkan kawasan sama diburukkan lagi apabila air laut pasang memasuki Sungai Klang mengakibatkan air di kebanyakan parit dan longkang utama di kampung berkenaan melimpah dan memasuki rumah penduduk.


Sehingga awal pagi semalam, air masih memasuki kediaman terutama rumah di kawasan rendah dan menyebabkan beberapa jalan di kampung itu tenggelam serta tidak boleh dilalui kenderaan.

Mangsa di Kampung SC, Abdul Rahman Derasim, 62, berkata, banyak peralatan elektrik dan perabot di rumahnya rosak selepas gagal diselamatkan.


"Bukan saja barang rosak, ular pun masuk rumah hingga kami sekeluarga ketakutan. "Ini bukan kali pertama banjir kilat berlaku dan saya percaya banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan bencana ini tidak berulang pada masa depan. Kami sudah banyak kali kerugian kerana kejadian sebegini," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Abdul Rahman berkata, air naik dengan cepat hingga dia bersama isteri dan anak-anaknya tidak sempat menyelamatkan barangan.

"Lebih penting kami selamatkan diri dulu. Akibat kejadian ini, kami semua terpaksa menumpang di rumah saudara yang berhampiran," katanya. Harian Metro pada 20 Oktober lalu melaporkan kejadian banjir kilat di kampung berkenaan yang menyebabkan rumah penduduk dinaiki air sedalam hampir satu meter berikutan hujan lebat tanpa henti lebih lima jam. Banjir kilat itu antara yang terburuk dalam tempoh dua tahun dan didakwa penduduk berpunca daripada sistem perparitan yang tersumbat akibat tidak diselenggara dengan betul. Ia diburukkan lagi apabila sebahagian besar rumah berada di kawasan rendah.


Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd Nor yang meninjau kawasan itu jam 1 pagi semalam, berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib semua yang terbabit dan memberi jaminan mendapatkan bantuan bagi meringankan bebanan mereka.

Katanya, sebagai tindakan segera menangani banjir kilat itu, pihaknya meminta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan beberapa mesin pengepam berkapasiti tinggi untuk mengepam air keluar daripada kawasan yang terjejas teruk.


"Tumpuan utama kami adalah untuk memastikan semua jalan yang tenggelam dapat digunakan semula kerana tidak mahu penduduk terkepung lebih 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


250 keluarga tak lena tidur

Posted: 01 Nov 2012 02:38 PM PDT

SHAH ALAM: Tidur kira-kira 250 keluarga di Kampung Jalan Kebun, di sini, tidak pernah lena setiap kali hujan lebat kerana bimbang rumah dinaiki air berikutan kekerapan berlaku banjir kilat di kawasan itu tanpa mengira waktu.

Malah, dalam tempoh sebulan rumah mereka sudah tiga kali dinaiki akibat banjir kilat yang didakwa berpunca daripada laluan air di bawah Lebuhraya Konsortium Shah Alam Selangor (Kesas) yang terletak berhampiran kampung berkenaan.


Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Buang Abdul Basir, 52, yang mewakili penduduk terbabit berkata, pihaknya kesal kerana Kesas gagal menunaikan janjinya untuk menyelenggara laluan air berkenaan sejak lima tahun lalu.

"Kami tidak pernah nampak laluan air itu diselenggara selama lima tahun dan ia kini berkeladak menyebabkan aliran air tersekat, sekali gus melimpah ke parit berdekatan sebelum memasuki rumah penduduk. "Pihak Kesas berjanji lima tahun lalu untuk menguruskan laluan air berkenaan dan menyedut kelodak yang menyekat aliran air sehingga kerap berlaku banjir di sini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi bersama 100 penduduk di lokasi banjir di kampung berkenaan, semalam. Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat Kesas, Abdul Rashid Rahman, ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya memberi perhatian segera mengenai dakwaan penduduk terbabit.


Katanya, selain memikirkan langkah bagi mengatasinya, Kesas juga akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) bagi memastikan masalah itu diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/02


Tiada ulasan:

Catat Ulasan