Ahad, 25 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Ulama turut dicalon bertanding wakili BN dalam PRU-13 di Kelantan

Posted: 25 Nov 2012 01:28 AM PST

PASIR PUTEH: Golongan ulama antara yang turut dicalonkan Badan Perhubungan Umno Kelantan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kelak.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mereka terdiri daripada golongan yang berwibawa dan banyak berjasa kepada parti dan negara selain berpotensi untuk menang.

"Kita sudah mengenal pasti nama-nama mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara penutup Program Pelancaran 1Komuniti 1Koperasi di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, nama calon terbabit akan diumumkan lebih awal dari biasa untuk memberi peluang kepada rakyat menilainya.

"Biasanya, termasuk PRU ke-12, dua hari tarikh penamaan calon kita umumkan tetapi kali ini ia lebih awal dari itu," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jeli.

Mustapa berkata, manifesto Barisan Nasional (BN) juga akan turut diedarkan lebih awal supaya setiap rakyat Kelantan dapat meneliti dan membuat pertimbangan.

Katanya, manifesto itu, sedang dirangka yang menjurus ke arah perseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani yang sebelum ini sebahagiannya diumumkan seperti pembinaan jalan lebuh raya antara Kota Baharu-Kuala Krai.
Beliau berkata, keseluruhannya ia memberi masa depan yang lebih terjamin kepada rakyat Kelantan jika diberi peluang memerintah negeri itu.

Mustapa berkata, rakyat Kelantan perlu percaya dan yakin setiap yang terdapat dalam manifesto itu kelak, ia pasti akan ditunaikan sesuai dengan slogan 'Janji Ditepati'.

Pada majlis itu, beliau menerima sumbangan lebih RM3,000 dari UMNO Bahagian Pasir Puteh untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel. - BERNAMA

Jangan benarkan pembangkang gagal usaha transformasi kerajaan: Najib

Posted: 25 Nov 2012 01:07 AM PST

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan wanita muda Malaysia supaya tidak menggadaikan masa depan negara dengan membenarkan pembangkang menggagalkan segala usaha yang dilakukan kerajaan selama ini.

Beliau berkata, wanita muda tidak harus terpengaruh dengan dakyah politik parti pembangkang yang sering mempertikaikan kebolehan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara.

Beliau berkata, pembangkang sepatutnya menjadi pembangkang yang konstruktif tetapi sebaliknya mereka sentiasa mencari keburukan dalam projek yang dilaksanakan kerajaan sedangkan projek terbabit memberi peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Projek-projek seperti Projek Rapid di Pengerang, Johor dan penyenaraian FELDA (Global Ventures Holdings Berhad) di Bursa Malaysia cuba digagalkan pembangkang atas dasar politik yang tidak ingin BN mencapai kejayaan dan menunjukkan kebolehan untuk mentadbir negara.

"Segala apa yang dirancangkan akan tinggal di atas kertas dan akan terbantut kalau perancangan untuk lakukan transformasi digagalkan oleh pembangkang dan tidak mendapat sokongan politik daripada rakyat," katanya ketika menutup Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di sini hari ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan