Ahad, 18 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Demi ayah

Posted: 10 Nov 2012 05:17 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan nekad meninggalkan bangku persekolahan sejak Jun lalu untuk menjaga bapanya yang sakit kerana terbabit kemalangan jalan raya setahun lalu.

Siti Hajar Ibrahim, 14, berkata, dia terpaksa melupakan impian meneruskan pelajaran kerana perlu menjaga bapanya, Ibrahim Muhd Taib, 84, yang terlantar di rumahnya di Kampung Bukit Tangki Air, Cheras di sini, sejak setahun lalu.


Dia tidak berseorangan menjaga bapanya kerana ditemani abang, Salman, 24, yang masih menganggur. Walaupun mempunyai 11 adik-beradik, namun disebabkan sibuk dengan kerjaya serta memiliki keluarga sendiri membuatkan masing-masing tidak dapat memberi tumpuan sepenuh masa terhadap bapa mereka.

"Saya tak kesal berhenti sekolah awal kerana kasihan dengan keadaan ayah yang sakit manakala ibu tiri pula sudah meninggalkan kami sejak dua bulan. Saya dan abang bergilir-gilir menjaga ayah bagi memastikan ubat dan susu diberikan kepadanya mengikut masa ditetapkan.


"Ayah tak dapat berkomunikasi dengan baik bagi menyatakan apa yang dia mahu. Kami hanya menggunakan bahasa isyarat untuk membantunya," katanya.


Siti Hajar berkata, ibunya meninggal dunia sembilan tahun lalu dan bapanya pernah berkahwin dengan wanita dari Indonesia tetapi ibu tirinya itu sudah pulang sejak dua bulan lalu.

Seorang lagi anak Ibrahim, Badrul Hisham, 30, berkata, setiap hari dia memandikan bapanya selain meninjau keadaan dua adiknya yang tinggal di rumah berkenaan.


Dia bekerja sebagai pemandu teksi dan turut menjalankan perniagaan di pasar Down Town Cheras pada sebelah malam, sudah berkeluarga dan tinggal di Sungai Besi Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno Cheras, Datuk Zurainah Musa yang menziarahi warga emas itu memuji sikap dua beradik berkenaan yang menjaga bapa mereka dengan baik.

Bagaimanapun, katanya, dia akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menempatkan warga emas itu di pusat perlindungan yang dilengkapi penjagaan kesihatan.


Beliau berharap anak-anak Ibrahim dapat berbincang mengenai tawaran itu selain membantu mendapatkan pelbagai bantuan sewajarnya kepada keluarga terbabit.


Ketua Umno Cawangan Cheras, Rosmani Mahimi pula berkata, pihaknya sering menyampaikan bantuan bersesuaian kepada warga emas itu bagi mengurangkan beban keluarganya Pada masa sama, katanya, dia berharap Siti Hajar dapat meneruskan semula persekolahan manakala abangnya akan mendapat pekerjaan sesuai. Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abd Shukor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11


Air dihurungi lalat bongkar kematian

Posted: 10 Nov 2012 05:14 PM PST

PASIR MAS: Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Kubang Sepat, Tendong sejak seminggu lalu membawa kepada penemuan mayat reput seorang lelaki.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, mayat Ahmad Shihabuddin Abdul Ghani, 48, ditemui jirannya dalam keadaan terlentang dan berbogel serta dihurungi lalat.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Jiran mangsa, Che Hassan Che Mamat, 58, berkata dia mula mensyaki sesuatu selepas terbau busuk sejak seminggu lalu.


Katanya, dia hanya menyedari punca bau busuk itu datang dari rumah mangsa apabila seorang jiran terdekatnya ternampak titisan air dihurungi lalat menitis ke bawah rumah.


"Saya dan beberapa penduduk kampung pergi ke rumah itu dan terkejut mendapati mayat mangsa yang reput dalam keadaan terlentang dan bogel serta dipenuhi lalat sebelum menghubungi polis," katanya.

Che Hassan berkata, dia tidak kenal rapat jirannya kerana mangsa baru berpindah dan tinggal di kampung itu sejak enam bulan lalu.


"Penduduk kampung juga tidak mengenalinya kerana dia baru tinggal di kawasan ini dan kami hanya tahu dia tinggal sendirian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/11


Tiada ulasan:

Catat Ulasan