KOTA KINABALU: Polis yakin dua bersaudara yang diculik sekumpulan lima lelaki bersenjata ketika berada di sarang penternakan burung walet di ladang milik keluarga mereka di Lahad Datu, Rabu lalu, sudah dibawa ke luar perairan negara ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, berdasarkan risikan, polis yakin sudah mengenal pasti lokasi kedua-dua ahli perniagaan berusia 25 dan 33 tahun itu disembunyikan, namun enggan mendedahkannya atas tujuan keselamatan.
"Kami percaya kedua-duanya dibawa keluar dari negara ini dan siasatan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak.
"Setakat ini, kami belum menerima sebarang maklum balas ahli keluarga mangsa termasuk sebarang permintaan berhubung bayaran atau wang tebusan daripada kumpulan penculik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, semalam.
Terdahulu, Harian Metro semalam melaporkan dalam kejadian jam 3.30 petang Rabu lalu, kumpulan penculik termasuk seorang yang bertopeng dikatakan menyerbu ladang sawit kira-kira dua kilometer dari pantai di Kampung Manakayang, bersebelahan Felda Sahabat 15, sebelum membawa kedua-dua mangsa menaiki bot. Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa berada di rumah penternakan burung walet di ladang seluas 400 hektar milik mereka bersama dua pekerja warga tempatan, namun dua pekerja terbabit tidak diapa-apakan.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang di sebalik penculikan itu termasuk sama ada membabitkan kumpulan pemberontak dari negara jiran.
Ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berhubung kejadian itu, Hamza memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti dalang di sebalik kes penculikan itu dan meminta pelbagai pihak supaya tidak membuat sebarang andaian.
"Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kes ini," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/17
Tiada ulasan:
Catat Ulasan