JOHOR BAHRU: Seorang bayi lelaki ditemui di dalam bekas menyimpan makanan yang dibalut dengan kain putih di tepi jalan Taman Daya di sini, 3 November lalu dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sedang mengesan ibu bapanya.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, bayi berkenaan ditemui seorang pegawai polis.
"Secara kebetulan, pegawai polis itu membuat rondaan di tepi jalan bersebelahan pondok bas di kawasan kediaman itu.
"Pegawai polis itu curiga apabila menemui bungkusan berwarna putih di tepi pondok bas berkenaan dan apabila dibuka, beliau terkejut mendapati bekas menyimpan makanan itu mengandungi bayi berkenaan," katanya.
Menurut Manayi, bayi berkenaan masih bertali pusat dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Manayi berkata, pegawai polis itu kemudian merujuk bayi berkenaan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
"Bayi itu bernasib baik kerana sempat diselamatkan. Dia kemudiannya diberikan rawatan di HSA dan kini keadaannya stabil.
"Bayi berkulit cerah dan comel itu dinamakan Adam Qayum dan kini berada di bawah jagaan JKM," katanya.
Menurut Manayi, Adam dipercayai mangsa pengabaian ibu bapa dan sekiranya lewat ditemui, bayi berkenaan pasti tidak dapat diselamatkan.
Manayi berkata, ketika ditemui, tiada sebarang maklumat ibu bapanya dijumpai dan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keluarga Adam supaya tampil.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan bolehlah menghubungi kami di talian 07-2232607.
"Kami juga berharap ibu bapa Adam tampil membincangkan masa depannya," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24
Tiada ulasan:
Catat Ulasan