Berita Harian: Mutakhir |
Wanita UMNO cadang himpun ulama, guru pondok perjelas isu liberalisme, pluralisme Posted: 28 Nov 2012 03:16 AM PST KUALA LUMPUR: Seorang anggota perwakilan Wanita UMNO mencadangkan supaya pimpinan parti menghimpunkan guru pondok dan ulama dari seluruh negara bagi menjelaskan kepada masyarakat mengenai liberalisme dan pluralisme yang dibangkitkan pembangkang. Ini kerana isu seperti itu boleh menggugat perpaduan ummah, kata Penolong Setiausaha Wanita UMNO Perlis, Marzita Mansor ketika membentangkan usul pendidikan, agama dan sosial pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2012, di sini hari ini.
"Seharusnya individu Islam wajib memahami bahawa fahaman dan falsafah yang semakin berkembang ini bukan sahaja intipati agenda Barat dalam siri penjajahan bentuk baharu. "Bahkan ia merupakan strategi untuk menghancurkan Islam menerusi rasionalisme ilmiah berdasarkan kaedah serangan pemikiran," katanya. Katanya, kedua-dua aspek itu turut membenarkan perkahwinan berlainan agama, kebebasan beragama, memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Selain itu, Wanita UMNO mahu kerajaan menekankan lagi silibus mata pelajaran agama Islam pada semua peringkat pengajian kerana subjek tersebut perlu dihayati dan menjadi amalan setiap pelajar, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.
Ini sekali gus dapat mengeratkan ikatan perpaduan dengan wujudnya kepelbagaian etnik, agama, budaya dan latar belakang sosioekonomi masyarakat berbilang kaum, katanya. Merujuk kepada kepentingan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyampaikan aspirasi dan dasar kerajaan kepada masyarakat, beliau mencadangkan supaya hubungan dua hala antara NGO dan kerajaan diperkukuhkan. Katanya, ini bagi membendung penularan fitnah oleh segelintir NGO bersifat 'anti-establishment' serta penggunaan ruang siber untuk tujuan menganjurkan demonstrasi, bekerjasama atau memperoleh dana daripada pihak asing untuk mempengaruhi minda rakyat. "NGO seperti ini semakin lantang mencipta fitnah melalui data-data yang dimanipulasi di ruang siber, bersifat ekstrem seterusnya berupaya untuk menggagalkan dasar-dasar kerajaan sekiranya pemantauan rapi tidak dilakukan," katanya. - BERNAMA |
Taktik pembangkang sebar maklumat palsu dalam laman sosial di luar negara didedah Posted: 28 Nov 2012 03:13 AM PST KUALA LUMPUR: Kelab UMNO Luar Negara hari ini mendedahkan kegiatan pembangkang yang sering mengeluarkan maklumat salah terhadap UMNO dan dasar-dasar kerajaan persekutuan dalam laman web sosial dan laman blog. Perwakilan Kelab UMNO luar negara yang berpusat di Pennsylvania, Amerika Syarikat, Muhammad Haziq Syamin Abd Halim berkata, beliau sering melayari laman web sosial dan media dalam talian untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai Malaysia.
Haziq Syamin berkata, beliau mendapat tahu hal sebenar yang berlaku di Malaysia setelah pulang ke tanah air untuk menyertai Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. "Sikap pembangkang yang mengeluarkan penipuan semata-mata untuk mempengaruhi anak muda (penuntut) di luar negara mencerminkan bahawa parti pembangkang ini sememangnya tidak boleh dipercayai," katanya. Beliau berkata, terdapat tujuh cawangan Kelab UMNO Luar Negara di sekitar Amerika Syarikat, dengan yang terbesar berpusat di bandar New York dan Chicago. "Peranan kami adalah untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar dan juga penduduk tetap warga Malaysia di situ selain menyebarkan maklumat tentang dasar-dasar kerajaan Malaysia," katanya.
"Pemimpin pembangkang itu turut menyatakan bahawa partinya akan menjadikan Malaysia negara kebajikan untuk cuba mempengaruhi anak-anak muda. "Mereka menyebarkan ideologi songsang kerana pada pendapat mereka kumpulan pelajar ini mampu mempengaruhi landskap pemerintahan negara pada masa depan, namun kami yang peka dengan perkembangan politik semasa di tanah air tidak termakan umpan mereka," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan