Jumaat, 30 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Denda pembikin bah

Posted: 29 Nov 2012 01:30 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang melanggar syarat kerja tanah menyebabkan bencana alam termasuk banjir.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya tidak menolak masalah banjir di bandar raya ini turut berpunca daripada projek pembangunan yang mengabaikan sistem saliran air dan longkang.


"Jika didapati bersalah, mereka (pemaju) dikenakan tindakan termasuk kompaun tidak kurang RM1,000 bagi setiap kesalahan. Dalam masa sama, DBKL sudah mengenal pasti 38 kawasan lokasi panas yang kerap berlaku banjir seperti Jalan Kuching, Segambut dan Sungai Besi.

"Malah, kerja pembersihan longkang daripada tersumbat akibat sampah-sarap atau tanah sudah dilakukan bagi mengatasi masalah banjir di sini," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, DBKL turut menubuhkan unit khas penguat kuasa yang sentiasa bersedia mengawal lalu lintas ketika banjir.


"Di Kuala Lumpur, aliran trafik perlahan apabila hujan lebat berlaku. Oleh itu, setiap kali mendung, unit khas ini bersedia untuk bergerak ke lokasi yang dikenal pasti bagi mengawal lalu lintas.

"Selain itu, tahun depan, kami akan bekerjasama dengan Alam Flora dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi perhatian lebih untuk menaik taraf semua saliran longkang bermasalah," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Amin Nordin Abd Aziz berkata, DBKL tidak membenarkan lori tanah melalui jalan raya di Pantai Dalam ke tapak projek pembangunan 71 banglo Bukit Gasing selama dua minggu, bermula kelmarin.

"Tindakan ini diambil selepas kontraktor lori itu tidak mematuhi peraturan kerana menyebabkan jalan raya menjadi kotor serta rosak selain menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Dua pengawal nafi sogok polis RM500

Posted: 29 Nov 2012 01:27 PM PST

SHAH ALAM: Dua pengawal keselamatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memberi sogokan RM500 kepada seorang anggota polis bagi mengelak tindakan kerana menjual dadah di Hulu Langat, dekat sini, Ogos lalu.

Tertuduh, J Genash, 31, dan K Karithikeyan, 40, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.


Dua sekawan itu didakwa memberi suapan wang tunai itu kepada Koperal Mohd Kamarulzaman Mohd Sukri dari cawangan pencegahan jenayah, Balai Polis Kajang di hadapan EGI Group, Lot 5290, Batu 19, Off Jalan Semenyih, Kajang, jam 5.30 petang, pada 24 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.


Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Yusliza Mohd Yusoff dari SPRM menawarkan jaminan RM10,000.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak berkemampuan.


Asmadi membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan Genash dan Karithikeyan masing-masing melapor diri ke pejabat SPRM pada Ahad pertama setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/30



Tiada ulasan:

Catat Ulasan