Khamis, 29 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Malaysia catat pertumbuhan KDNK sebenar 5.1 peratus: Bank Dunia

Posted: 29 Nov 2012 02:46 AM PST

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 5.1 peratus pada 2012 dan 5.0 peratus pada 2013, demikian menurut satu laporan baru Bank Dunia.

Laporan itu, 'Pemantauan Ekonomi Malaysia', yang dilancarkan hari ini, berkata, dengan dorongan permintaan domestik, ekonomi mungkin berupaya mengharungi persekitaran global yang lemah dan berkembang dengan kukuh tahun depan.

Laporan itu juga berkata reformasi struktur ekonomi yang semakin mengukuh merupakan kunci ke arah memastikan momentum pertumbuhan positif berlanjutan dalam jangka sederhana.

Ia berkata memandangkan pelaburan telah meningkat dalam sektor-sektor berkaitan komoditi, maka penting dipertingkatkan produktiviti dalam bahagian-bahagian ekonomi yang lain, terutamanya perkhidmatan, yang menjana sebahagian besar pekerjaan.

"Untuk mencapai peningkatan produktiviti jangka panjang, Malaysia perlu mempercepat pelaksanaan reformasi seperti yang digariskan dalam Model Baharu Ekonomi kerajaan, untuk meningkatkan persaingan dan keupayaan dalam ekonomi," katanya.

Siri Pemantauan Ekonomi Malaysia memberikan perspektif analitis tentang cabaran-cabaran dasar yang dihadapi oleh Malaysia seiring dengan perkembangannya ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Siri ini juga merupakan usaha untuk mendekati khalayak yang lebih luas, termasuk pembuat dasar, pemimpin sektor swasta, peserta pasaran, masyarakat awam dan akademia.
Laporan ini boleh diakses melalui laman sesawang www.worldbank.org/malaysia. - BERNAMA

30 maut, 110 cedera serangan bom kereta di Baghdad

Posted: 29 Nov 2012 02:41 AM PST

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 30 maut manakala 110 lagi cedera dalam siri serangan bom kereta di dua bandar penduduk Syiah, di selatan Baghdad, awal hari ini.

Serangan itu berlaku di Bandar Hillah apabila penyerang meledakkan bahan letupan di sebuah kawasan komersial yang sibuk dengan 24 orang dilaporkan maut manakala 90 cedera.

Pegawai polis berkata, serangan itu bermula di jalan raya pinggir bandar berkenaan sebelum disusuli letupan bom kereta di zon komersial itu.

Sejam sebelum itu, satu serangan juga membabitkan bom kereta berdekatan Bandar Karbala dengan enam terbunuh, manakala 20 lagi cedera. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan