Rabu, 14 November 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Dengar idea orang muda

Posted: 14 Nov 2012 01:58 PM PST

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak yang yakin kepada idea orang muda dalam pembinaan sebuah negara bangsa, semalam turun padang untuk mendengar sendiri pandangan dan idea golongan ini.

Dalam program santai di sebuah kopitiam di Bangsar, Perdana Menteri berbual dan mendengar dengan tekun pandangan serta soalan yang dikemukakan sekumpulan pemimpin belia tanpa mengaitkan perbincangan mereka dengan politik.

Berkongsi pandangan Harapannya adalah supaya mereka berkongsi pandangan dan tanggungjawab membantu kerajaan memastikan semua lapisan rakyat mendapat manfaat daripada program yang dilaksanakan.

Beliau menghabiskan masa kira-kira sejam berbual dan mendengar pandangan serta idea kira-kira 50 pemimpin belia serta penulis blog, editor kanan media dan ahli perniagaan.

"Saya percaya golongan muda mempunyai idea hebat dan luar biasa yang boleh memacu negara ke hadapan. Kita mesti membina negara bersama-sama tanpa mengira perbezaan politik kerana pada akhirnya negara ini menjadi milik kita.

"Kita juga mesti menjadikan Malaysia tiada tandingan dan saya percaya kita boleh lakukannya," katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Kamal Jit Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Mark Rozario.
Menjawab soalan peserta, Perdana Menteri berkata, beliau serius melakukan perubahan kepada negara, bukan kerana meraih sokongan politik atau pilihan raya semakin hampir.

"Sejak menjadi Perdana Menteri, saya bercakap mengenai transformasi. Saya serius dan sangat bersemangat kerana mempunyai banyak harapan untuk Malaysia... harapan ini boleh diterjemahkan dan menjadi kenyataan.

"Apa yang penting ialah kita mahu membina negara dan sebagai Perdana Menteri, saya mahu mendengar idea anda dan saya percaya sebahagian idea anda adalah idea hebat," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, idea kreatif dan perubahan positif yang ingin mereka lakukan terhadap negara dapat membantu Malaysia menangani pelbagai cabaran yang dihadapi rakyat pada masa depan.

Perkara lain turut dibincangkan ialah mengenai pendidikan, gula, kencing manis dan pelancongan.

Najib juga melancarkan laman web Cabaran Genovasi.

Pertandingan cabaran genovasi pertama bertajuk Penghubung Masyarakat bermula semalam hingga 15 Januari tahun depan.

Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 14 tahun ke atas.

Mereka yang memberi idea paling inovatif berpeluang meraih hadiah utama RM100,000, naib johan RM50,000 dan lapan pemenang masing-masing berpeluang membawa pulang RM5,000 seorang. Mereka yang berminat boleh mengemukakan idea menerusi laman web www.challenge.my.

Hijrah diterjemah laksana transformasi

Posted: 14 Nov 2012 12:57 PM PST

Kuala Lumpur: Pendekatan Hijrah telah diterjemahkan dalam melaksanakan transformasi negara demi membawa Malaysia ke suatu keadaan lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata berpegang kepada definisi hijrah bermaksud perpindahan atau perubahan, Malaysia melakukan perubahan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Hasilnya, Malaysia kini menjadi antara negara yang sering mendapat pengiktirafan dan pujian negara luar sebagai sebuah negara Islam yang dinamik dan progresif, kata Najib dalam perutusan Maal Hijrah beliau dalam blog www.1Malaysia.com.my, di sini, semalam.

Melafazkan rasa syukur kerana Malaysia masih dapat menyambut Maal Hijrah 1434H tahun ini melalui kesederhanaan dan kesejahteraan rakyat, Najib berkata, ia bertepatan dengan tema Maal Hijrah kali ini iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Berhijrah kata Najib, adalah sebahagian daripada melaksanakan misi ketakwaan dan ia adalah satu perintah yang perlu dilakukan sepanjang masa.

Kita mestilah sentiasa berhijrah bagi mengharapkan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat...mesti sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dan mengharap rahmat Allah, katanya, merujuk ayat 218 Surah Al-Baqarah yang menyentuh konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah SWT.

Najib berkata, syariat Islam secara fitrahnya jika diamalkan akan menyatukan ummah dilihat daripada kesatuan dan kepemimpinan yang mampu menghilangkan sempadan kaum, bahasa dan warna kulit.
Katanya, Malaysia telah menjana satu fikrah berkenaan tonggak kesatuan dan perpaduan melalui pendekatan wasatiyyah yang digarapkan dalam segenap perkara dalam pelaksanaan pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang di negara ini.

Sesungguhnya melalui pendekatan wasatiyyah, keutuhan perpaduan dan persaudaraan sesama kaum dan agama dapat ditingkatkan, kata Najib yang menambah bahawa konsep itu juga dapat mempertingkatkan nilai kualiti kebersamaan dalam kemajmukan yang menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah secara keseluruhannya.

Najib berkata, konsep kesederhanaan itu telah diketengahkan oleh Malaysia dalam menyelesaikan sesuatu konflik dalam dan luar negara.

Antaranya, baru-baru ini, Malaysia bertindak sebagai pengantara melalui pendekatan kesederhanaan sehingga berjaya menyelesaikan krisis 40 tahun antara Barisan Pembebasan Islam Moro dan Kerajaan Filipina.

Kita juga mengambil pendekatan sama dalam isu keganasan etnik dan agama di Rakhine, Barat Myanmar dengan menekankan soal kemanusiaan dengan memberi bantuan kepada mangsa keganasan itu tanpa mengira latar belakang dan agama mereka, katanya.

Baru-baru ini, katanya, ulama terkemuka dunia Dr Yusuf Al-Qaradawi juga memberi pengiktirafan dan pujian kepada Malaysia di atas komitmen jitu negara dalam membantu dan menyokong rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis di bumi Gaza.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan sama menyeru Umat Islam memperbaharui azam untuk terus menempa kejayaan dan kemajuan, sekali gus bersatu menghadapi cabaran dan rintangan.

Katanya, Islam tidak menggalakkan umatnya berpeluk tubuh dan hanya berdoa mengharapkan rezeki datang bergolek tanpa berusaha.

Ajaran Islam juga menuntut umatnya memelihara silaturrahim dan tidak melemparkan fitnah sesama sendiri atau melakukan tindakan yang akhirnya akan melemahkan umat Islam, katanya.

Najib dan Muhyiddin bersama keluarga masing-masing mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharam 1434H kepada seluruh umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan