Sabtu, 23 Julai 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Peruntukan wujud biometrik

Posted: 23 Jul 2011 03:12 PM PDT

Nasional

 NAJIB diiringi Rosmah memotong kek hari jadi sambil diperhatikan Md Isa pada  Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020, Kangar, semalam.

NAJIB diiringi Rosmah memotong kek hari jadi sambil diperhatikan Md Isa pada Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020, Kangar, semalam.

Sistem bantu SPR perbaiki perjalanan pilihan raya telus, adil: Najib

KANGAR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik yang akan digunakan untuk mengesahkan identiti pengundi pada pilihan raya nanti.

Perdana Menteri berkata, penggunaan sistem biometrik itu adalah antara langkah dilaksanakan kerajaan dan SPR untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihan raya yang telus dan adil di negara ini. "Kita akan buat apa saja untuk memastikan pilihan raya yang adil... tak mahu pakai dakwat, kita tak pakai dakwat dan kita setuju supaya SPR gunakan sistem biometrik pada masa akan datang. Apabila hendak undi, imbas saja cap jari, kalau nama betul dengan MyKad, baru undi.

"Kalau nak buat penambahbaikan, kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik (menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih) walaupun negara-negara maju pun tak buat," katanya pada Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di sini, semalam.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu serta kira-kira 5,000 hadirin.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan peruntukan sebanyak lebih RM1.87 juta daripada Yayasan 1Malaysia Development Bhd untuk membaiki 375 rumah rakyat miskin di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini. Sebanyak 25 rumah dari setiap DUN akan dipilih untuk dibaiki.
Beliau turut memotong kek sempena sambutan hari jadinya yang ke-58 semalam.

Najib berkata, pelaksanaan sistem biometrik itu yang mungkin dilaksanakan dalam pilihan raya umum akan datang jika sempat, diharap dapat mengatasi dakwaan kononnya wujud pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini dan ia membuktikan Barisan Nasional (BN) amat komited kepada pilihan raya yang bersih serta adil dan tidak memerlukan BERSIH untuk memastikan pilihan raya telus.

Ketika bercakap dalam sidang media di akhir lawatan seharinya ke Perlis petang semalam, Najib meminta semua pihak supaya menerima dengan hati terbuka kesimpulan dibuat suruhanjaya diraja yang menyiasat punca kematian setiausaha politik EXCO kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, walaupun hasil siasatan itu mungkin pahit untuk diterima keluarga mendiang.

Perdana Menteri berkata, tindakan pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan suruhanjaya diraja itu adalah disebabkan kumpulan terbabit sudah membuat kesimpulan awal dalam pemikiran mereka.

"Mereka hendakkan hasil laporan itu mencerminkan pemikiran mereka dan kehendak mereka itu tidak adillah maknanya... suruhanjaya ini suruhanjaya bebas iaitu ditubuhkan atas nama Yang di-Pertuan Agong dan kita lantik orang yang berwibawa dan ada kredibiliti," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil ke atas tiga pegawai SPRM yang dikatakan tidak mengikut prosedur ketika menyoalsiasat Beng Hock, Perdana Menteri berkata, perkara itu mesti disiasat dulu untuk menentukan sama ada mereka melanggar peruntukan undang-undang.

Sementara itu, Najib yang melakukan lawatan turun padang untuk menyelami kehidupan rakyat akar umbi meluluskan peruntukan RM350,000 untuk menaiktaraf pasar minggu Balai Baru di Beseri, Padang Besar, dekat sini, yang menjadi tempat mencari rezeki lebih 130 peniaga tempatan.

Lawatan itu amat bermakna kerana lokasi sama pernah dikunjungi bapa beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1969.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa lebih sejam meninjau kawasan pasar terbabit sambil beramah mesra dengan lebih 5,000 peniaga serta pengunjung yang berpusu-pusu menunggu untuk melihat sendiri pemimpin nombor satu negara itu dari dekat.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Malaysia sasar 10 negara paling selamat di dunia

Posted: 23 Jul 2011 03:09 PM PDT

Nasional

 MUHYIDDIN dibantu Lee (kanan) merasmikan Bulan Pencegahan Jenayah Kebangsaan 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh sambil diperhati Mohd Ali (tiga dari kiri) dan Ismail.

MUHYIDDIN dibantu Lee (kanan) merasmikan Bulan Pencegahan Jenayah Kebangsaan 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh sambil diperhati Mohd Ali (tiga dari kiri) dan Ismail.

Kerajaan laksana pelbagai usaha kurangkan kadar jenayah

MELAKA: Kerajaan menetapkan sasaran untuk meletakkan kedudukan Malaysia sebagai antara 10 negara paling selamat di dunia, mengatasi negara maju lain termasuk Singapura dan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi pelbagai usaha dilakukan termasuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah dan peningkatan kawalan keselamatan. "Satu hari dalam tempoh tidak lama lagi, saya percaya kita boleh mempertingkatkan kedudukan Malaysia lebih baik lagi iaitu antara 10 terbaik di dunia," katanya selepas melancarkan Bulan Pencegahan Jenayah Kebangsaan 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Indeks Keamanan Global 2011, sebuah badan antarabangsa berpangkalan di Sydney, Australia, yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-19 bagi negara paling selamat di dunia berbanding 156 negara lain.

Malaysia juga diletakkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan keempat pada peringkat Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia. Pada 2007 dan 2008 kedudukan Malaysia masing-masing di tempat ke- 37 dan ke-38.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Naib Pengerusi 1 Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye.
Mengenai tindakan polis beberapa hari lalu menyiarkan video mengenai keadaan sebenar perhimpunan haram pada 9 Julai lalu, Muhyiddin berkata, semua pihak harus menerima dengan yakin ke atasnya dan tidak lagi kepada laporan media alternatif seperti Youtube yang jelas tidak tulen.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia merakamkan terima kasih dan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat kepada polis yang bekerja menjaga keamanan sehingga diiktiraf sebagai paling selamat di Asia Tenggara.

Di SERDANG, ketika merasmikan Perhimpunan dan Gagasan Pemimpin Belia 1Malaysia di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) petang semalam, Muhyiddin berkata, rakyat terutama belia yang bakal menjadi pemimpin negara perlu bijak menggunakan saluran disediakan bagi meluahkan pandangan serta kritikan membina kepada kerajaan untuk membaiki kelemahan dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

"Kita sediakan macam-macam saluran. Bahkan, kita ada parlimen belia, gunalah sebaik mungkin. Kalau ada cadangan, rasa tak puas hati, ia boleh dibawa berbincang.

"Kerajaan mahukan kepemimpinan belia yang berani tampil, aktif memberi pandangan, membuat keputusan," katanya.

Beliau turut memberi amaran belia tidak memilih cara salah menyampaikan pandangan termasuk demonstrasi jalanan kerana ia lebih bersifat emosi, tidak rasional demi memenuhi cita-cita politik individu tertentu.

Dalam acara berasingan di ibu negara, Timbalan Perdana Menteri memuji usaha RHB Bank dan akhbar The New Straits Times menganjurkan cabaran 'Spell it Right' yang dapat mengetengahkan bakat pelajar untuk mengeja dalam bahasa Inggeris seterusnya melahirkan ramai generasi muda yang fasih dalam bahasa berkenaan.

Kategori sekolah menengah dimenangi Darren Leong Wei Jin dari Sekolah St Michael, Perak manakala juara bahagian sekolah menengah pula, Kenneth Wu Min Jin dari Sekolah King George V, Negeri Sembilan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan