Utusan Online - Jenayah |
Penyelia bawa wang kutipan mati ditembak dua perompak Posted: Penyelia bawa wang kutipan mati ditembak dua perompak
ALOR SETAR 26 Julai - Seorang penyelia sebuah syarikat feri maut setelah ditembak tiga das oleh dua lelaki dalam satu kejadian samun di Taman Seri Putra Fasa 3, Jalan Kuala Kedah, di sini semalam. Kejadian pukul 7.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Zamzarmi Ghazali, 36, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desarina sambil membawa wang tunai hasil kutipan tiket feri berjumlah RM12,500. Pengurus Ferryline Ventures Sdn. Bhd., Hussin Hassan, 51, berkata, Zamzarmi membawa pulang wang hasil kutipan itu terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam bank keesokkan harinya. "Saya dan Zamzarmi memang bergilir-gilir membawa wang hasil kutipan tiket feri pada pukul 5 hingga 7 petang. "Sepatutnya saya menyimpan wang tersebut semalam, tetapi Zamzarmi telefon saya beritahu dia akan datang untuk mengambil wang tersebut," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di sini, hari ini. Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu pukul 7.45 petang. "Saya masih terkejut dengan kejadian itu kerana sepanjang 15 tahun bekerja dengan Zamzarmi, kami tidak pernah bermusuh dengan sesiapa," katanya. Dalam pada itu, isteri mangsa, Faradina Ghazali, 32, berkata, suaminya pulang ke rumah kira-kira pukul 3 petang semalam dan tertidur sehingga pukul 6.45 petang. "Saya mengejutkan dia (Zamzarmi) untuk ke tempat kerja dan dia keluar rumah dengan hanya membawa telefon bimbit sahaja kerana tertinggal dompet. "Saya tunggu dia pulang ke rumah kerana dia akan pergi sekejap saja tetapi pada pukul 7.30 petang, seorang jiran beritahu bahawa Zamzarmi ditemui terbaring kerana ditembak dan disamun," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, mangsa mati setelah terkena tiga das tembakan di dada pada jarak dekat. Beliau berkata, kejadian itu dilakukan oleh dua suspek yang dipercayai mengikut mangsa dengan menaiki motosikal dari Terminal Feri Kuala Kedah. Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: 6 sindiket curi kereta tumpasOleh ROZIANAH RISMAN SUBANG JAYA 26 Julai - Polis Selangor berjaya melumpuhkan enam sindiket curi kenderaan yang membawa keluar kenderaan yang dicuri melalui beberapa laluan pintu masuk sempadan negara, sejak awal tahun ini. Antara sindiket yang berjaya ditumpaskan itu terlibat menyeludup sejumlah 940 buah kereta curi dengan menggunakan 188 buah kontena di Kampung Black Water di Klang. Setiap satu kontena itu dikatakan membawa lima buah kereta curi untuk diseludup ke negara luar. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (gambar) berkata, walaupun kes curi kereta di negeri ini agak membimbangkan, pihaknya yakin kejayaan menumpaskan enam sindiket itu sedikit sebanyak dapat mengekang kegiatan jenayah tersebut. "Meskipun kes curi kereta mengalami peningkatan pada tahun ini namun, banyak tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis. "Hasil kejayaan itu, kita dapati banyak kelemahan yang perlu dibaiki dan ia akan dilaksanakan bagi memastikan sindiket curi kereta dapat dikekang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kempen 'Ayuh, Jom Cegah Jenayah' di Sunway Piramid di sini hari ini. Menurut Tun Hisan, kajian dijalankan oleh pihak polis bersama beberapa agensi kerajaan bagi mengenal pasti langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi menghalang kegiatan sindiket berkenaan. "Kita dapati, setiap kereta curi itu begitu mudah dibawa keluar oleh sindiket berkenaan dengan menggunakan jalan raya menuju ke luar sempadan negara. "Untuk itu, kita akan mengkaji semula bagaimana kenderaan curi mudah dibawa keluar sekali gus mengenal pasti langkah-langkah yang berkesan untuk menanganinya," katanya lagi. Tun Hisan dalam pada itu memberitahu, bagi mengatasi kes kecurian kenderaan, orang ramai juga dinasihatkan supaya meletakkan pengenalan identiti kenderaan pada cermin kenderaan mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan