Utusan Online - Mahkamah |
Jawapan dari mulut saksi sendiri Posted: Jawapan dari mulut saksi sendiriOleh SUWARNI MOKHTAR SHAH ALAM 29 Julai - Jawapan-jawapan yang terkandung dalam 24 muka surat rakaman percakapan saksi pendakwa ke-29, U. Suresh berhubung siasatan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, adalah daripada mulut saksi tersebut sendiri. Saksi itu juga memahami akibat daripada pernyataan yang diberikan kepada pegawai perakam, Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong pada 26 Oktober tahun lalu di Penjara Sungai Udang, Melaka. Selain itu, saksi yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun di pusat tahanan itu memberikan kenyataan secara sukarela sebagaimana yang dicatatkan pada muka surat 24 rakaman percakapan tersebut. Perkara tersebut dimaklumkan oleh pegawai perakam itu yang juga pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff pada bicara dalam perbicaraan (TWT) di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini. TWT itu diadakan selepas Hakim Datuk Akhtar Tahir mendapati terdapat 22 percanggahan antara keterangan saksi itu yang juga bekas pekerja Ladang Gadong di mahkamah dengan rakaman percakapan yang telah direkodkan. Ia juga bagi memastikan kesahihan kandungan rakaman percakapan itu diberikan oleh Suresh yang dipenjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuang abu mayat Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38 di Sungai Panchau dekat sini. Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu. Menjelaskan mengenai pengetahuannya mengenai latar belakang kes tersebut, Seng Keong menyatakan, beliau memerlukan maklumat-maklumat mengenai kes pembunuhan itu bagi membantunya mengemukakan soalan-soalan yang perlu ditanya kepada Suresh. Menurutnya, soalan-soalan itu disediakan sendiri olehnya empat jam sebelum menemu bual Suresh dan dibuat berdasarkan temu bual oleh seorang lagi pegawai ke atas K. Sarawanan. Soalan-soalan itu juga mengambil kira beberapa dokumen seperti gambar tempat kejadian, rajah kasar Ladang Gadong dan laporan polis pegawai soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan yang disediakan oleh pegawai penyiasat ASP Ishak Yaakob, katanya. Bekas mekanik, Sarawanan dipenjara bagi tempoh yang sama selepas mengaku bersalah atas tuduhan membakar mayat kesemua mangsa. Ketika soal balas, peguam bela, Manjeet Singh Dhillon mempersoalkan jawapan yang diberikan oleh Suresh yang didakwanya sama dengan apa yang dinyatakan kepada Govindan tiga bulan sebelum itu. ''Jawapan Suresh yang bagi. Mana saya tahu, dia cakap macam itu, saya tulis macam itu. Itu (jawapan) yang dia bagi pada saya,'' kata Seng Keong. Seperti tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut, peguam terbabit terus mengasak Seng Keong dan turut mendakwa rakaman percakapan itu disediakan dengan konspirasi atau komplot dengan pegawai penyiasat. Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin membantah dakwaan tersebut dengan menyatakan pengunaan perkataan konspirasi serta komplot merupakan 'ayat yang sangat jahat' dan bantahan tersebut dibenarkan oleh Hakim Akhtar. Menjawab lebih lanjut, Seng Keong tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa pegawai penyiasat kes ada membantunya membuat soalan-soalan tersebut atau berada di dalam bilik sewaktu temu bual diadakan. Prosiding TWT itu bersambung Isnin ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Mahkamah ketepikan penjara 2 bulan terhadap Ameng Posted: Mahkamah ketepikan penjara 2 bulan terhadap AmengKUALA LUMPUR 29 Julai - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan hukuman penjara dua bulan terhadap vokalis kumpulan Spring, Ameng (gambar) atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya selepas mendapati hukuman tersebut merupakan satu kesilapan. Ini kerana menurut Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, Mahkamah Majistret di sini yang memutuskan demikian pada 1 November tahun lalu sepatutnya memilih sama ada menjatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 ataupun penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan. Namun, ujar beliau, majistret yang mendengar perbicaraan telah terkhilaf dalam mentafsir Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 apabila mengenakan hukuman penjara dua bulan dan denda RM4,000 terhadap Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 43. Sehubungan itu, rayuan Ameng untuk mengetepikan sabitan atas pertuduhan tersebut, ditolak oleh mahkamah. ''Bagaimanapun hukuman penjara (kamu) diketepikan dan denda dikekalkan,'' kata Hakim Mohamad Zabidin. Namun begitu ia bukan 'pembebasan mutlak' bagi Ameng yang kini ditahan di Kompleks Penjara Kluang Johor memandangkan dia masih perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali yang dijatuhkan terhadapnya. Dia selaku perayu tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju seragam penjara berwarna merah sambil dikawal oleh tiga orang warden bertugas. Ameng dilihat terus memeluk dan mencium anak lelakinya yang berusia tiga tahun yang hadir bersama isterinya, Sabariah Zakariah, 41. Ameng yang terkenal dengan lagu Sampai Hati dan Bougenvilla itu didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika ditahan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini pada pukul 3.45 pagi, 2 April 2010. Selain hukuman penjara dan denda, Majistret Zaki Asyraf Zubir yang mendengar perbicaraan kes itu turut meletakkan Ameng di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama tiga tahun, selain penjara empat bulan jika gagal membayar denda. Pelaksanaan hukuman tersebut bagaimanapun ditangguhkan kerana Ameng ketika itu mahu mengemukakan rayuan. Tiga bulan selepas itu iaitu pada 1 Februari lalu , Ameng dan isterinya ditahan setelah polis menemui 122 gram ganja dan sejumlah syabu ketika menginap di sebuah hotel bajet di Taman Melaka Raya, Melaka. Pada 12 April lalu Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali setelah Ameng mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan memiliki dadah dan satu pertuduhan memasukkan syabu ke dalam badannya sementara Sabariah pula dibebaskan. Ameng diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan