Jumaat, 29 Julai 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Rentung dalam wad

Posted: 28 Jul 2011 02:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) rentung dalam kebakaran di unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi, mangsa, Dedy Mulia Abdul Ghani, 33 yang dipercayai menghidap sakit mental sedang dirawat di hopsital berkenaan gagal diselamatkan selepas terperangkap di dalam bilik di wad terbabit.


Pengarah Penguat Kuasa Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata, anggota bomba menerima panggilan pada jam 12.34 pagi dan sampai ke tempat kejadian tujuh minit selepas itu.

Menurutnya, dua jentera bomba dari Balai Bomba Chow Kit dan Sentul dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.


"Ketika sampai di HKL, kita dapati kakitangan hospital sedang berusaha memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api.


"Kami mengambil alih memadamkan kebakaran di wad terbabit yang diselubungi asap tebal," katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

Menurut Azizan, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh setengah jam.


"Kakitangan hospital juga berjaya memindahkan seramai 15 pesakit ke wad lain. Bagaimanapun, Dedy yang terperangkap di dalam bilik terbabit gagal diselamatkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian terbabit bagi mencari punca kebakaran dan bagaimana mangsa terperangkap di dalam bilik itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Arwah jadi pendiam

Posted: 28 Jul 2011 10:13 AM PDT

KERIAN: "Arwah seorang yang periang dan selalu berseloroh dengan ahli keluarga, tetapi sikapnya sejak pulang dua hari lalu berubah menjadi pendiam dan kerap termenung," kata Zaini Mokhtar, 40, kakak ipar kepada Konstabel Abdul Shahreer Abu Hasan, 24.

Zaini berkata, anak sulung arwah, Mohamad Fariz Daniel, setahun lapan bulan, juga kerap demam sejak dua minggu lalu dan tidak ceria seperti biasa.


"Saya tidak sangka semua itu petanda mereka akan pergi meninggalkan kami buat selamanya. Kami sekeluarga masih dalam keadaan terkejut dengan kemalangan itu.

"Kali terakhir saya menemuinya di rumah ibu di Kampung Padang Setol di Kuala Nerang, Kedah petang kelmarin, sebelum arwah bersama isterinya, Fauziah, 24, dan anak abang menghantar mereka ke stesen bas untuk balik ke Simpang Renggam, Johor," katanya.


Dalam kemalangan tragik kira-kira jam 12.25 tengah malam semalam, Abdul Shahreer yang berkhidmat di Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas tercampak keluar dari bas.


Tambah menyayat hati, anak sulung mangsa yang dipangku atas ribanya dan isterinya, turut tercampak keluar ke kawasan rumput tepi lebuh raya berhampirannya.

Mohamad Fariz yang turut cedera parah di kepala, menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Taiping (HT), manakala keadaan isterinya dilaporkan kritikal dan masih menerima rawatan di unit rawatan rapi HT serta belum sedarkan diri.


Zaini berkata, keluarganya mengetahui kemalangan kira-kira jam 3 pagi semalam selepas dihubungi polis yang memaklumkan adik iparnya meninggal dunia.

"Dalam keadaan masih terkejut dengan apa yang berlaku, kami sekali lagi diuji apabila diberitahu anak saudara saya turut meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian.


"Kami sekeluarga hanya mampu berdoa adik sedar dan pulih kerana keadaannya kini dilaporkan masih kritikal," kata Zaini.


Sementara itu, abang Abdul Shahreer, Abdul Hashim, 28, yang tiba di bilik mayat HPB kira-kira jam 11.30 pagi, berkata dia mengetahui kejadian menimpa adiknya pada jam 1.30 pagi selepas dihubungi polis.


"Kami sekeluarga begitu sedih dengan kejadian ini tetapi reda dan menerimanya sebagai takdir Ilahi," katanya sebak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan