Sabtu, 30 Julai 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Makna sebalik serangan di Norway

Posted:

Makna sebalik serangan di Norway

Makna sebalik serangan di Norway

Oleh ZIN MAHMUD


AHLI-AHLI keluarga meratapi kematian mangsa ketika upacara pengkebumian di Oslo, Norway.


APABILA mendapat tahu satu serangan berkembar mengejutkan di Oslo, Norway pada Jumaat minggu lalu, hati tergamam.

Persoalan menerjah di kepala, adakah ia serangan daripada orang Islam? Keganasan Islam? Al-Qaeda?

Pihak berkuasa Norway pada awal kejadian memberitahu bahawa mereka masih tidak mengetahui siapa yang melakukan serangan.

Kalaulah orang Islam yang melakukan searangan itu, pastinya gelombang baru Islamofobia akan melanda Eropah. Bukan saja orang Islam di Eropah yang akan menjadi sasaran tetapi pengunjung, termasuklah para pelajar Islam yang mahu melanjutkan pelajaran di Eropah akan juga menghadapi bahananya.

Lebih-lebih lagi Norway, sebuah negara Eropah yang dianggap "baik" pada orang Islam. Tidak seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Dalam laporan awal, Presiden Amerika, Barack Obama menyatakan kesediaan negaranya bekerjasama dengan Norway untuk memerangi keganasan.

Maksud daripada kenyataan itu ialah kejadian tersebut merupakan keganasan bersifat antarabangsa, dan hampir pasti beliau merujuk kepada keganasan Islam, khususnya Al-Qaeda.Siapa lagi?

Lebih-lebih lagi Amerika dan Eropah menjangkakan akan berlaku satu serangan besar ekoran daripada pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Laporan agensi-agensi berita termasuk Reuter yang kemudian disiarkan di seluruh dunia walaupun tdiak menyebut mengenai pengganas Islam tetapi dalam beritanya dinyatakan bahawa Norway sejak akhir-akhir ini mengakui bahawa mereka bersedia menghadapi ancaman daripada serangan pengganas Islam.

Perisikan

Maknanya perisikan mereka menilai bahawa kemungkinan ada ancaman daripada keganasan Islam. Mereka menduga sebabnya ialah Norway, sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut serta dengan Amerika memerangi Afghanistan.

Tetapi apabila keesokannya diumumkan bahawa pelaku keganasan yang mengorbankan 76 orang adalah seorang warganegara Norway berkulit putih, beretnik Nordic dan beragama Kristian, Anders Behring mengejutkan semua pihak.

Tentu bagi orang Islam, pengumuman bahawa pelaku keganasan itu bukan seorang Islam adalah melegakan.

Bagi orang Barat pula, pendedahan bahawa pengganas itu bukan Islam juga menuntut mereka untuk melihat ke dalam masyarakat sendiri. Bagaimana boleh seorang Barat melakukan tindakan yang amat kejam sekali.

Membongkar

Maka apa yang didapati ialah penyerang itu walaupun pernah menganggotai parti haluan kanan, Parti Kemajuan yang anti pendatang, tetapi telah melakukan tindakan itu secara bersendirian.

Lantaran itu, mereka berusaha untuk menganggap Behring sebagai tidak siuman. Hinggakan dia pun tidaklah disebut sebagai pengganas tetapi hanya penyerang.

Hakikatnya ialah kejadian kejam di Norway itu adalah bersejarah dan penuh makna. Dalam hal ini, umat Islam di seluruh dunia tidak wajar berasa lega apatah lagi bergembira kerana penyerang itu bukan seorang Islam.

Ini kerana tindakan Behring yang walaupun mengorbankan bukan orang Islam tetapi sasarannya adalah orang Islam.

Peluru yang dimuntahkan oleh senjatanya itu adalah penuh dengan kebencian terhadap orang Islam. Behring bukan saja anti Islam tetapi membenci Islam hingga dia sanggup membunuh orang sebangsanya.

Hakikat bahawa dia bertindak bersendirian adalah lebih berbahaya. Sesiapa saja orang kulit putih di Eropah yang memiliki perasaan benci pada Islam atau Islamofobia boleh dengan tiba-tiba melakukan serangan pada sesiapapun, termasuk orang sebangsa mereka. Perlu diingat juga bahawa tujuan serangan Behring itu. Dia melakukannya untuk menyampaikan mesej secara ledakan besar supaya dunia, baik Barat mahupun Islam sedar.

Maka sasarannya kepada anak-anak muda parti pemerintah Norway, iaitu Parti Buruh juga bukanlah kebetulan. Baginya Parti Buruh yang berfahaman sosialisme demokratik atau sosial demokrat itu memberi tempat dan muka kepada pendatang Islam di Norway melalui dasar kepelbagaian budaya.

Sedangkan dia dan sebahagian kecil penduduk Norway sudah mula resah dengan kehadiran pendatang orang Islam. Mereka melihat orang Islam mengancam cara hidup dan kebudayaan mereka kerana keengganan atau kesukaran pendatang Islam berasimilasi menjadi bangsa Norway.

Walaupun tentulah rakyat Norway dan penduduk Eropah umumnya mengutuk perbuatan ganas Behring dan akan mempertahankan dasar kepelbagaian budaya, tetapi jika mesej anti-Islam ini masuk ke benak banyak orang, maka orang Islam perlu waspada.

Maka tentulah dalam perbincangan yang diadakan pada masa-masa akan datang, diselidik mengapa muncul orang seperti Behring di Norway, sebuah negara yang bukan saja aman dan makmur tetapi juga contoh kejayaan peradaban Barat.

Norway adalah salah sebuah negara Scandinavia yang mengamalkan sistem sosialisme demokratik di mana negara memberi kebajikan penuh kepada rakyatnya sepanjang hayat. Tetapi pada waktu yang sama memberi kebebasan dan bersifat terbuka. Tentulah ciri-ciri ini menepati dasar kepelbagaian budaya.

Lain-lain negara Scandinavia ialah Sweden, Finland, Denmark dan Iceland. Negara Eropah lain yang dianggap aman, makmur dan berkebajikan ialah Switzerland dan Austria.

Boleh dikatakan negara-negara ini adalah sebagai mercu kejayaan peradaban Barat. Kebajikan, kebebasan, persamaan dan keadilan yang dinikmati warganya menjadikan mereka negara unggul dunia. Dan bukannya negara-negara Barat yang besar dan terkenal seperti Amerika, Britain dan Perancis.

Kemakmuran, kebajikan dan kebaikan negara-negara inilah yang membawa kepada kehadiran orang Islam yang berhijrah ke sana.

Kesemua negara-negara itu mempunyai tradisi Kristian yang kuat. Kecuali Austria, negara-negara yang disebut itu mempunyai bendera yang tertera di atasnya lambang salib.

Namun kini, agama sudah tidak menjadi teras atau penting dalam masyarakat mereka. Umumnya mereka sudah tidak meyakini sebarang agama. Justeru jika mereka bersikap anti-Islam, ia bukanlah kerana mereka kuat memegang agama Kristian. tetapi adalah kerana mereka mahu mempertahankan cara hidup sekular dan demokratik.

Tetapi semakin besar penduduk Islam di Eropah dan bertambah tertonjolnmya identiti mereka, maka Eropah akan berasa terancam. Kini pun sedang berlaku perbahasan mengenai kepelbagaian budaya dan isu pendatang.

Maka tidak hairanlah parti-parti sosialis demokrat yang mendokong kepelbagaian budaya boleh kalah pilihan raya jika sentimen ini berterusan. Sebagai ganti nanti ialah parti-parti berhaluan kanan Neo-Nazi dan Neo-Fasis yang akan menghalang kehadiran pendatang.

Jika melihat keinginan besar orang Islam hendak berhijrah ke negara-negara Barat, maka ia bermakna juga bahawa negara-negara Islam telah gagal.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Memikul agenda besar bumiputera

Posted:

Memikul agenda besar bumiputera

Memikul agenda besar bumiputera

Kebelakangan ini Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah menerima tamparan hebat apabila dituduh sebagai lembap dan tidak efisien dalam melaksanakan tanggungjawabnya memacu ekonomi orang Melayu dan bumiputera. Kenyataan pedas yang dilemparkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tertentu sedikit sebanyak mencalarkan imej Teraju yang usianya baru mencecah lima bulan sejak dilancarkan pada 8 Februari lalu.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, HUSNI SALLEH bagi mendapatkan penjelasan beliau mengenai kemelut ini. Menurut Husni agenda Teraju bukan hanya setakat memajukan syarikat malah memikul tanggungjawab aspek pembangunan ekonomi bumiputera secara keseluruhan. Oleh itu beliau menyarankan agar semua pihak berfikir secara objektif kerana perencanaan serta perancangan yang teliti amat penting untuk memastikan kejayaan dan keberkesanan program bagi memastikan agenda memacu ekonomi bumiputera berjaya.

Di samping itu beliau menggesa supaya orang Melayu membuang mentaliti 'tongkat dan hak kita' dan bersaing secara sihat tanpa terlalu mengharapkan bantuan kerajaan.

MINGGUAN: Bagaimana saudara melihat gesaan Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem) yang mendakwa Teraju belum menampakkan keberkesanan memajukan ekonomi orang Melayu dan bumiputera sejak penubuhannya?

HUSNI: Seperti mana saudara sedia maklum, Teraju telah ditubuhkan untuk menerajui, mengurus serta memacu inisiatif bagi memperkukuhkan agenda pembangunan bumiputera. Untuk mencapai matlamat ini, antara langkah-langkah yang diambil adalah menyelaraskan agensi-agensi kerajaan dan sumber agensi-agensi berkenaan secara strategik. Pertubuhan-pertubuhan yang telah menyuarakan pendapat mereka, kebanyakannya terdiri daripada ahli-ahli perniagaan bumiputera yang bijak-pandai. Oleh itu, saya ingin sarankan agar semua pihak berfikir secara objektif serta memberi pertimbangan bahawa bukannya mudah untuk membuat perancangan bagi membangunkan sebuah syarikat dengan cepat, apatah lagi untuk memajukan syarikat tersebut dalam jangkamasa lima bulan.

Teraju mendokong agenda yang amat besar, bukan hanya setakat tahap syarikat, malah memikul tanggungjawab aspek pembangunan ekonomi bumiputera secara keseluruhan. Agenda bumiputera adalah satu agenda besar, rumit dan telah dibahaskan semenjak kemerdekaan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dirangka pada tahun 70-an telah berjaya membuat peningkatan yang amat besar dalam memajukan ekonomi golongan bumiputera. Contohnya pada tahun 70-an pegangan ekuiti bumiputera cuma 2.4 peratus tetapi sekarang telah mencapai 21.9 peratus. Pencapaian ini telah mengambil masa selama 40 tahun. Teraju yang kini berusia lima bulan, telah ditubuhkan untuk membangunkan ekonomi bumiputera dalam keadaan yang lebih rumit di dalam era globalisasi, yang membawa bersama saingan yang lebih sengit bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar negara. Oleh itu, cabaran-cabaran yang bakal ditempuhi oleh Teraju, agensi-agensi berkaitan serta pihak-pihak berkepentingan dalam membangunkan ekonomi bumiputera sudah tentu akan bertambah. Maka perencanaan serta perancangan yang teliti amat penting untuk memastikan kejayaan dan keberkesanan program serta inisiatif yang dilaksanakan atau bakal dilaksanakan.

Ada pihak mendakwa yang menjadi kebimbangan adalah Unit Pengurusan Prestasi Pelaksanaan (Pemandu) dan Teraju tidak bergerak pada kelajuan sama. Ini mungkin kerana Teraju hanyalah sekretariat tetapi Pemandu diketuai oleh seorang menteri. Boleh jelaskan?

HUSNI: Isu "kelajuan" tidak seharusnya dikaitkan dengan kedudukan Teraju sebagai sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB). Seperti yang telah diumumkan, peranan utama Teraju adalah pertama - untuk mencapai hasil yang pantas dan efektif, kedua - meningkatkan keberkesanan Institusi, ketiga - menguruskan pelbagai program pembangunan ekonomi bumiputera serta memberi sokongan aktif dan keempat - menilai keberkesanan program serta inisiatif yang dilaksanakan.

Saya ingin jelaskan di sini bahawa Teraju bukanlah sekadar urus setia atau sekretariat kepada MTAB yang diketuai Perdana Menteri. Peranan utama Teraju adalah sebagai satu unit yang membuat perancangan untuk memacu ekonomi bumiputera di era baru dan seterusnya menyelaraskan kesemua program-program dan agensi-agensi yang telah ditubuhkan hasil daripada DEB, untuk menghadapi cabaran-cabaran yang lebih getir. Teraju juga diberi mandat untuk mengemukakan cadangan pembaharuan yang perlu untuk meningkatkan tahap keberkesanan program serta inisiatif pembangunan bumiputera. Kedudukan Teraju sebagai urus setia atau sekretariat MTAB hanya sekadar mempermudahkan isu-isu pentadbiran, penyimpanan rekod serta mempermudahkan hubungan di antara ahli-ahli MTAB dan Teraju.

Dari aspek membandingkan Teraju dengan unit Pemandu, saya berpendapat tindakan ini tidak wajar dilakukan. Pemandu telah ditubuhkan lebih dua tahun yang lalu, manakala Teraju pula adalah sebuah unit yang baru berusia lima bulan. Analogi yang saya ingin tekankan disini adalah sekiranya kita memandu sebuah lori yang besar kita tentunya tidak akan terus memasuki gear lima, tetapi untuk memulakan perjalanan itu kita harus masuk ke gear satu dahulu, selepas itu dua dan seterusnya. Bayangkanlah, sekiranya setiap perjalanan dimulakan dengan memasuki gear lima, lori tersebut tidak mungkin akan bergerak dan pasti enjin kenderaan tersebut akan rosak serta merta. Dengan muatan yang amat besar yang dipikul oleh Teraju, tidak mungkin kita akan terus mencadangkan resolusi yang pantas tetapi tidak efektif. Kita akan meneliti setiap resolusi, cadangan serta inisiatif untuk memastikan keputusan yang pantas serta efektif. Namun, tahap "kelajuan" ini mestilah munasabah - kita tidak akan terus ke gear lima untuk mencapai matlamat yang dikenalpasti. Untuk menilai kelajuan di antara unit Pemandu dan Teraju dalam jangka masa yang singkat adalah sesuatu penilaian yang tidak munasabah. Malah membandingkan keberkesanan kedua-dua unit yang mempunyai jarak usia yang besar, adalah tidak wajar.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan