Utusan Online - Timur |
- Peluang pelajar lulusan sijil IDIP
- Program keusahawanan atas bumbung
- Misi pembangunan sosial antarabangsa UniSZA di Vietnam
Peluang pelajar lulusan sijil IDIP Posted: Peluang pelajar lulusan sijil IDIPOleh ASMA HANIM MAHMOOD SEBAHAGIAN graduan Sijil Asas Pengajian Islam dan Sijil Pengajian Islam di Majlis Graduasi ke-21 IDIP di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, kelmarin. KOTA BHARU 26 Julai - Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) buat julung kalinya akan memulakan program pengajian diplomanya September ini dengan kursus pertama ditawarkan iaitu Diploma Pengajian Islam dan Dakwah. Pemangku Pengarah IDIP, Ahmad Fathan Mahmood berkata, kursus yang merupakan lanjutan kepada program Sijil Pengajian Islam itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar meneruskan pengajian mereka di IDIP setelah tamat program peringkat sijil. Katanya, program diploma yang ditawarkan itu memakan masa selama tiga tahun atau enam semester dan merangkumi 45 subjek termasuk subjek elektif . "Buat permulaan kita akan sediakan tempat dan tumpukan kepada pelajar lulusan sijil IDIP terlebih dahulu, tetapi kita tetap merancang menawarkan tempat kepada pelajar luar pada masa akan datang. "Kelebihan belajar di IDIP yang menjadi tempat pendidikan khusus saudara baru adalah 'sistem berguru' yang menjadi teras kepada pembelajaran di sini. "Jika pelajar luar diberi peluang datang belajar, maka mereka akan terdedah dengan pengalaman sebenar sahabat yang masuk Islam dan kaedah dakwah yang pelbagai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam. Beliau berkata demikian selepas Majlis Graduasi ke 21 IDIP di Pengkalan Chepa yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengurusan IDIP merangkap Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi. Seramai 82 pelajar terdiri daripada 40 graduan Sijil Asas Pengajian Islam dan 42 graduan Sijil Pengajian Islam menerima sijil mereka pada majlis itu. Ahmad Fathan berkata, jika segalanya berjalan lancar, pihaknya juga akan memperkenalkan program Diploma Dakwah dan Multimedia serta Kewartawanan Islam dalam tempoh setahun lagi. Pada majlis itu, graduan Sijil Pengajian Islam, Muhamad Khairul Iskandar Tan Abdullah, 25, diisytiharkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan sesi pengajian 2010/2011 dan menerima Anugerah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang telah disampaikan Dr. Ariffin. Pelajar dengan nama asalnya, Tan Eng Kun dari Dengkil, Selangor itu memeluk Islam pada 15 Februari 2008 di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan merupakan satu-satunya dalam keluarganya setakat ini yang mendapat hidayah Islam. Sejak mula mendapat pendidikan di IDIP tiga tahun lalu, pelajar yang lebih mesra disapa dengan nama Iskandar ini sangat aktif dalam persatuan pelajar di samping cemerlang di bidang akademik sehingga lulus dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Program keusahawanan atas bumbung Posted: Program keusahawanan atas bumbung
TANAH MERAH 26 Julai - Politeknik Jeli merintis laluan baharu dalam bidang keusahawan dengan melancarkan program keusahawanan atas bumbung yang dikenali juga sebagai Rooftop Gardening. Pengarah Politeknik Jeli, Azizi Lin berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan memberi ilmu pengetahuan serta mendidik para pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan agrotek. "Kita bermula dengan tanaman cili dari jenis Centil yang dijalankan secara fertigasi di atas bumbung bangunan Politeknik Jeli dengan keluasan tanaman 836.1 meter persegi melibatkan sebanyak 800 pokok. Setiap pokok mampu mengeluarkan hasil sebanyak satu kilogram dengan nilai hasil tuaian berjumlah RM8,000 sebulan. "Projek ini (bidang agrotek) merupakan salah satu bidang keutamaan politeknik. Walaupun kaedah ini masih baru, Politeknik Jeli mengambil langkah dengan mempelopori serta mengembangkannya sebagai inovasi baru dalam bidang agrotek di negara ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Tuaian Hasil Pertama Program Rooftop Gardening di politeknik itu, baru-baru ini. Ia dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Azizi memberitahu, projek itu bermula pada 18 Mei lalu melibatkan semua kakitangan dan pelajar politeknik yang turut menanam pokok cili berkenaan. Menurutnya, usaha itu sebenarnya bermula akhir tahun lalu, ketika Politeknik Jeli merangka hala tuju untuk mengukuhkan bidang-bidang keutamaannya iaitu agrotek dan bio-industri dengan membina jaringan dengan pelbagai pihak terlibat dalam sektor pertanian. Katanya, program itu mendapat sokongan dan kerjasama Jabatan Pertanian serta seorang usahawan tani, Izham Hamid, yang berjaya membangunkan syarikat, Hydro Garden di Kuantan, Pahang. "Program ini tidak terhenti dalam aktiviti tanam dan tuai sahaja, sebaliknya pihak kami sedang menjalankan kajian terhadap penurunan suhu bangunan, kesan terhadap kualiti alam sekitar dan aplikasi robotik dalam pertanian. "Selain itu, penuntut turut dilatih dalam pelbagai aspek bermula penyediaan tapak, penyemaian biji benih, pembajaan, penyeliaan pokok serta pemasaran hasil. "Ia merupakan sebahagian inovasi kepada para pelajar bagi membolehkan mereka mengaplikasikan apa yang telah dipelajari di dalam kelas," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Misi pembangunan sosial antarabangsa UniSZA di Vietnam Posted: Misi pembangunan sosial antarabangsa UniSZA di VietnamPELAJAR Universiti Sultan Zainal Abidin yang menyertai Misi Pembangunan Sosial Antarabangsa selama 10 hari di Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini. KUALA TERENGGANU 26 Julai - Seramai 30 mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini menyertai Misi Pembangunan Sosial Antarabangsa (MIPSA) selama 10 hari di Bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini. Pengarah program, Syafiq Irsyad berkata, mereka yang menganggotai Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) turut mengadakan perkongsian ilmiah dengan dua buah universiti di negara berkenaan. Menurutnya, kunjungan ke Universiti Antarabangsa HCMC dan Universiti Sains Sosial HCMC secara tidak langsung memperluaskan jaringan antarabangsa antara UniSZA dengan kampus pengajian tinggi di luar negara. "Delegasi MIPSA terlibat dalam dua pembentangan kertas kerja tentang budaya dan warisan Malaysia yang bertajuk 'A Comparison Of Culture Malaysian and Vietnamese' dan 'The Roles of Police Volunteers Among University Students in Malaysia'. "Rombongan MIPSA turut mempersembahkan seni tradisi Malaysia kepada penuntut dan aktivis kebudayaan Vietnam seperti tarian zapin, inang, joget serta persembahan kompang," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini. Syafiq berkata, MIPSA turut menyampaikan rasa prihatin warga kampus UniSZA dengan menghulurkan sumbangan derma daripada warga universiti kepada masyarakat Islam di sekitar Ho Chi Minh. "Sumbangan berupa 60 helai sejadah, 60 naskhah al-Quran, 60 naskhah surah Yasin, 60 pasang telekong sembahyang dan wang tunai berjumlah RM 3,500 telah disampaikan kepada masyarakat dan wakil masjid serta surau. "Kami tidak melepaskan peluang mengunjungi sekolah kanak-kanak istimewa dan sekolah pelajar hilang daya penglihatan yang baru diwujudkan awal tahun lalu di bandar raya itu," katanya. Menurutnya, MIPSA turut mengadakan lawatan akademik ke Delta Mekong yang merupakan perkampungan masyarakat Vietnam menjalankan aktiviti ekonomi seperti pertanian dan penternakan sebagai sumber pendapatan harian mereka. Tidak jauh dari itu, katanya, MIPSA juga mengadakan lawatan ke Chu Chi Tunnel dan War Remnants Museum, sebuah tempat peninggalan sejarah tentera komunis Vietnam yang ada kaitan dengan sejarah pembinaan negara Malaysia. "Dalam masa yang singkat, program ini mampu mendedahkan pelajar dengan gerak kerja kemasyarakatan yang melangkaui sempadan bangsa dan negara serta memaparkan keunikan budaya Malaysia kepada masyarakat di negara itu. "Ia melibatkan usaha membantu golongan yang memerlukan sambil menyelami kehidupan di mana sahaja yang secara tidak langsung dapat mengukuhkan sifat keinsanan dan ciri kepimpinan dalam diri setiap peserta," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan