Rabu, 27 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Bubar untuk bersatu

Posted:

Bubar untuk bersatu

Bubar untuk bersatu

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN



KETIKA ini, terdapat lima buah persatuan artis di Malaysia yang memainkan peranan dalam usaha membela nasib dan memperjuangkan golongan tersebut merangkumi pelakon, penyanyi, pelawak, pemuzik, penulis lirik, komposer, penari dan sebagainya.

Ini termasuklah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang telah ditubuhkan pada tahun 1975 dengan ahli yang terdiri daripada para pelakon. Pada masa ini persatuan tersebut dipimpin oleh Harun Salim Bachik sejak tahun 2009.

Bagi penyanyi, pemuzik, pencipta lagu dan penulis lirik pula bernaung dengan Persatuan Penyanyi Pemuzik Pencipta dan Penulis Lirik (Papita) yang sudah tertubuh sejak tahun 1977 dan kini diketuai oleh Datuk M. Daud Wahid.

Begitu juga dengan artis-artis Cina dan India di negara ini yang turut mempunyai persatuan masing-masing iaitu Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA) yang mula wujud sejak 1998 dan Persatuan Industri Rakaman India (IRIM) yang ditubuhkan pada tahun 2003.

Kemudian pada tahun 2000 sebuah lagi persatuan artis telah ditubuhkan iaitu Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang mewakili semua golongan penggiat seni iaitu penyanyi, pelakon, pemuzik, komposer, penulis lirik, pelawak, penari dan sebagainya.

Walaupun matlamat penubuhan persatuan-persatuan ini adalah untuk membela nasib para artis di negara ini, namun ia dilihat seperti kurang mendapat sambutan dan tidak ramai artis yang menyertainya.

Biarpun ada yang sudah mendaftar menjadi ahli biasa, namun penglibatan mereka ternyata kurang aktif terutamanya segelintir artis popular yang merasakan sesebuah persatuan itu kurang penting buat mereka.

Bukan itu sahaja, apa yang menyebabkan tidak ramai yang mahu bergiat aktif dalam persatuan apabila suasana di dalam sesebuah persatuan itu sendiri yang sering mempunyai masalah dalaman.

Semasa acara simposium Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 yang telah berlangsung pada 5 Julai lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyarankan semua artis di negara ini supaya bersatu di bawah hanya persatuan.

Menurut Ismail Sabri, sekiranya semua artis dapat bersatu ia akan memudahkan lagi pihak kerajaan untuk menilai kesemua masalah berbangkit yang membabitkan golongan artis dengan cara yang lebih efektif.


ARTIS dan karyawan seni tanah perlu bersatu di bawah satu bumbung yang sama supaya suara dan pandangan mereka lebih kuat dan efektif untuk didengari. - Gambar hiasan


Ternyata saranan tersebut mendapat reaksi yang positif segelintir pihak yang merasakan adalah lebih wajar sekiranya kebajikan serta hak artis-artis tempatan ini dijaga dan dipertahankan oleh satu pihak sahaja.

Antara yang menyokong tentang hasrat tersebut adalah persatuan Karyawan yang dengan tegas menyatakan bahawa kini sudah tiba masanya diwujudkan sebuah persatuan tunggal demi kebaikan semua artis di negara ini.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya sudah mencapai kata sepakat dan bersedia untuk membubarkan Karyawan dan menyeru supaya persatuan lain turut mengambil langkah sama agar penubuhan sebuah persatuan tunggal artis dapat direalisasikan.

"Kami merasakan lebih mudah sekiranya hak dan kebajikan para artis di negara ini diberi tanggungjawab kepada satu pihak sahaja serta mewajibkan semua artis termasuk gred A untuk menyertai dan aktif dalam persatuan.

"Lagipun dengan adanya satu persatuan sahaja, segala perjalanan pengurusan dan aktiviti akan lebih mudah untuk dipantau. Malah, pihak kerajaan juga akan lebih mudah untuk menyalurkan sebarang dana atau bantuan," jelasnya.

Menurut Freddie, pihaknya turut menyatakan dengan tegas bahawa tiada sebarang kepentingan kepada mereka dan dia sendiri menegaskan tidak akan memegang sebarang jawatan tertinggi termasuk presiden apabila persatuan berkenaan ditubuhkan nanti.

Jelasnya, matlamat utama kewujudan sebuah persatuan itu sebenarnya adalah untuk memperjuangkan kepentingan para ahli dan bukan menjadi saluran mengaut keuntungan peribadi.

"Untuk melihat sesebuah persatuan itu bergerak secara lebih aktif bukanlah sekadar menganjurkan karnival atau bengkel semata-mata. Fokus utama sudah tentu membela nasib ahli-ahli terutama yang berada di dalam kesusahan," ujarnya.

Sebagai langkah permulaan, pihaknya berhasrat untuk berjumpa dengan pemimpin beberapa persatuan yang sedia ada bagi membincangkan perkara tersebut dalam tempoh terdekat ini.


KARYAWAN seni dari persatuan artis yang berlainan perlu bersependapat dan bersatu bagi kebajikan masa depan artis. Dari kiri, Datuk Sarimah, Freddie, Jamal Abdillah dan Harun sewaktu hadir pada simposium Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011 pada 5 Julai lalu.


Walaupun mereka berharap persatuan lain dapat bekerjasama tentang perancangan berkenaan, ujar Freddie penubuhan sebuah persatuan baharu masih akan diteruskan sekiranya tidak mendapat kerjasama yang diharapkan.

"Kami telah merancang untuk membuat satu himpunan artis secara besar-besaran yang membabitkan pelakon, penyanyi, pelawak, pemuzik, komposer, penulis lirik dan penari dari seluruh Malaysia termasuk artis Melayu, Cina dan India.

"Ketika itu, pelancaran penubuhan persatuan akan turut dilakukan dan pada masa yang sama semua artis akan diberi peluang untuk memilih sendiri pemimpin yang mereka rasakan sesuai dan mampu untuk mempertahankan hak dan kebajikan mereka," jelasnya.

Ujarnya lagi, pada masa yang sama mereka turut bercadang untuk berjumpa dengan pihak kerajaan iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenai hasrat penubuhan persatuan tersebut.

"Kami sangat yakin kedua-dua menteri akan menyokong usaha yang dilakukan ini kerana ia sememangnya mampu mendatangkan kebaikan kepada semua pihak termasuk kerajaan yang pastinya lebih mudah untuk mereka membuat pemantauan," ujarnya.

Lebih kuat


IFA RAZIAH ketika meluahkan pandangannya pada simposium Hari Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO 2011.


Cadangan supaya semua persatuan artis di negara ini dibubarkan dan digantikan dengan penubuhan sebuah persatuan sahaja ternyata mendapat reaksi yang baik daripada beberapa orang artis tempatan.

Salah seorang pelakon yang boleh dikategorikan sebagai aktor kelas A, Shaheizy Sam ketika dihubungi menyatakan langkah tersebut harus dilihat dari sudut yang positif serta memberi kebaikan kepada artis itu sendiri.

"Saya merasakan cadangan untuk menubuhkan satu persatuan artis ini tentunya boleh memberikan impak yang baik terutama dalam usaha untuk membela nasib sebilangan artis yang tertindas atau kurang bernasib baik.

"Lagipun kalau semua artis bersatu dan bernaung di bawah persatuan yang sama, sudah tentu ia akan menjadikan persatuan tersebut lebih kuat apabila dianggotai oleh jumlah ahli yang ramai," jelasnya yang merupakan salah seorang ahli Seniman.

Sementara itu, penyanyi Jaclyn Victor turut menyambut baik rancangan untuk menubuhkan sebuah persatuan artis menerusi gabungan persatuan-persatuan yang sedia ada.

Bagaimanapun, penyanyi yang menganggotai persatuan Karyawan itu menegaskan supaya golongan artis diberikan penerangan yang lebih jelas dan mendalam tentang matlamat dan hala tuju persatuan yang ingin ditubuhkan itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan