Utusan Online - Timur |
- Terengganu peruntuk RM3 juta
- Akibat kemiskinan, Khairul berhenti sekolah
- Zakat fitrah kekal RM7, lantik 641 amil di Kelantan
Posted: Terengganu peruntuk RM3 jutaOleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA KUALA TERENGGANU 27 Julai - Kerajaan negeri akan memperuntukkan lebih RM3 juta bagi program pengimarahan masjid di seluruh negeri ini sepanjang Ramadan. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, peruntukan itu merangkumi penyediaan program bercorak keagamaan, pengagihan bubur lambuk, buah kurma serta air zam-zam. Katanya, sejumlah 2,000 bungkusan bubur lambuk akan mula diedarkan pada hari pertama Ramadan manakala buah kurma dan air zam-zam pula telah mula diedarkan di masjid-masjid di seluruh negeri. Tambahnya, kerajaan negeri juga akan menjemput 15 imam dari Arab Saudi serta 10 imam dari Mesir untuk mengetuai solat tarawih sepanjang bulan puasa ini. "Imam-imam dari Arab Saudi dijangka tiba Sabtu ini, manakala dua imam dari Mesir pula akan tiba pada Jumaat. "Lapan lagi imam dari Mesir telah berada di sini kerana menjadi guru bahasa Arab, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan imam yang dijemput berjumlah 25 orang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini. Tambah Ahmad, mereka akan ditempatkan di masjid dalam setiap daerah di Terengganu secara bergilir-gilir sehingga 28 Ramadan ini. "Kita jangka mereka pulang ke tanah air masing-masing untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas tarikh itu," katanya. Dalam pada itu, Ahmad meminta pengusaha bazar yang beroperasi sempena bulan puasa ini hendaklah menjaga kebersihan premis mereka. "Jika kita dapat kesan mereka tidak menjaga kebersihan, kita akan gantung operasi mereka," katanya. | ||
Akibat kemiskinan, Khairul berhenti sekolah Posted: Akibat kemiskinan, Khairul berhenti sekolah
KOTA BHARU 27 Julai - Akibat kemiskinan, seorang pelajar tingkatan empat, Nik Khairul Zaman Zahari, 16, terpaksa berhenti sekolah bagi membantu bapanya menyara keluarga dengan mengutip barangan terbuang sekitar bandar ini. Remaja terbabit berhenti sekolah awal tahun ini bagi membolehkan dia menumpukan sepenuh masa dengan 'kerjaya' tersebut dan memperoleh pendapatan kira-kira RM15 sehari. Jika sebelum ini, dia bangun pagi untuk ke sekolah, namun kini rutin hidup anak sulung daripada tiga beradik berusia antara satu hingga 16 tahun itu berubah apabila sebelah pagi membantu ibunya, Nik Suriani Deris, 37, menghantar adiknya berusia lapan tahun yang menghidap sakit sawan ke sebuah sekolah pendidikan khas. Pada sebelah petang, dia mengutip barangan terbuang seperti kotak dan botol-botol sekitar bandar ini, sebelum dijual kepada peraih. "Saya terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan keluarga. Sebagai anak sulung saya berusaha membantu keluarga mencari rezeki halal dengan mengutip kotak dan barangan terbuang. "Duit hasil jualan kotak dan barangan terbuang itu akan saya berikan kepada ibu untuk membeli beras dan makanan keperluan harian bagi kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cina dekat sini, semalam. Menurut Nik Khairul, tekanan hidup yang dialami oleh keluarganya menyebabkan dia tidak lagi bersemangat untuk meneruskan persekolahan, ditambah pula dengan prestasi pelajarannya yang semakin merosot. Lantaran itu, katanya, dia sanggup mengorbankan masa depan demi membantu bapanya, Zahari Musa, 43, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan sekitar RM400 sebulan. "Emak saya tidak bekerja dan terpaksa menjaga adik-adik yang salah seorang daripadanya mengalami penyakit sawan," katanya. Sementara itu, Nik Surina mengakui masalah tekanan hidup menyebabkan anak sulungnya itu terpaksa berhenti sekolah dan pendapatan yang diperoleh hasil jualan barangan terbuang itu sedikit sebanyak telah membantu keluarga. "Saya tidak tahu nak cakap apa lagi, dia sudah tidak mahu ke sekolah. Lagi pun yuran Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak bayar lagi. Jadi slip keputusan peperiksaan tidak dapat ambil. "Mujurlah anak kedua saya masih bersekolah dan dia menerima bantuan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM500 setahun," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Zakat fitrah kekal RM7, lantik 641 amil di Kelantan Posted: Zakat fitrah kekal RM7, lantik 641 amil di KelantanKOTA BHARU 27 Julai - Kadar zakat fitrah untuk negeri Kelantan pada tahun ini sama seperti sebelum ini iaitu RM7. Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu mengambil kira harga semasa beras. Beliau berkata, pihaknya melantik seramai 641 amil terdiri daripada imam masjid di setiap mukim di seluruh negeri ini dan pegawai agama di kem-kem tentera, polis serta pusat tahanan bagi memudahkan urusan pembayaran zakat dijalankan. "Sehubungan itu, bagi memudahkan orang ramai menjalankan kewajipan tersebut, pihak kami membuka kaunter bergerak di pasar raya utama di negeri ini iaitu di KB Mall (1 hingga 25 Ogos), Tesco (14 hingga 25 Ogos) dan Mydin Kubang Kerian (14 hingga 25 Ogos). "Pada tahun ini, pembayaran zakat juga boleh dibuat di kaunter-kaunter mini yang dibuka di beberapa buah masjid utama jajahan iaitu Masjid Bandar Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Tumpat, Pasir Mas dan Bandar Baru Gua Musang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Tambahnya, pembayaran zakat juga boleh dibuat melalui ejen-ejen Maik yang dilantik seperti Bank Islam, CIMB, RHB, Ambank, Maybank dan pejabat pos di seluruh negeri ini. Kamaruddin memberitahu, pihaknya dijangka mampu memungut RM7.5 juta bagi zakat fitrah iaitu jumlah yang sama pada tahun lalu. Dalam pada itu, Kamaruddin turut mengumumkan kadar nisab zakat wang simpanan iaitu sebanyak RM11,000. "Sehingga semalam, pihaknya berjaya memungut zakat RM35.7 juta berbanding RM24 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu iaitu meningkat RM11 juta. "Peningkatan dalam nilai kutipan ini menunjukkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjalankan tanggungjawab menunaikan zakat semakin tinggi," katanya. Mengenai zakat harta, beliau menambah, umat Islam boleh menunaikan kewajipan mereka dengan membayar zakat harta di kaunter Maik, Balai Islam Lundang di sini yang beroperasi tujuh hari seminggu sepanjang Ramadan ini termasuk cuti am bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan