Isnin, 18 Julai 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis minta orang ramai kemuka rakaman video perhimpunan haram

Posted: 18 Jul 2011 03:12 AM PDT

Mutakhir

GENTING HIGHLANDS: Orang ramai diminta bekerjasama dengan menyerahkan kepada polis rakaman video berkaitan perhimpunan haram 9 Julai lalu untuk siasatan dakwaan bahawa anggota keselamatan bertindak kasar semasa menyuraikan peserta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata kerjasama itu perlu bagi membolehkan polis mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku selepas banyak pihak mendakwa polis bertindak kasar.

"Kita akan siasat secara telus, terperinci dan polis tidak akan sembunyikan apa-apa fakta yang benar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Banteras Kecurian Kenderaaan di Malaysia di sini, hari ini. Khalid berkata, polis sudah menubuhkan enam jawatankuasa yang diketuai seorang pegawai kanan bagi menyiasat enam dakwaan keganasan polis ketika bertugas menangani perhimpunan haram itu.

"Siasatan akan diselesaikan secepat mungkin dan polis sudah memanggil beberapa saksi untuk siasat enam tohmahan itu.

"Polis ingin tahu tohmahan itu benar ataupun tidak. Bagaimanapun tohmahan yang disiasat itu tidak termasuk kejadian di Hospital Tung Shin," katanya.

Khalid berkata, sekiranya perlu polis bersedia menayangkan video mengenai kejadian sebenar pada perhimpunan itu.
"Sekiranya perlu kita akan siarkan video itu selepas jawatankuasa yang ditubuhkan selesai menyiapkan laporan berhubung perhimpunan itu," katanya.

Mengulas mengenai tangkapan yang dilakukan ketika perhimpunan itu, Khalid berkata ia dibuat mengikut undang-undang dan jika mereka yang ditahan tidak berpuas hati dengan tugas polis, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah.

"Tangkapan yang dilakukan kebanyakannya kerana memakai baju BERSIH (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil)...sebahagian besar tangkapan sudah dibebaskan tanpa syarat dan sebahagian lagi kita siasat sebab ajak orang berhimpun.

Sementara itu, Khalid turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti dakwaan kematian pemandu teksi Baharudin Ahmad, 59, akibat gas pemedih mata ketika menyertai perhimpunan itu supaya menyerahkan bukti itu kepada polis.

"Kalau ada bukti tunjukkanlah...jangan sebarkan dakwaan itu tanpa ada kesahihan," katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan kematian Baharudin itu yang menyertai perhimpunan haram di kawasan KLCC pada 9 Julai adalah akibat komplikasi jantung dan bukan berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu. - BERNAMA
NBA NNAI NMR NAK


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kementerian kaji cadangan tambah kutipan caruman PERKESO

Posted: 18 Jul 2011 02:25 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang membuat kajian untuk meningkatkan jumlah kutipan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mengimbangi jumlah pembayaran pampasan kepada pekerja.

Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam, berkata antara cadangan meningkatkan kutipan caruman daripada majikan dan pekerja ialah dengan menambah perkhidmatan tambahan tahun depan.

Tahun lalu, katanya, PERKESO membayar pampasan berjumlah RM2 bilion kepada pekerja termasuk RM950 juta untuk pencen ilat (hilang upaya) dan pencen penakat (kematian). Dr Subramaniam berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran mengenai Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (COSH 2011) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Katanya, dalam tempoh tersebut sejumlah RM500 juta dibayar untuk kes lain berkaitan dengan pekerja yang terbabit dalam kemalangan semasa waktu bekerja.

Katanya, antara sebab pembayaran pampasan tinggi tahun lalu adalah faktor jangka hayat pekerja yang menerima pencen akibat kemalangan meningkat sehingga 70 dan 75 tahun.

"PERKESO perlu membayar pampasan kepada pekerja yang menerima pencen kemalangan itu pada sepanjang hayat mereka dan ia antara faktor menyumbang kepada jumlah kutipan caruman PERKESO yang rendah tahun lalu," katanya.
Bagaimanapun, Dr Subramaniam enggan mendedahkan jumlah kutipan caruman diterima PERKESO tahun lalu.

Katanya, jumlah caruman PERKESO yang dikenakan terhadap majikan dan pekerja di negara ini masih rendah berbanding pekerja di negara maju yang menyumbang antara 20 hingga 30 peratus daripada pendapatan bulanan mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta majikan yang mempunyai lebih 40 pekerja supaya menubuhkan Jawatankuasa Kesihatan dan Pekerjaan bagi melindungi dan memberi kesedaran tentang langkah keselamatan di tempat kerja.

Katanya, sekira majikan gagal menubuhkan jawatankuasa berkenaan maka Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) akan mengambil tindakan mahkamah di bawah Akta Keselamatan Pekerjaan.

Persidangan itu dihadiri oleh lebih 1,500 peserta dari sektor awam dan swasta. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan