Isnin, 15 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Syor artis sertai skuad pengguna

Posted: 15 Oct 2012 01:56 AM PDT

PUTRAJAYA: Pengaruh artis di Malaysia yang mampu menarik orang ramai mengikut segala perkara dan tindakan mereka sepatutnya digunakan untuk tujuan baik terutama dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu kepenggunaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi menzahirkan matlamat itu pihaknya menyarankan artis supaya mendaftar secara percuma sebagai ahli skuad pengguna, sekali gus menjalankan peranan menyedarkan masyarakat terhadap isu berkenaan.


"Bagi golongan artis mereka ada ramai pengikut dan apa yang dibuat menjadi ikutan orang lain. Malah, sekiranya artis memberi pandangan, ramai terpengaruh dengan pandangan mereka.

"Justeru, jika mereka terbabit skuad pengguna, mereka boleh menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing.


"Pada masa sama kami boleh menjemput artis itu untuk memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai isu dan hak kepenggunaan," katanya selepas program lepak santai kepenggunaan media dan artis di Pusat Maritim, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Pemandu mungkin kantuk

Posted: 15 Oct 2012 01:55 AM PDT

LEDANG: Tiga sekeluarga termasuk dua kanak-kanak, maut manakala seorang lagi saudara mereka kritikal selepas kereta Perodua Kancil dinaiki bertembung lori membawa tong gas di Kilometer 5, Jalan Muar-Tangkak, Ledang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu mangsa yang terbunuh Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, serta dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina, 2.


Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan ke Bukit Pasir, Muar, untuk mengambil barangan jualan, bersama isteri Mohd Adzhar, Salasiah Abd Malik, 29, yang memandu kereta serta seorang saudara, Safawi Abd Malik, 20.

Ketika tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung lori menyebabkan Perodua Kancil berkenaan remuk dan Safawi cedera parah.


Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan kecemasan, namun Mohd Wahyu disahkan meninggal dunia jam 6 petang kelmarin, diikuti Nursyifa Qistina tiga jam kemudian dan Mohd Adzhar, jam 3 pagi semalam.


Safawi masih dalam keadaan kritikal manakala Salasiah dilaporkan stabil dan mereka dirawat di HPSF.

Pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, dari Tangkak cedera ringan di kaki dan tangan.


Mohd Shahril ketika ditemui berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata Perodua Kancil berkenaan memasuki laluannya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia tergamam dan tidak sempat mengelak sebelum berlanggar secara berdepan.


"Mujur, lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup. Saya cedera di kaki dan hanya depan serta tepi lori remuk. Saya simpati dengan keluarga mangsa, namun tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi berkata, Perodua Kancil itu dinaiki lima sekeluarga dalam perjalanan dari Ledang ke Bukit Pasir, Muar, manakala lori terbabit dari arah bertentangan.


"Siasatan awal mendapati kemungkinan pemandu kereta terbabit mengantuk menyebabkan dia hilang kawalan lalu memasuki laluan lori arah bertentangan.


"Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15


Tiada ulasan:

Catat Ulasan