Isnin, 15 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Laporan Ketua Audit: PAC akan panggil 30 agensi

Posted: 15 Oct 2012 02:41 AM PDT

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil kira-kira 30 agensi dan jabatan kerajaan untuk siasatan lanjut berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid, berkata langkah itu sebagai mematuhi saranan Jabatan Audit Negara.

"Kita akan kaji dan buat keputusan selepas kita panggil mereka. Buat masa ini kita perlu meneliti dan membaca laporan itu untuk maklumat dan tindakan lanjut Jawatankuasa PAC," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu mendengar penerangan dan taklimat daripada Jabatan Audit Negara berhubung laporan berkenaan, berkata agensi terbabit dianggap masih mempunyai kelemahan ketara terutama membabitkan pengurusan kontrak.

"Sebagai contoh, program pembinaan Hospital Kluang, Johor di mana kerja-kerja pembinaan tidak mengikuti spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan seperti kelewatan lebih setahun untuk disiapkan. Ini projek lama yang dilaksanakan tetapi baru diaudit," katanya.

Azmi berkata PAC juga akan mendapatkan maklum balas daripada agensi atau jabatan yang ada "masalah kecil".
Dalam pada itu, PAC mendapati ada peningkatan dari segi pengurusan prestasi kewangan agensi dan jabatan kerajaan.

Jabatan persekutuan yang mendapat penarafan "Sangat Baik" atau empat bintang meningkat dari 43 (2010) kepada 45 kali ini dan paling ketara prestasi jabatan peringkat negeri yang meningkat dari 34 kepada 66 jabatan bagi tempoh sama, katanya.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mahu ketua jabatan dan agensi agar tidak melakukan kesilapan sama setiap tahun.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan dan aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri tahun lalu dibentangkan di Parlimen hari ini, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA

Malaysia-Perancis jalin kerjsama tangani kempen anti minyak sawit

Posted: 15 Oct 2012 02:38 AM PDT

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Perancis akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi menangani isu negatif terhadap minyak sawit yang dibangkitkan oleh beberapa pihak di Paris, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Beliau berkata Menteri Pertanian Perancis, Stéphane Le Foll membentangkan cadangan itu semasa lawatan rasminya ke Perancis bulan lalu.

Beliau berkata pada masa ini, kedua-dua kerajaan masih menunggu para pegawai yang berkaitan untuk membentuk pasukan petugas kerja bersama itu.
"Malaysia menyambut langkah Paris dalam menangani isu itu. Kami mahu menanganinya," katanya ketika ditemui pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS) 2012 di sini hari ini.

Beberapa pihak di Perancis melancarkan kempen menentang minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, dengan mendakwa minyak sawit tidak sihat untuk pengguna dan pengeluarannya menjejaskan alam sekitar.

Dompok berkata Malaysia sentiasa berwaspada dalam menangani tindakan yang dilakukan oleh peruncit, yang sanggup melabel produk makanan sebagai bukan kelapa sawit.

"Tindakan ini tidak adil kepada Malaysia dan industri minyak sawit memandangkan segala dakwaan terhadap minyak sawit tidak pernah terbukti.
"Kami juga sedang mengkaji tindakan jika perkara itu tidak diselesaikan, termasuk membangkitkannya dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia," katanya.

Beliau berkata Malaysia kini lebih kepada mendidik berbanding mengambil langkah drastik.

"Kami mahu mendidik mereka bahawa industri minyak sawit Malaysia sentiasa mengutamakan rakyat, bumi dan untung," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia, Datuk Lee Yeow Chor, berkata majlis itu akan menganjurkan kempen publisiti bagi menangani khabar angin.

"Majlis akan melancarkan kempen dalam akhbar utama Perancis dan menganjurkan pertandingan kuiz membabitkan industri minyak sawit Malaysia.

"Pemenang akan dibawa ke Malaysia untuk melihat sendiri kualiti dan kelestarian minyak sawit Malaysia," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan