Rabu, 10 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


2 rakan jenayah tumpas

Posted: 09 Oct 2012 03:52 PM PDT

CHERAS: Kegiatan Geng Sek Taw dianggotai dua sahabat baik yang aktif menjalankan aktiviti jenayah curi kereta dan pecah rumah sekitar Lembah Klang berakhir selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Pandan Perdana dan Cheras, di sini, 2 Oktober lalu.

Dua lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai terbabit dalam 21 kes curi kenderaan dan 13 kes pecah rumah sejak tiga bulan lalu serta berjaya dikesan selepas menerima maklumat awam.


Mereka dikatakan tidak memilih jenis kereta yang disasarkan asalkan boleh dicuri sebelum dijual semula pada harga murah. Begitu juga dengan pecah rumah, mereka melakukannya jika ada kesempatan tanpa mengira tempat dan masa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, dua lelaki itu yang bersahabat baik sejak tiga tahun lalu melakukan kegiatan jenayah mereka secara rambang tanpa menyasarkan mangsa tertentu.


Katanya, hasil tangkapan berkenaan, polis merampas sembilan kenderaan pelbagai jenis yang dilaporkan dicuri dan lapan daripadanya dilaporkan hilang di Lembah Klang manakala satu di Pahang.


"Polis turut menemui kelengkapan mencuri kenderaan serta pecah rumah dan beberapa kunci kereta.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM400,000," katanya.


Beliau berkata, suspek direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 411 KK dan Seksyen 414 KK.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Kawasan Vista Angkasa tapak baru pasar malam

Posted: 09 Oct 2012 03:49 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kawasan pangsapuri Vista Angkasa akan menjadi tapak baru pasar malam Kampung Kerinchi bagi menggantikan tapak asal di kawasan rumah pangsa empat tingkat Kampung Kerinchi yang ditutup untuk pembangunan semula.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tapak baru itu yang terletak bersebelahan Stesen LRT Universiti, adalah berdekatan dengan tapak asal.


"Pihak Vista Angkasa sudah pun bersetuju untuk beri tempat kepada penjaja pasar malam berniaga bagi tempoh dua malam yang diminta (Isnin dan Jumaat) dengan mematuhi syarat kebersihan dan keselamatan, lagi pula kawasan itu di bawah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur)," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Raja Nong Chik berkata, keutamaan hanya diberikan kepada peniaga penduduk asal Lembah Pantai dan warga Kuala Lumpur memandangkan keluasan kawasan itu boleh menempatkan 30 peniaga sahaja.


"Kami hendak memastikan keutamaan diberikan kepada penduduk tulen Lembah Pantai sahaja sebab kami tidak mahu orang di tempat sendiri susah, tetapi yang dapat rezeki orang luar," katanya.


Raja Nong Chik berkata, DBKL memerlukan tempoh seminggu bermula semalam untuk menyelaraskan penyusunan semula tapak dan mengenal pasti peniaga tempatan yang layak berniaga di tapak baru itu. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/10


Tiada ulasan:

Catat Ulasan