Selasa, 16 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Suruhanjaya penambahbaikan sektor awam kurang dapat sambutan

Posted: 16 Oct 2012 02:49 AM PDT

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan awam mendapat sambutan dingin daripada orang ramai, kata Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada Jun lepas, suruhanjaya itu hanya menerima 1,200 emel dengan 95 peratus daripada penjawat awam yang membuat aduan terutama berkaitan gaji dan elaun.

Hanya lima peratus sahaja emel daripada orang ramai yang memberi pandangan dan aduan mengenai perkhidmatan awam, katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama orang awam di Kompleks Kraf, di sini hari ini.
Malah kata Zaki, sambutan pada dialog hari ini juga tidak menggalakkan iaitu hanya dihadiri 13 orang awam, 21 wakil badan bukan kerajaan dan 34 wakil agensi kerajaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan program dialog bersama orang ramai itu tidak akan diteruskan pada masa hadapan jika tiada sambutan.

Katanya orang ramai mempunyai masa sehingga akhir bulan ini untuk menyuarakan cadangan dan aduan kepada suruhanjaya itu menerusi http://docs.jpa.gov.my/skmtpa.

Ini kerana suruhanjaya itu perlu menyiapkan laporan mengenai cadangan penambahbaikan sektor awam untuk dihantar ke Kabinet pada Disember ini, katanya.
Beliau juga menegaskan tanpa maklum balas daripada orang ramai, adalah sukar untuk suruhanjaya itu memberi cadangan menambah baik sistem penyampaian sektor awam.

"Kalau orang tak buat aduan, maksudnya tidak ada masalah. Tapi selepas ini akan dengar rungutan...itu tak betul, ini tak betul. Tapi kenapa tak datang? Kita nak dengar (maklum balas). Sesetengah cadangan itu baik dan kita terima," katanya.

Selain Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil.

Suruhanjaya itu juga disertai bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Hussin Ismail, bekas Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman. - BERNAMA

Pembangkang alu-alu perjanjian damai

Posted: 16 Oct 2012 02:46 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang mengalu-alukan perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi menamatkan konflik selatanFilipina yang telah berlarutan lebih 40 tahun.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ia satu penyelesaian baik dan positif kepada keamanan serantau dan antarabangsa seluruhnya.

"Kita harap semua perjanjian (yang dimeterai) itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Malaysia menjadi pengantara rundingan damai antara dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lalu.

Usaha perundingan itu diselesaikan pada Ahad lalu dengan upacara menandatangani perjanjian semalam disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III di Istana Malacanang, Manila, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata pakatan pembangkang turut berharap penyelesaian aman dan adil juga dapat dilaksanakan di Myanmar untuk menyelesaikan masalah penindasan etnik minoriti Rohingya di sana.

"Itu harapan kita, begitu juga di Selatan Thailand, kita mahu supaya keamanan wujud di sana," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan